Anda pernah merasa bebal?
Tidak.
Atau sebenarnya anda tidak mengaku yang anda pernah bebal?
Pun tidak.
Kalau tidak pernah tahniah, anda memang seorang yang hebat!
Kalau kita rujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, bebal bermaksud tumpul otak.
Asalnya otak kita tajam, tetapi bila kita gunakan terlalu lama dalam satu masa, semakin lama, otak kita semakin tumpul.
Contohnya ketika anda sedang menonton kuliah seorang ustaz di youtube, mula-mula itu anda rasa cergas dan bersemangat, tapi bila kuliah sudah memasuki tempoh sejam lebih, anda mula hilang fokus, “Ya Allah … kenapa aku tak faham apa yang ustaz cakap ni?”
Ataupun kita dah baca buku berjam-jam daripada pagi sehingga ke petang, tapi bila petang itu kita boleh kata, “Apalah yang aku baca ini?”
Itu contoh bebal.
Kata Dr. Umar Muhammad dalam bukunya Ikon Syabab 2, fenomena ini bersifat global (berlaku di seluruh dunia).
Berlaku kepada pelajar masa kini, juga kepada pelajar zaman dahulu.
Contohnya Imam Ibnu Taimiyyah.
Sejak kecil Ibnu Taimiyyah seorang yang sangat cerdas.
Selain memiliki hafalan yang kuat, beliau juga cepat memahami pelajaran.
Namun begitu, terkadang beliau turut menghadapi kesukaran dalam mata pelajaran tertentu.
Jadi setiap kali berasa susah untuk memahami pelajaran, Ibnu Taimiyyah kembali kepada Allah.
Beliau bermunajat kepada Tuhan yang Maha Pengasih untuk meminta bantuan.
Selagi belum mendapatkan jawapannya, beliau tidak berhenti berzikir dan berdoa.
Ibnu Taimiyyah berkata,
“Sering kali mindaku terpaku pada satu masalah yang musykil. Aku lalu beristighfar dan meminta ampun kurang lebih seribu kali. Aku terus melakukannya hingga terbuka hatiku dan terang jawapan atas perkara musykil tersebut.”
Pada waktu yang lain, apabila Ibnu Taimiyyah sukar memahami maksud ayat al-Quran ataupun hadis, beliau mendatangi masjid yang kosong.
Beliau lalu meletakkan dahinya di tanah.
Beliau lalu mengulang-ulang ucapan, “Wahai Yang Mengajarkan Nabi Ibrahim, berikanlah kefahaman kepadaku.”
Tetapi Kenapa Kena Istighfar?
Sebab kata Dr. Umar, pertama, faham ialah satu bentuk rezeki.
Malah faham merupakan salah satu rezeki terbesar yang Allah berikan kepada seorang hamba.
Lebih-lebih lagi apabila pemahaman itu berkaitan dengan ilmu.
Tambahan lagi jika ilmu itu berkaitan dengan agama Allah subhanahu wa ta’ala.
Muawiyah bin Abu Sufyan radhiyallahu anh meriwayatkan bahawa Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam bersabda,
“Siapa yang dikehendaki oleh Allah untuk mendapat kebaikan yang banyak, maka Allah akan membuatnya faham (faqih) dalam agama.”
[Riwayat al-Bukhari]
Oleh sebab rezeki berasal daripada Allah, kita mesti semakin rapat dengan Allah jika ingin mendapat semakin banyak rezeki.
Jauh daripada Allah hanya akan mengurangkan bahagian rezeki yang diagihkan kepada kita.
Salah satu penutup pintu rezeki ialah dosa dan maksiat.
Kedua-duanya akan membentuk hijab yang menghalangi cahaya ilmu untuk menembusi relung-relung hati.
Daripada Tsauban radhiyallahu anh, Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam bersabda,
“Sesungguhnya pintu rezeki ditutup daripada seseorang kerana dosa yang pernah dia lakukan.”
[Riwayat Ibnu Hibban]
Ilmu Ialah Cahaya
Kedua, ilmu ialah cahaya.
Menurut Dr. Umar lagi, ilmu hanya boleh diperoleh menerusi hati yang suci dan dekat dengan Allah.
“Sebab ilmu ialah cahaya. Maka, cahaya Allah tidak akan diberikan kepada pelaku maksiat.”
~Imam al-Syafi’i
Ini disebabkan hati ibarat sepotong cermin.
Manakala dosa ibarat noda (bintik) yang akan menempel di atas permukaan cermin.
Apabila seseorang pelajar melakukan dosa, noktah hitam akan menutupi hatinya.
Semakin banyak dosa tersebut, semakin tebal hijab menutupi hati.
Sebagaimana daripada Abu Hurairah radhiyallahu anh, sabda Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam,
“Apabila seseorang hamba melakukan dosa, maka akan terbit noda hitam di hatinya. Jika dia meninggalkannya dan bertaubat serta beristighfar, maka terhapuslah noda itu. Namun jika dia mengulanginya, maka noda itu akan bertambah hingga memenuhi seluruh hatinya.”
[Riwayat al-Tirmizi]
Apabila hati telah dipenuhi noktah hitam, maka kejernihannya akan hilang.
Pada masa itu, kita akan menghadapi banyak masalah dalam pembelajaran kita.
Minda kita menjadi bebal, susah faham, mudah lupa dan malas mengulang kaji.
Kalau kecerdasan minda diperolehi menerusi hafalan dan latih tubi, kesucian hati pula dicapai menerusi keikhlasan niat, ketekunan ibadah dan bersabar dalam menghindari maksiat.
- Jemput baca: Kenapa Saya Perlu Belajar?
Kesimpulan
Ada banyak faktor kenapa kita susah untuk memahami sesuatu ilmu.
Mungkin kita masih belum mahir dalam ilmu tersebut.
Mungkin kita masih belum banyak lagi buat kajian atau membaca tentang ilmu tersebut.
Mungkin kita sudah penat, dan kita perlukan rehat.
Mungkin juga sebab terlalu banyak perkara yang kita fikirkan, jadi kita kena bertenang dahulu.
Ataupun mungkin kita ini memang banyak dosa.
Jadi kalau banyak dosa, marilah kita amalkan tip yang Dr. Umar kongsikan ini:
- Banyakkan istighfar dan taubat kepada Allah.
- Muhasabah diri kita apakah dosa yang telah kita lakukan, bila dah sedar kita tinggalkan dosa tersebut.
- Banyakkan membaca al-Quran supaya hati kita bersinar kembali.
- Kalau boleh bangunlah di sepertiga malam terakhir untuk bertahajud.
Mudah-mudahan hati kita akan kembali bersinar, minda kita pun kembali segar dan cerdas.
“Sesiapa yang ingin Allah buka dan terangi hatinya, maka jauhilah ucapan yang tidak berguna, tinggalkan dosa dan maksit, dan hendaklah dia memiliki ibadah tersembunyi antara dirinya dengan Allah subhanahu wa ta’ala.”
~Imam al-Syafi’i
Bangun, berilah peringatan!