Berapa nilai sebuah hidayah?
Kalau kita perasan, bila kita memiliki barang yang mahal, kita akan sehabis baik menjaga barang itu dengan baik dan penuh berhati-hati.
Contohnya handphone.
Ketika kita menggunakan handphone lama, kita tidak kisah pun nak letak di mana.
Hatta kalau handphone itu jatuh ke lantai sekali pun, wajah kita masih tenang dan santai.
Tetapi berbeza kalau handphone kita itu baru, selagi tidak ada lapik kita tidak akan letak handphone sesuka hati.
Dan boleh bayangkan atau tidak bila handphone baru kita itu jatuh?
Tengok bagaimana pula reaksi wajah kita, mesti terkejut!
Mata kita membulat dan hati kita mula berkata-kata,
“Aduh sayangnya …”
“Habislah …”
“Kenapa aku tak hati-hati …”
Begitulah sayangnya kita dengan barang yang mahal.
Bukan kita nak kata tidak boleh sayang barang, boleh sahaja, silakan.
Sebab itu kan barang kita, beli menggunakan hasil titik peluh kita bekerja siang dan malam.
Cuma saya nak ajak kita semua menghargai hidayah yang sekian lama kita miliki.
Nak tahu betapa mahalnya hidayah, Nabi yang paling rapat dengan Allah, manusia yang paling mulia, paling istimewa di muka bumi ini pun tidak mampu memberikan hidayah kepada pakciknya Abu Talib.
Siapa Abu Talib?
Abu Talib adalah orang yang bertanggungjawab menjaga Nabi Muhammad setelah ibu bapa baginda meninggal dunia.
Seorang yang sangat sayang kepada Nabi Muhammd salla Allah ‘alaih wa sallam.
Betapa sayangnya Abu Talib kepada baginda, tidak pernah beliau tidur kecuali memeluk baginda salla Allah ‘alaih wa sallam.
Sehingga anak beliau sendiri cemburu, kenapa ayahnya begitu sayang kepada anak buahnya.
Kata ahli sejarah, Abu Talib ini bukan orang yang berada, jadi beliau adalah orang yang miskin, anaknya banyak dan ditambah lagi dengan menyara Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam.
Dan setelah baginda besar, ketika baginda berdakwah menyebarkan ajaran Islam, Abu Talib berusaha melindungi baginda daripada gangguan orang Quraisy.
Betapa besarnya jasa Abu Talib kepada Islam.
Namun subhanallah!
Allah telah menetapkan bahawa Nabi tidak boleh memberikan hidayah kepada pakciknya Abu Talib untuk mengucapkan dua kalimah syahadah.
Bila Abu Talib hampir mati, maka Rasulullah salla Allah ‘alaih wasallam pun pergi kepadanya.
Ketika baginda sampai, Abu Jahal dan ‘Abdullah bin Abi Umayyah bin al-Mughirah sudah berada di sisi pakciknya.
Lalu Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam pun berkata:
“Wahai pakcik! Katakan (لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ) satu ucapan yang aku akan menjadi saksi untuk engkau dengannya di sisi Allah.”
Abu Jahal dan ‘Abdullah bin Abi Umayyah berkata:
“Wahai Abu Talib! Adakah engkau sudah benci kepada agama ‘Abd al-Muttalib?”
Begitulah Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam terus mengajarkan kalimah (لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ) kepadanya dan mereka pula mengulangi ucapan tadi sehingga Abu Talib berkata di akhir ucapannya ialah dia berada di atas agama ‘Abd al-Muttalib.
Betapa sedihnya Nabi ketika itu, lalu baginda pun berkata:
“Sesungguhnya demi Allah! Aku akan meminta ampun untuk engkau selagi aku tidak dilarang daripadanya.”
Jemput baca:
Hanya Allah Yang Boleh Beri Hidayah
Selepas itu Allah subhanahu wa ta’ala pun menurunkan ayat ini:
مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ
Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.
[Surah at-Taubah 9: 113]
Dan Allah subhanahu wa ta’ala menurunkan ayat berkenaan Abu Talib, Allah mengatakan kepada Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam,
إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).
[Surah al-Qasas 28: 56]
Jadi cuba kita muhasabah diri.
Pernah atau tidak kita berkorban harta, nyawa, tenaga, masa fikiran untuk Islam?
Apa jasa kita kepada Islam sehingga Allah memilih kita untuk mendapatkan hidayah?
Tidak lain dan tidak bukan semuanya ini kerana kelembutan Allah Azza Wa Jalla kepada kita.
Sebab itulah betapa mahalnya hidayah yang Allah kurniakan kepada kita.
Kita sudah lama mendapat hidayah – dah solat, puasa, zakat, haji, baca al-Quran dan sebagainya tetapi kita tidak hargai pun hidayah itu, malah kita mensia-siakannya.
Alangkah ruginya kita.
Bangun, berilah peringatan!