Doa Selamat sering diamalkan oleh masyarakat kita.
Saya bukan mahu cerita tentang hukum Doa Selamat.
Kerana secara umumnya kita boleh berdoa apa sahaja kepada Allah subhanahu wata’ala, walaupun doa tersebut tidak ada di dalam al-Quran ataupun hadis.
Asalkan kita memenuhi syarat-syarat dan juga adab-adab berdoa.
Ini berdasarkan hadis Nabi salla Allah alaih wa sallam.
Daripada Ubadah Bin Somit, Nabi salla Allah alaih wa sallam bersabda:
مَا عَلَى الأَرْضِ مِنْ رَجُلٍ يَدْعُو اللَّهَ بِدَعْوَةٍ إِلا آتَاهُ اللَّهُ إِيَّاهَا أَوْ كَفَّ عَنْهُ مِنَ الشَّرِّ مِثْلَهَا مَا لَمْ يَدْعُ بِالإِثْمِ أَوْ قَطِيعَةَ رَحِمٍ فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ إِذَنْ نُكَثِّرُ قَالَ اللَّهُ أَكْثَرُ
Tiada lelaki di muka bumi apabila dia berdoa dengan apa-apa doa melainkan Allah akan memberinya atau menjauhkannya daripada sebarang kejahatan selagi mana dia tidak berdoa dengan perkara yang berdosa atau memutuskan silaturrahim. Maka seorang lelaki dari satu kaum bertanya: Apakah perlu kami memperbanyakkan doa? Nabi salla Allah ‘alaih wa sallam menjawab : “Bahkan apa yang ada di sisi Allah itu lebih banyak.”
[Riwayat al-Tabarani (182) di dalam Musnad al-Syamiyyun]
Mengapa Kita Membaca Doa Selamat?
Kerana kita mahu selamat.
Selamat daripada apa?
Selamat daripada setiap perkara yang boleh membahayakan diri kita.
Contohnya kita mahu selamat daripada dirompak, dibunuh ataupun diseksa.
Kita juga mahu selamat daripada kemiskinan dan juga kelaparan.
Tapi, kita terlupa mahu selamat daripada satu perkara.
Malah, satu perkara ini lebih utama berbanding selamat daripada perkara-perkara yang saya sebutkan tadi.
Apa perkara itu?
Selamat daripada kemurkaan dan azab allah.
Inilah kemuncak ‘selamat’ yang perlu kita perolehi.
Kebiasaanya bila kita berpindah ke rumah baru, pasti kita mahu rumah baru kita itu selamat terutamanya selamat daripada dirompak ataupun diganggu oleh makhluk halus.
Inilah dua bahaya yang selalu bermain-main di dalam fikiran kita bila berpindah ke rumah baru.
Maka, kita pun membuat Majlis Doa Selamat dengan harapan kita akan selamat.
Persoalannya – adakah dengan cara itu, kita akan selamat?
- Jemput baca: Hukum Amalan ‘Memagar’ Rumah
Ikut Petunjuk Allah Jika Mahu Selamat
Allah mengajar kita di dalam Surah Taha 20: 47,
وَٱلسَّلَٰمُ عَلَىٰ مَنِ ٱتَّبَعَ ٱلْهُدَىٰٓ
Dan selamat sejahtera itu adalah untuk orang-orang yang menurut petunjuk ugama Allah.
Kata Ustaz Abd Muein, ayat ini cukup jelas mengatakan bahawa kalau kita mahu selamat, kita mesti ikut petunjuk Allah, bukannya dengan membaca Doa Selamat.
Sekali lagi saya ingatkan bahawa bukan Doa Selamat itu yang ‘bersalah.’
Tapi yang salah ialah diri kita sendiri.
Maksudnya ialah kalau kita baca Doa Selamat, tapi tidak ikut petunjuk Allah, kita tidak mungkin selamat.
Umpamanya kalau kita berdoa memohon rezeki kepada Allah, tetapi tidak berusaha, Allah tidak akan kurniakan rezeki kepada kita.
Ustaz berikan contoh lagi, biasanya kalau kita mahu pergi menunaikan ibadah haji, kita akan membaca Doa Selamat.
Pergi dan balik kita baca doa tersebut dengan harapan kita dapat pergi dan balik dengan selamat.
