Jom sembang tentang Surah an-Naas dengan anak-anak kita.
Papa: Umar dan Raniya, jom kita baca buku.
Raniya: Ala … adik tak nak baca sekarang, adik nak baca nanti.
Papa: Ala kejap je dik, boleh ya?
Raniya: Okeylah …
Umar: Papa, hari ni kita nak baca buku apa?
Papa: Hari ni kita nak baca buku tentang sebuah surah dalam al-Quran yang sangat penting untuk kita belajar.
Umar: Surah apa papa?
Papa: Ha, surah ini dinamakan Surah an-Naas yang bermaksud “Manusia”.
Kita manusia ke haiwan?
Umar dan Raniya: Manusia …
Papa: Kalau manusia, ini adalah surah untuk kita.
Kita kena baca, hafal, faham dan sebarkan pada orang lain.
Boleh?
Umar dan Raniya: Boleh …
Papa: Surah ini diturunkan di Madinah dan terdiri daripada 6 ayat yang pendek.
Umar: Papa-apa, apa yang istimewa tentang Surah an-Naas ini?
Papa: Surah ini sangat istimewa kerana pada awalnya, Nabi Muhammad salla Allah alaih wa sallam diperintahkan oleh Allah untuk memohon perlindungan daripada-Nya.
Maksudnya surah ini nak ajar kita supaya kita kita perlu minta perlindungan daripada Allah Yang Maha Memelihara dan Mentadbir semua makhluk.
Umar: Perlindungan daripada apa, papa?
Papa: Berlindung daripada bahaya yang tersembunyi.
Maksudnya kita nak minta Allah lindungi kita daripada bahaya yang kita tidak nampak.
Contohnya perasaan ragu-ragu, lemah ingatan, dan tipu daya yang dilakukan oleh makhluk yang yang kita tak nampak.
Jemput baca di sini: Mengapa Kita Perlu Tadabbur Surah an-Naas?
Raniya: Apa makhluk yang tak nampak itu papa?
Umar: Syaitanlah dik!
Papa: Eh, mana Umar tahu ini?
Siapa yang ajar?
Umar: Kan papa dah pernah cerita sebelum ini.
Papa: Oh yeke?
Papa lupalah. Hihi.
Umar: Ish papa ni …
Papa: Betul kata abang itu Raniya.
Kita tak nampak syaitan dan jin.
Tapi walaupun tidak nampak, mereka boleh mempengaruhi perasaan dan fikiran kita.
Jadi Surah an-Naas ini mengajar kita untuk memohon perlindungan daripada tipu daya mereka supaya kita tidak terpedaya oleh perasaan dan fikiran buruk yang mereka boleh tanamkan dalam diri kita.
Umar: Bahaya ke kalau kita tidak berlindung daripada mereka?
Papa: Bahaya Umar!
Kita akan terpengaruh oleh perasaan dan fikiran buruk yang mereka bisikkan pada kita.
Menyebabkan ibadah kita terganggu dan hidup kita menjadi huru hara.
Contohnya, ada anak murid mama itu kan, bila dia ada masalah je, dia akan toreh tangan dia.
Satu masalah, satu toreh.
Dua masalah, dua toreh.
Lima masalah, lima toreh.
Jadi penuh toreh kat tangan dia.
Kan tak elok kita cederakan diri kita?
Umar: Tak sakit ke papa?
Papa: Mestilah sakit, tapi tulah dia dah dipengaruhi oleh bisikan-bisikan syaitan.
Sebab itulah kita kena mohon perlindungan daripada Allah untuk mengelak daripada tipu daya syaitan yang licik ini.
Anak: Bagaimana cara kita memohon perlindungan, papa?
Bapa: Pertama, kita kena baca dan hafal surah ini.
Kedua, kita kena amalkan membacanya setiap kali selepas solat dan sebelum tidur.
Ketiga, faham dan hayati surah ini.
Raniya: Hayati itu apa papa?
Hayati itu macam yang papa terangkan pada Umar dan Raniya inilah.
Kita nak faham apa maksud yang Allah sampaikan pada kita.
Kita berdoa pada Allah dengan membaca Surah an-Naas.
Ketika membacanya pula, kita baca dengan penuh keikhlasan dan kesedaran bahawa hanya Allah sahaja yang boleh melindungi kita.
Dia-lah satu-satunya yang dapat memberikan perlindungan terbaik daripada segala bahaya yang ada di dunia ini.
Ataupun kita boleh terus berdoa kepada Allah, “ Ya Allah, lindungilah saya daripada bahaya”.
Jadi bila kita minta perlindungan daripada Allah, kita akan mendapat kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi perasaan ragu-ragu, fikiran buruk dan tipu daya makhluk yang kita tak nampak.
Kita nak Allah jaga iman kita, rajin buat ibadah dan lindungi seluruh kehidupan kita.
Umar: Kalau macam itu Umar nak hafal Surah an-Naas lah.
Saya nak Allah sentiasa lindungi saya.
Terima kasih papa sebab ajar surah ini pada saya.
Papa: Ha, itu keputusan yang sangat bagus Umar!
Sama-sama.
Jadi mari kita sama-sama bergantung pada Allah, boleh?
Umar dan Raniya: Boleh.
Bangun, berilah peringatan!
Mungkin kurang sesuai mengatakan orang yang toreh tangan tu disebabkan bisikan syaitan. Isu sakit mental ni agak sensitif. Moga lebih berhati-hati dalam memberikan contoh.
Terima kasih kerana sudi membaca di blog saya ini. Terima kasih kerana memberi komentar dan pandangan terhadap artikel yang saya tulis dan terima kasih juga di atas doa yang dipanjatkan. Insha-Allah kita sama-sama belajar. Saya dah dengar pandangan Dr. Maza, dah baca tulisan Mufti Wilayah Persekutuan dan juga sahabat saya yang berada di dalam bidang psikologi tentang perkara ini. Jadi di ruang yang sempit dan kecik ini saya simpulkan bahawa dalam isu ini kita boleh melihat dua pandangan. Pertama, pandangan daripada agama kita Islam (Surah an-Naas). Kedua, pandangan daripada barat (Ilmu psikologi, sakit mental dan sebagainya). Jadi dia bukanlah sesuatu perkara yang terpisah dan tidak ada kaitan langsung. Saya sertakan link untuk rujukan:
1. Dr. Maza: https://www.youtube.com/watch?v=OjvezMtRn8c
2. Mufti Wilayah Persekutuan: https://www.muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/2485-bayan-linnas-siri-ke-138-halusinasi-pandangan-para-ulama