fbpx

Disiplin Kejayaan

Hari ini saya baca buku Personaliti Kejayaan.

Bukan baca semua, tapi hanya satu bab sahaja.

Kenapa baca satu bab sahaja?

Sebab bukan semata-mata nak baca, tapi nak hadam dan lumat isinya.

Kenapa dalam banyak-banyak buku yang saya ada, saya pilih buku ini?

Sebab saya nak ambil inspirasi.

Kenapa saya perlukan inspirasi ketika ini?

Sebab tengah down ke sekarang?

Tidak juga.

Tapi sebab, jadual saya semakin lama semakin padat.

Bukanlah nak beritahu pada semua orang bahawa saya seorang yang sibuk, pasti setiap orang mempunyai kesibukan yang tersendiri.

Cuma nak beritahu sebab kenapa saya memilih untuk membaca buku ini dan ketika ini.

Tujuannya adalah untuk memastikan saya dapat melalui setiap detik dan saat ketika sibuk ini dengan penuh kejayaan.

Sebab itulah saya nak jadikan buku ini, sebagai rujukan utama saya untuk mencapai kejayaan pada tahun ini.

Buku ini hanya ada 98 muka surat sahaja.

Hari ini saya memilih untuk membaca bab yang kelima daripada tujuh bab semuanya.

Bab lima cerita tentang disiplin kejayaan.

Saya ringkaskan dahulu apa yang ada dalam bab lima ini.

Dalam bab lima ini, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar bahagikan kepada enam subtopik:

1. Definisi disiplin dan disiplin kejayaan.

2. Disiplin pengurusan masa.

3. Disiplin peningkatan keilmuan.

4. Disiplin bekerja kuat dan keras.

5. Disiplin bekerja secara bijaksana.

6. Disiplin perwatakan dan personaliti.

7. Ketahanan diri hasil disiplin tinggi.

Bab kelima ini, berada pada muka surat ke-49 hingga muka surat 64 (ada lebih kurang 18 muka surat).

Jom kita pergi satu persatu.

Oh ya, untuk artikel kali ini saya kongsikan dua subtopik terlebih dahulu ya.

Definisi Disiplin & Disiplin Kejayaan

hakimdarno - disiplin kejayaan 2

Kata Tan Sri Dr, disiplin adalah satu kualiti gerak kerja yang diperlukan berdasarkan tahap tertentu untuk menjayakan sesuatu kerja atau tugasan itu.

Tiga kata dasar kepada disiplin iaitu kualiti, gerak kerja dan tahap ataupun piawaian tertentu yang perlu dipatuhi.

Ia merupakan satu gabungan kerja fizikal dan kerja hati.

Mungkin ada orang boleh berdisiplin dalam satu aspek sahaja tetapi bukan dalam semua aspek dan dimensi.

Seseorang itu contohnya, boleh hadir ke tempat kerja tetap waktunya (berbanding orang lain) tetapi apabila sampai di tempat kerja, masa kerja tidak difokus untuk skop kerja yang dijangkakan daripadanya.

Masa banyak dihabiskan untuk kerja-kerja luar atau sampingan yang tidak ada kaitan dengan skop pekerjaannya.

Pendek kata, dia gagal berdisiplin semasa bekerja.

Kemungkinan juga seseorang itu tekun dalam kedatangan kerja dan juga melakukan kerja sepanjang masa bekerja tetapi kualiti pekerjaannya tidaklah sebaik mana.

Begitu juga dalam solat, kadang-kadang kita dah istiqamah datang solat jemaah, tapi fikiran kita melayang entah ke mana.

Dalam hati kita kata, “Janji aku dah datang jemaah.”

Jadi, kita nak ubah minda kita.

Orang yang berdisiplin tinggi akan sentiasa berminda untuk melakukan yang terbaik.

Dia akan melakukan segala jenis persiapan yang diperlukan untuk melakukan dan menyempurnakan sesuatu pekerjaan dengan sebaik mungkin.

“Job done” atau “kerja terlaksana” bukanlah falsafah hidup orang yang ingin berjaya.

Mereka hendaklah memikirkan bagaimana untuk menyempurnakan sesuatu kerja dengan penuh keterpesonaan dan keterujaan.

“Job well done” atau “kerja hebat terlaksana” sepatutnya menjadi inspirasi orang yang berdisiplin tinggi”.

Jemput baca: Menulis Adalah Satu Hiburan ~ Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar

Disiplin Pengurusan Masa

hakimdarno - disiplin kejayaan 3

Kata Tan Sri Dr, langkah kejayaan yang pertama ialah kejayaan menguruskan masa.

