Apa maksud (الٓمٓ)?
Kebanyakan kita akan jawab wallahu a’lam.
Betul tak?
Maksudnya hanya Allah sahaja yang tahu.
Kalau Allah sahaja yang tahu, buat apa Allah beritahu?
Jemput baca: Apakah Maksud Tadabbur?
Tadabbur Ayat 1 Surah as-Sajdah
الٓمٓ
Alif, Laam Miim.
Kata Ustaz Abd Muein, sebenarnya ada banyak pendapat tentang maksud (الٓمٓ) ataupun huruf-huruf yang lain seperti (يسٓ, حم, ن).
Semua ini dipanggil huruf muqata’ah.
3 Pendapat Tentang Maksud (الٓمٓ)
Pendapat pertama mengatakan (الٓمٓ) adalah simbolik kepada nama Allah subhanahu wa ta’ala.
Pendapat kedua pula mengatakan (الٓمٓ) simbolik kepada nama Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam.
Tapi semua itu tidak ada dalil.
Pendapat ketiga mengatakan (الٓمٓ) ada makna, tapi hanya Allah subhanahu wa ta’ala sahaja yang tahu, seperti mana tajuk artikel ini.
Ustaz tanya kepada para pelajar, kalau kita jawab hanya Allah sahaja yang tahu, ada dalil ke?
Atau dari mana kita tahu makna itu?
Kita pun tidak tahu.
Jadi, tidak ada dalil.
Sahabat tidak pernah cakap pun yang (الٓمٓ) ada makna, tapi Allah subhanahu wa ta’ala sahaja yang tahu.
Nabi salla Allah ‘alaih wa sallam pun tidak pernah cakap (tidak ada hadis).
Bila Nabi salla Allah ‘alaih wa sallam dan juga para sahabat pun tidak pernah cakap, kita pun jangan cakap.
Habis apa maknanya?
Maknanya kata ustaz, pendapat yang kuat dan pendapat ini dipegang oleh Imam Mujahid, beliau kata (الٓمٓ) ini tidak ada makna.
Inilah pendapat yang keempat, dan pendapat inilah yang paling kuat iaitu (الٓمٓ), (يسٓ) dan (حم) tidak ada makna.
Ada pelajar tanya pula, apa dalil pendapat yang keempat ini?
Jawab ustaz, dalil tidak ada makna ialah bila tidak ada dalil bahawa dia ada makna.
Pening tak baca?
Kalau pening, saya ulang lagi sekali.
Dalil maksud (الٓمٓ) tidak ada makna ialah bila tidak ada dalil yang mengatakan bahawa (الٓمٓ) itu ada makna.
Saya harap anda boleh faham.
Itu jawapan yang pertama.
Yang kedua, kenapa (الٓمٓ) tidak ada makna ialah kerana ia adalah huruf iaitu huruf (ا), (ل) dan (م).
Huruf ada makna atau tidak?
Tidak ada.
Contoh huruf A, B, C ada makna atau tidak?
Huruf A ada makna?
Tidak ada.
Huruf B?
Tidak ada.
Bila huruf A itu ada makna?
Bila ia terbentuk dalam satu perkataan.
Contoh A + l + i, baru ada makna.
Begitulah juga dengan huruf (ا ب ت ث), ada makna?
Tidak ada.
Bila huruf itu ada makna?
Bila dia terbentuk dalam satu perkatan, contohnya huruf (ت) + (ن) + (ز) + (ي) + (ل).
Jadilah (تنزيل) – penurunan.
Tetapi timbul pula persoalan lain, kalau tidak ada makna, kenapa Allah subhanahu wa ta’ala turunkan?
Pernah atau tidak Allah subhanahu wa ta’ala turunkan satu perkara yang tidak ada makna ataupun sia-sia?
Maha suci Allah daripada melakukan perkara tersebut.
Okey, jadi apa faedah dia?
Ada pelajar jawab untuk dapat pahala.
Kalau untuk dapat pahala, buatlah ayat panjang sikit.
Okeylah jom kita kongsikan jawapannya.
Bila dah tahu jawapannya nanti, janji tau kongsikan pada orang lain.
Supaya lebih ramai tahu tentang perkara ini.
Tujuan utamanya adalah untuk Allah subhanahu wa ta’ala mencabar orang-orang musyrikin Makkah yang tidak percaya pada al-Quran.
Kan mereka menuduh al-Quran itu daripada Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam dan bukannya daripada Allah subhanahu wa tala.
Jadi kalau al-Quran itu datang daripada Muhammad, Allah cabar mereka untuk buat 10 surah.
Kalau tidak mampu 10 surah, buat satu surah pun cukup.
Kalau tidak mampu juga, buatlah satu ayat.
Dan bila Allah subhanahu wa ta’ala nak cabar orang musyrikin, pastilah dalam kemampuan orang musyrikin.
Apa dia?
Allah cabar mereka buat al-Quran dalam bahasa mereka (bahasa Arab).
Jadi bila Allah nak cabar, mestilah dalam bahasa yang mereka mampu.
Apa bukti yang Allah cabar itu adalah bahasa Arab, apa bukti?
Buktinya ialah huruf (ا), (ل) dan (م) ini adalah huruf arab.
Jadi kalau betul kamu kata al-Quran ini daripada Muhammad, pastilah al-Quran juga dalam bahasa kamu kerana Muhammad pun sama seperti kamu orang Arab.
Tiba-tiba mereka tidak mampu buat.
Mestilah tidak mampu, sebab itulah bukti yang al-Quran bukan daripada Muhammad, tetapi daripada Tuhan Muhammad!
Bangun, berilah peringatan!