fbpx

Doa Nabi Ibrahim Alaihissalam Supaya Zuriatnya Tidak Menyembah Berhala

Apakah pengajaran yang boleh kita ambil daripada doa Nabi Ibrahim?

Jika kita membaca ayat 35 Surah Ibrahim, ada dua doa yang dipanjatkan oleh Nabi Ibrahim alaihissalam.

Doa Nabi Ibrahim

Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

وَإِذْ قَالَ إِبْرَٰهِيمُ رَبِّ ٱجْعَلْ هَٰذَا ٱلْبَلَدَ ءَامِنًا وَٱجْنُبْنِى وَبَنِىَّ أَن نَّعْبُدَ ٱلْأَصْنَامَ

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala.

[Surah Ibrahim 14: 35]

Pertama, baginda doa supaya negerinya aman.

Kedua, baginda minta supaya zuriatnya tidak menyembah berhala.

Mengapa selepas baginda meminta negeri yang aman, baginda minta pula supaya  dijauhkan diri baginda dan zuriatnya daripada menyembah berhala?

Kata Ustaz Abd Muein, pertama sebab baginda tahu bahawa bapanya sendiri Azar merupakan penyembah berhala.

Malah bukan itu sahaja, bapanya juga merupakan pembuat berhala.

Jadi, perbuatan menyembah berhala ini begitu rapat dengan diri baginda.

Baginda tidak mahu anak dan cucunya menjadi seperti bapa dan masyarakat baginda.

Tinggalkan Berhala & Sembahlah Allah

hakimdarno - doa nabi ibrahim supaya zuriatnya tidak menyembah berhala 1

Sebab yang kedua ialah baginda mahu anak dan cucunya sentiasa mentauhidkan dan jangan mensyirikkan Allah.

Ini menunjukkan bahawa negeri aman sahaja tidak cukup.

Negeri sahaja aman, tapi kalau penduduknya menyembah berhala atau syirik kepada Allah subhanahu wa ta’ala, mereka tidak akan selamat.

Mungkin pada zahirnya mereka akan selamat dan aman.

Namun, hakikatnya mereka semua tidak selamat terutamanya bila di akhirat nanti.

Dan antara negeri yang aman dengan akidah yang selamat, yang lebih penting ialah akidah yang selamat.

Sebab itu, Allah sebut di dalam Surah al-Baqarah 2: 191,

وَٱلْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ ٱلْقَتْلِ

Dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.

Maksudnya bila berlaku pembunuhan di sesuatu tempat, penduduk di situ akan merasa tidak aman.

Timbul rasa takut dan risau sekiranya mereka pula yang akan jadi mangsa pembunuhan.

Begitulah yang Allah mahu gambarkan di dalam ayat ini.

Fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh (fitnah yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah syirik kepada Allah).

Kadang-kadang tidak ada pun berlaku pembunuhan di tempat itu, tetapi yang berlaku adalah mensyirikkan Allah.

Maka mensyirikkan Allah itu lebih dahsyat daripada membunuh.

hakimdarno - doa nabi ibrahim supaya zuriatnya tidak menyembah berhala 3

Secara umumnya, ramai pemimpin yang mahu negaranya aman daripada kegiatan pembunuhan, rompakan dan rasuah, tetapi tidak ramai pemimpin yang mahu menjaga negara ataupun rakyatnya daripada syirik kepada Allah.

Dalam konteks ayat ini, berapa banyak negara yang pada zahirnya aman, tetapi penduduknya syirik kepada Allah?

Banyak … termasuk juga dengan negara yang majoritinya beragama Islam.

Kita lihat banyak negara yang nampak bersih dan teratur dari segi luarannya, tapi penduduknya tidak menyembah Allah SWT.

Jemput baca:

Pengajaran Doa Nabi Ibrahim Untuk Kita

Pertama, kita perlu melindungi rumah kita daripada apa-apa sahaja yang boleh merosakkan atau menjadikan rumah kita tidak aman.

Contohnya memasang pagar dan juga CCTV bagi menghalang pencuri dan perompak masuk ke dalam rumah.

Kita juga boleh meletakkan ubat anai-anai ataupun perangkap tikus dan lipas supaya rumah kita tidak rosak yang akan menyebabkan hidup kita tidak selesa.

Kita kena sentiasa menjaga kebersihan rumah daripada ancaman kuman, tikus, lipas dan sebagainya.

Kedua, namun dalam banyak-banyak perkara tadi, fokus yang paling utama ialah kita melindungi diri kita dan juga keluarga daripada rosak akidah dan akhlak.

Allah kata di dalam Surah at-Tahriim ayat 66: 6,

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

Wahai orang yang beriman, jaga diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka.

Ayat ini menyuruh kita supaya menjaga akidah dan juga akhlak.

Kita perlu lindungi keluarga kita daripada berhala pada zaman moden iaitu berhala tidak berbentuk.

Apakah berhala yang tidak berbentuk?

hakimdarno - doa nabi ibrahim supaya zuriatnya tidak menyembah berhala 2

Kata ustaz, nafsu, harta benda, telefon bimbit, Whatsapp, Telegram, Facebook, televisyen dan sebagainya.

Inilah bentuk-bentuk berhala zaman moden.

Mungkin di rumah kita tidak ada berhala yang berbentuk seperti patung, tetapi segala gajet-gajet tadi boleh bertukar menjadi berhala apabila kita menyalahgunakannya.

Leave a Comment