Masa pula adalah saudara kembar kepada nyawa.

Sebagai perumpamaan, setiap manusia apabila dilahirkan ke dunia ini akan mempunyai dua tangki yang dipikul atas bahunya iaitu tangki nyawa dan tangki masa.

Apabila habis isi kandungan kedua-dua tangki ini, maka tamatlah kehidupan seseorang di muka bumi ini.

Jadi kalau nak tengok orang itu berjaya atau tidak, tengoklah diarinya.

Diari melambangkan personaliti.

Diari seseorang yang sibuk menunjukkan bahawa dia adalah seorang yang teliti mengurus masa, sentiasa berjaga-jaga dan berwaspada dengan setiap detik dan saat.

Lebih penting lagi, apabila dia dapat menjimat masa daripada ketirisan dan kebocoran, dia memperolehi lebihan masa untuk memberi fokus kepada kerja yang paling penting dalam senarai kerja ataupun untuk mempelbagaikan aktiviti dan kerjanya.

Pada mulanya saya pun takut-takut dan bimbang untuk mengambil sebarang tanggungjawab.

Saya lebih selesa untuk santai-santai sahaja dan hanya menguruskan diri dan keluarga.

Tapi buku-buku Tan Sri Dr berjaya mengubah diri saya.

Apatah lagi, Tan Sri Dr sendiri menunjukkan contoh yang sebenar, bukan sekadar berteori apabila beliau mengetuai hampir 70 buah organisasi di dalam dan luar negara.

Jadi, saya tidaklah sehebat Tan Sri Dr.

Tapi bagi saya, kita boleh aplikasikannya dalam konteks kemampuan diri masing-masing.

Contohnya saya cuba berani kan diri (walaupun dalam hati sebenarnya takut) menerima tanggungjawab pengerusi tabika, imam masjid, naib pengerusi pibg sekolah rendah agama, mengetuai bacaan yaa siin, tahlil, talkin, bapa kepada tiga orang anak, suami, menjaga emak, ketua projek buku sebuah pertubuhan dan juga menguruskan program anak-anak remaja di kampung saya.

(Tidak sampai satu peratus pun daripada pencapaian Tan Sri Dr).

Walaupun tidak sehebat Tan Sri Dr, dapatlah saya sibukkan diri ala-ala beliau.

Dan di akhir tajuk kecil ini, Tan Sri Dr ada kongsikan tiga tip utama bagaimana menjadikan masa sebagai rakan dan teman perjalanan kita untuk mencipta kejayaan.

Nak tahu?

Kena dapatkan buku Personaliti Kejayaan!

.

.

.

.

.

.

.

(Macam ada orang yang tak puas hati je itu?)

Okey-okey, saya kongsikanlah tiga tip itu:

1. Strategi pratentuan (preloading strategy).

Ia adalah kebolehan membuat pembahagian tugas dalam minda untuk pelbagai tugas di masa hadapan.

Ini berlaku apabila kita perlu melaksanakan banyak tugas di mana kita perlu menentukan keperluan projek dalam minda kita.

Walaupun projek itu hanya akan bermula lagi dua bulan, tetapi apabila kita mengetahuinya lebih awal, minda kita akan terus memikirkannya sementara kita sibuk menyiapkan projek sedia ada.

2. Simpan yang terbaik untuk kemudian.

Ini berkaitan perasaan gembira.

Perasaan ini adalah satu kekuatan luar biasa yang mampu menolak kita mempunyai disiplin masa yang tinggi.

Semasa kita kuat bertenaga, lakukan perkara yang paling susah atau yang paling kita tidak suka.

Apabila kita sudah letih dan penat, lakukan perkara yang paling kita suka.

Perasaan gembira di waktu penat akan memberikan kekuatan baru untuk terus bekerja dalam situasi di mana ramai orang tidak akan berbuat apa-apa.

3. Kebolehan mengenal pasti dan mengurangkan kerumitan dalam aktiviti harian dan rutin.

Kenapa tip ini penting?

Sebab biasanya kita akan menjadi mangsa kitaran ganas rutin harian yang tidak produktif selama bertahun-tahun.

Dan inilah tabiat yang paling susah kita nak buang.

Ramai orang yang nampak sibuk tetapi hakikatnya, mereka hanya berlegar-legar di satu tempat sahaja dengan melakukan perkara yang sama dengan cara yang sama untuk beberapa tahun yang lepas.

Okey, saya berhenti di sini dahulu!

Mari kita amalkan dahulu disiplin masa dalam kehidupan kita.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment