Amalkan doa hilangkan kesedihan.
Saya mendapat doa ini daripada kuliah Ustaz Abdul Muein.
Menurut beliau, siapa yang membaca doa ini, Allah akan hilangkan kesedihannya.
Tapi dengan syarat, kita kena faham dan menghayati betul-betul doa ini.
Doa ini adalah sabda Nabi dalam satu hadis riwayat Ahmad dan al-Hakim.
Menurut ustaz, di dalam doa ini kita hanya mohon sedikit sahaja hajat iaitu di penghujung doa.
Manakala permulaan doa dimulakan dengan tawasul ataupun sifat rendah diri kita sebagai hamba yang memohon kepada Allah subhanahu wa ta’ala.
Doanya bermula begini.
“Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu.”
Menurut ustaz, kita bukan mengaku hamba kepada tuan atau pun bos, tetapi hamba kepada Allah.
Malah, kita pun mengaku bahawa kita adalah anak kepada hamba Allah, maksudnya ayah kita juga seorang hamba, emak kita juga seorang hamba.
Subhanallah!
Maksudnya, bukan sahaja kita hamba, ayah, emak, atok dan sehinggalah ke Nabi Adam juga adalah hamba.
Ha, biar kita sedar diri sikit yang kita ini rupa-rupanya keturunan hamba.
“Ubun-ubunku di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu,”
Maksudnya kita kena reda sahaja dengan apa yang Allah takdirkan untuk kita.
Allah nak takdirkan kita sihat, alhamdulillah. Allah nak takdirkan kita sakit, alhamdulillah.
“Engkau telah berlaku adil ke atas ku dalam keputusan-Mu.”
Menurut ustaz lagi, bahagian ini penting.
Kadang-kadang bila Allah timpakan masalah kepada kita, kita akan merungut bahawa Allah tidak adil.
Tidak!
Kita kena yakin dan percaya bahawa Allah Maha Adil. Ini adalah akidah kita.
Jemput baca:
Contohnya Allah uji kita sama ada kita ada anak atau tidak, ada isteri atau tidak, sihat atau sakit, kaya atau miskin, Allah tetap adil.
Kemudian kita bertawasul dengan nama Allah.
“Aku memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu,”
Setelah kita merendahkan diri dan bertawasul kepada Allah, barulah kita memohon doa.
“(Aku memohon kepada-Mu) untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati ku, cahaya di dada ku, penghilang kesedihan ku, penghapus kesusahan ku.”
Kalau kita lihat doa ini dalam teks arab, kita mohon kepada Allah,
“Jadikanlah al-Quran ini sebagai rabi’ qalbi.”
Menurut ustaz, perkataan rabi’ dalam bahasa arab bermaksud musim bunga.
Jadi, biasanya kalau kita risau atau sedih, kita rasa nak pergi ke tempat yang menenangkan dan menyejukkan hati seperti tempat yang ada musim bunga.
Begitulah sepatutnya perasaan orang beriman bila membaca al-Quran.
Umpama melihat musim bunga, rasa seronok baca, nak baca lama dan nak faham maksud ayat.
Patutlah Nabi boleh baca tiga surah panjang dalam solat malam. Surah al-Baqarah, Surah ali-‘Imran dan Surah an-Nisaa’.
Kerana al-Quran telah menjadi musim bunga di dalam hati Nabi.
Kita pula bagaimana, bila lagi al-Quran nak jadi musim bunga di dalam hati kita?
Asyik musim panas sahaja.
Yelah sebab hubungan kita dengan al-Quran sangat jauh. Kita sibuk dengan televisyen, game, media sosial dan sebagainya.
Jadi, sampai bila kita nak baca sahaja tetapi tidak faham? Sampai bila kita nak baca al-Quran tapi tidak rasa apa apa?
Lalu kita pun berdoa lagi supaya,
“Jadikanlah al-Quran ini sebagai penghilang kesedihanku.”
Maksudnya selagi kita tidak membaca al-Quran, tidak faham dan tidak beramal, kita akan berada dalam kesedihan.
Kerana hanya al-Quran sahaja yang boleh menghilangkan kesedihan manusia.
“Dan jadikanlah al-Quran sebagai penghapus kerisauanku sama ada yang dah lepas atau yang akan datang.”
Ha contoh sekarang, kita risau pasal COVID-19, risau nak keluar rumah, kemudian risau pasal rezeki, pasal berhenti kerja, anak-anak dan sebagainya.
Maka, bacalah doa ini kerana diambil daripada hadis yang sahih.
Jangan kita hanya membaca doa untuk jauhkan diri daripada wabak penyakit sahaja, tetapi penyakit yang lebih dahsyat iaitu hati kita keras, hati kita penuh dengan titik hitam dan hati kita jauh daripada Allah subhanahu wa ta’ala, kita tidak minta.
Ambillah peluang daripada musibah yang Allah timpakan kepada kita ini untuk kita semakin dekat dengan Allah.
Untuk kita semakin dekat dengan al-Quran, untuk kita menghayati satu persatu perintah dan larangan Allah dalam al-Quran.
Sebagaimana kita sentiasa peka untuk mendengar arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kementerian lain yang terlibat setiap saat.
Sehingga semua arahan daripada MKN atau KKM, dihayati dan difahami. Tidak kira yang tua dan yang muda, malah budak pun boleh memahami arahan dengan baik.
Kenapa sampai begitu difahami arahan manusia?
Tetapi arahan Allah seribu empat ratus tahun yang lepas, golongan tua ramai yang tidak faham, budak lagi lah tidak faham.
Kenapa?
Tanyalah ke dalam diri kita, “Di mana Allah dalam kehidupan kita?”