Kata ustaz, al-Quran mengajar kita bukan sekadar selamat pergi dan balik semata-mata, namun yang lebih utama ialah selamat daripada azab Allah subhanahu wa ta’ala.
Kadang-kadang kita selamat pergi dan balik menunaikan haji, tapi haji kita tertolak.
Manakala ada orang lain yang pergi menunaikan haji dan meninggal dunia di Makkah.
Tetapi hajinya diterima.
Jadi, inilah maksud ‘selamat’ yang sebenar.
Bila ibadah haji kita diterima oleh Allah, kita akan selamat daripada azab Allah.
Berdasarkan ayat tadi, Allah berikan kita cara untuk selamat ialah dengan mengikut petunjuk Allah.
Apa langkah yang perlu kita buat untuk mengikut petunjuk Allah?
Faham al-Quran kerana daripada situ, kita tahu apa perintah Allah.
Bagaimana kita mahu ikut petunjuk Allah tanpa kita memahaminya, jadi kita masih belum selamat.
Jemput baca:
Contoh Tauladan Orang Yang Selamat Setelah Mengikut Petunjuk Al-Quran
1. Para Sahabat
Kita lihat sejarah para sahabat dahulu selamat dalam peperangan, selamat berhijrah dari Kota Makkah ke Kota Madinah dan selamat dalam menyampaikan dakwah adalah disebabkan mereka mengikut petunjuk al-Quran.
Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam bersama Abu Bakar as-Siddiq selamat daripada dihidu tempat persembunyiannya di dalam Gua Tsur.
Walaupun pada masa itu orang musyrikin sudah berada betul-betul di hadapan pintu gua.
Sebab apa?
Sebab Nabi dan Abu Bakar ikut perintah dan kaedah yang Allah berikan di dalam al-Quran.
Maksudnya bila ikut petunjuk Allah, walaupun musuh ada di hadapan, mesti selamat.
Itulah janji Allah.
2. Pemuda Ashabul Kahfi
Begitu juga yang berlaku kepada Pemuda Ashabul Kahfi yang dikejar oleh pihak kerajaan ketika itu.
Mereka juga duduk di dalam gua.
Jika ikut logik, boleh sahaja kerajaan jumpa mereka di dalam gua tersebut kerana mereka bukan duduk sehari atau dua hari, tetapi selama 309 tahun.
Sehingga kerajaan yang cari mereka pun dah runtuh dan digantikan dengan kerajaan yang lain, tetapi Pemuda Ashabul Kahf masih hidup.
Sebab apa?
Sebab mereka mengikut petunjuk Allah.
Sekali lagi, bila ikut perintah Allah, mereka selamat.
3. Nabi Yunus Alaihissalam
Allah cerita kisah Nabi Yunus alaihissalam di dalam Surah as-Saaffaat 37: 142-144,
Setelah itu ia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak ditempelak. Maka, kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.
Kata ustaz, kalau jarak masa dari zaman Nabi Yunus hingga ke Hari Kiamat itu mengambil masa 100 ribu tahun, maka Baginda akan terperangkap di dalam perut ikan selama 100 ribu tahun.
Jika ikut logik akal, masuk di dalam perut ikan walaupun sekejap, boleh menyebabkan kematian kerana suasana yang gelap dan susah untuk bernafas.
Tetapi, baginda boleh selamat.
Sebab apa?
Setelah baginda merajuk, baginda bertaubat kepada Allah.
Baginda ikut petunjuk Allah dengan berzikir di dalam perut ikan.
4. Siti Hajar
Kisah Siti Hajar lebih tragis.
Beliau duduk di padang pasir yang kering kontang.
Tidak ada makanan, pokok, sungai dan mahupun manusia.
Jika ikut logik, memang wajib mati.
Tetapi beliau selamat.
Bagaimana mana beliau boleh selamat?
Apabila beliau mengikut petunjuk Allah.
Beliau tanya kepada Nabi Ibrahim, “siapa yang perintahkan kamu tinggalkan aku di sini?”
Nabi Ibrahim menjawab, “Allah.”
“Baiklah. Jika begitulah jawapannya, aku akan ikut perintah Allah.” Kata Hajar.
Kesimpulannya ialah bagi kita orang yang beriman, maksud selamat yang sebenar ialah bukan selamat daripada segi fizikal, tetapi selamat akidah kita.
Selamat amalan kita diterima oleh Allah subhanahu wa ta’ala.