Antara contoh hidup ini susah.
Saya pernah dengar orang kata, suami tahu apa kalau isteri bersalin?
Isteri bermati-matian di bilik bersalin, suami sedap minum kopi di kantin.
Saya rasa, tidak semua suami macam itu. Ada sahaja suami yang bersama-sama berjuang bersama isteri.
Walaupun tidak sama, sekurang-kurangnya suami berusaha menyelami apa yang dirasai oleh isteri.
Cerita tentang isteri bersalin ini, saya akan teringat Surah al-Balad.
Sebab apa?
Sebab Allah bersumpah dengan وَوَالِدٍ وَمَا وَلَدَ – demi manusia yang melahirkan zuriat dan zuriat yang dilahirkannya. [Surah al-Balad 90: 3]
Apa maksud sumpahan ini?
Kata Ustaz Abd Muein, tafsiran yang pertama – وَالِدٍ merujuk kepada Nabi Adam alaihissalam.
وَمَا وَلَدَ merujuk kepada apa yang baginda lahirkan iaitu anak cucu baginda termasuklah kita.
Jangan salah faham bahawa Nabi Adam melahirkan anak pula kerana bagindakan seorang lelaki, maksudnya daripada Nabi Adam itulah lahirnya zuriat.
Tafsiran yang kedua ialah apa sahaja yang melahirkan dan apa sahaja yang dilahirkan sama ada manusia, haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan.
Tumbuh-tumbuhan beranak pinak atau tidak? Mestilah.
Contoh kalau kita tebang pokok pisang, dia tumbuh balik atau tidak? Tumbuh. Kalau tidak percaya cuba tebang pokok pisang di belakang rumah kita. Kalau adalah.
Jangan tebang pisang orang lain pula.
Jadi, Allah bersumpah dengan semua ini nak beritahu kepada kita tentang kebesaran Dia iaitu daripada manusia boleh melahirkan manusia yang lain, daripada kambing melahirkan anak kambing dan daripada pokok melahirkan pokok yang lain.
Itulah kebesaran Allah subhanahuwa ta’ala.
Bila Allah bersumpah, sebenarnya Allah nak sampaikan sesuatu. Contoh dalam Surah al-Asr. Allah subhanahuwa ta’ala bersumpah dengan masa.
Apa mesej yang Allah nak sampaikan daripada sumpah itu?
Mesejnya ialah semua manusia dalam kerugian kecuali orang yang beriman, beramal soleh, sabar dan pesan kebenaran.
Dalam Surah al-Balad ini pula, Allah bersumpah dengan Mekah dan manusia yang melahirkan dan apa yang dilahirkan.
Mesej yang Allah nak sampaikan ialah لَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَٰنَ فِى كَبَدٍ – sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya).
Jemput baca:
Kenapa Allah Jadikan Hidup Ini Susah?
Okey di sinilah kita mula tadabbur dengan ayat ini.
Pertama, apakah proses yang kita perlu lalui untuk mendapat anak?
Mula-mula sekali kita kerja dapatkan duit, kemudian kahwin. Bila dah kahwin, dapat anak. Suami susah fikir cari duit, isteri susah fikir nak bersalin.
Sakitnya bersalin itu seperti separuh mati, hanya isteri sahaja yang dapat merasai. Sampai hati kalau para suami sia-siakan isteri.
Kalau melahirkan itu separuh mati, nak membesarkan anak pula umpama dua paruh mati, lebih susah. Lebih-lebih lagi membesarkan anak di zaman ini.
Betul atau tidak emak ayah semua? Punyalah sakit hati dengan perangai anak, ditambah lagi dengan penat badan menguruskan dan mendidik anak sehingga besar. Itulah maksud ‘Kabad – susah payah’.
Belum habis lagi, satu hari nanti kita semua akan mati. Mana yang lebih susah? Nak lahir ke dunia atau nak masuk ke bumi semula?
Sudah pasti yang paling susah ialah bila masuk ke bumi semula. Sebab apa? Sebab bila kita masuk ke bumi semula, semuanya akan dipersoalkan – besar dan kecil, zahir dan batin, semuanya akan disoal dan dipertanggungjawabkan.
Inilah maksud kehidupan itu كَبَدٍ – semuanya susah. Dan tidak ada sesiapa pun yang terkecuali walaupun dia anak orang kaya, anak raja, hatta raja pun akan melaluinya.
Kadang-kadang kita sampai mengeluh, “Ya Allah susahnya hidup ini?” kerana kita lupa hidup ini adalah ujian, ‘Wainna kunna lamubtalin – sesungguhnya kita adalah pasti akan diuji’.
Hidup di dunia adalah ujian. Hidup di dunia adalah untuk beramal, bekerja keras. Adapun di akhirat untuk menerima balasan.
Jadi sebenarnya ada waktu tak untuk kita berehat di dunia? Tidak ada.
Sebab itulah Nabi bila turun wahyu sehinggalah baginda wafat tidak pernah berehat. Sebab baginda faham kehidupan adalah ujian, kehidupan adalah كَبَدٍ – susah payah.
Tidak ada kerehatan dalam kehidupan yang fana ini.
Imam Ahmad Ibn Hanbal bila ditanya oleh anaknya bila kita berehat?
Jawabnya bila kaki kita mula melangkah ke Syurga. Itulah sebenarnya permulaan kepada rehat kamu yang sebenar.