Membaca buku Erti Beragama Yang Hilang membuatkan saya berhenti sebentar untuk muhasabah diri.
Bukan muhasabah seperti yang biasa kita lakukan.
Muhasabah yang tidak muhasabah pun.
Maksud saya ialah muhasabah yang kita tidak buat dengan bersungguh-sungguh.
Muhasabah yang sekadar di permukaan dan tidak meresap ke dalam hati.
Iaitu muhasabah yang kita lakukan setelah kita ditimpa kesusahan.
Dan kesusahan itu dinilai berdasarkan sejauh mana rezeki yang Allah limpahkan kepada kita.
Dan rezeki itu pula disempitkan lagi hanya semata-mata dalam bentuk material.
Maksudnya, semakin kaya kita, semakin kita kurang muhasabah.
Semakin miskin kita, semakin banyak kita kena muhasabah.
Isunya bukan tidak boleh muhasabah apabila ditimpa kesusahan.
Isunya ialah apa itu kesusahan di mata orang beriman?
Kita jangan mengukur berimannya seseorang itu berdasarkan kemewahan.
Kenapa dia kaya?
Sebab dia dekat dengan Tuhan.
Persoalannya dia kaya itu bukan sebab dia dekat dengan Tuhan, tapi sebab kurniaan Tuhan.
Sebab ada sahaja orang yang dekat dengan Tuhan tapi hidupnya miskin.
Kalau tidak miskin pun, hidupnya biasa-baisa sahaja.
Cuma kita tidak pandang mereka.
Kita tidak nampak keimanan mereka kerana kita melihatnya secara mata kasar.
Muhasabah yang sebenar-benar muhasabah ialah sejauh mana hubungan kita dengan Tuhan?
Tidak kira siapa pun kita, sama ada kaya atau miskin.
Sama ada sihat ataupun sakit.
Sama ada tua ataupun muda.
Lebih parahnya, kita tidak melihat orang yang tidak pandai baca al-Quran itu satu kesusahan.
Kita tidak melihat orang yang tidak faham al-Quran itu satu kesusahan.
Kita tidak melihat kita sembahyang menggunakan ilmu sekolah rendah itu sebagai satu kesusahan.
Ini masalah kita sebenarnya.
Kita tidak faham maksud kesusahan.
Bila tidak faham, kita tidak mahu belajar.
Itu satu perkara.
Jemput baca:
Salah Faham Beragama Dalam Konteks Ibadah
Perkara yang kedua pula ialah bila ada orang yang beri tunjuk ajar, kita melenting kata orang itu bawa fahaman sesat pula.
Saya bagi contoh cara kita melakukan ibadah.
Secara umumnya, kita tahu bahawa untuk melakukan sesuatu ibadah, ibadah itu perlu ada dalil.
Kalau dalil daripada al-Quran itu jelas.
Tidak ada orang pertikai.
Cuma bab hadis ini ramai yang masih keliru – hadis dhaif.
Berkaitan hadis dhaif ini bukan isu boleh amal atau tidak boleh amal.
Silakan mahu beramal.
Isu dia ialah apa pilihan kita antara barang yang baik dengan barang yang terbaik?
Saya bagi contoh, antara kereta kecil dan kereta besar, antara rumah kecil dengan rumah besar dan antara gaji kecil dan gaji besar, mana satu pilihan kita?
Secara fitrahnya kita akan memilih yang besar ataupun yang terbaik untuk diri kita.
Begitulah juga dengan amalan.
Sudah pasti, kita perlu memilih amalan yang terbaik untuk diri kita.
Kenapa dalam urusan dunia, kita tahu mana satu nilai yang besar.
Tetapi dalam urusan akhirat, kita mahu bergaduh pula.
Hadis dhaif tadi diumpamakan seperti kereta kecil, gaji kecil dan rumah kecil.
Manakala hadis sahih pula diumpamakan dengan kereta besar, gaji besar dan rumah besar.
Mana satu pilihan kita?
Kalau mahu terus menggunakan yang kecil-kecil, silakan.
Tapi, jangan marah kalau ada orang yang ajak menggunakan perkara yang besar.
Umpama kita marahkan orang yang mengajak kita ubah hidup menjadi kaya.
Ini antara yang saya rasa setelah menamatkan bacaan buku ini.
Dan banyak lagi sebenarnya isu-isu yang perlu kita muhasabah.
Dua ekstrem dalam beragama.
Golongan ekstrem ini ialah mereka yang tidak baik dalam urusan keagamaan tetapi sangat baik dalam urusan keduniaan.
“Dia tidak menutup aurat, tapi dia orang yang baik.”
“Ok-lah, dia banyak bersedekah walaupun selalu tinggal solat.”
“Sekurang-kurangnya dia seorang yang baik walaupun tak percaya Tuhan!”
Kedua-duanya adalah ekstrem dalam beragama; iaitu baik dalam urusan keagamaan tetapi buruk dalam urusan keduniaan, dan buruk dalam urusan keagamaan tetapi baik dalam urusan keduniaan.
Inilah juga tafsiran yang biasa diterima masyarakat awam tentang makna keagamaan dan keduniaan.
Jadi, saya mencadangkan kepada Tuan Puan semua bacalah buku tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil ini, mudah-mudahan kita menjadi muslim yang lebih baik.