Membaca Buku Diari Abah membawa saya terbang merentasi masa 10 tahun ke hadapan.
Masa itu umur saya dah masuk 40-an.
Ya Allah, kejapnya masa berlalu.
Pada umur inilah saya akan merasai sendiri apa yang dirasai oleh Ustaz Hasrizal sekarang.
Di mana, Ustaz Hasrizal berkongsi bagaimana beliau berinteraksi dengan 4 orang anaknya yang sedang meniti usia remaja.
“Eh, tak terlalu awal ke? Sofiyyah baru je 5 tahun. Umar pula 3 tahun. Raniya lagilah, lagi sebulan baru cukup setahun. ”
Saya bermonolog.
Nampak macam terlalu awal, tapi sebenarnya tidak.
Dengan kesibukan kita menjalani kehidupan seharian pergi dan balik kerja, hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun, sedar-sedar nanti, anak dah besar panjang.
Macam itulah yang saya rasa sekarang.
Dulu tertunggu-tunggu bila nak dapat anak.
Nah sekarang Allah kurniakan 3 orang anak.
Pejam celik pejam celik, lagi 2 tahun Sofiyyah nak naik darjah satu.
Ha, kan sekejap tu.
2 tahun, bukan lama sangat.
Huhu.

Terus terang saya katakan, membaca buku ini membuka minda kita supaya sentiasa bersedia terutamanya dari segi mental dan emosi bagi menghadapi fasa yang paling ditakuti ibu bapa iaitu ketika remaja.
Kita takut, sekiranya kita dah didik anak-anak dengan ilmu agama pun masih terlibat dengan gejala sosial.
Kita takut, sekiranya dah hantar anak-anak ke sekolah terbaik pun, anak-anak masih tidak mampu memberikan keputusan yang cemerlang.
Kita takut anak-anak akan melakukan perkara-perkara yang menjatuhkan air muka ibu bapa.
Begitulah seterusnya kita takut itu dan ini.
Sedar atau tidak, kita sedang takut dengan perkara yang kita sendiri tidak pasti.
Dengan kata lain kita bimbang dengan perkara yang berada di luar kuasa kita.
Anak kita taat atau derhaka pada masa hadapan adalah perkara yang kita tidak pasti.
Jadi, jangan fokus tentang ini.
Fokus pada perkara yang di bawah kuasa kita.
Berikan anak dengan pendidikan yang terbaik.
Apa dia pendidikan yang terbaik?
Finland?
Ireland?
United Kingdom?
Malaysia?
Tidak ada jawapan yang pasti.
Jemput baca:

Kata ustaz, belajarlah sepanjang masa.
Selagi hayat dikandung jasad.
Sebagaimana bekerja itu memerlukan ilmu dan kemahiran, demikianlah juga dalam mendidik anak.
Sayangilah anak-anak tanpa syarat.
Masa anak-anak bawah dua tahun, kita memang rasa geram dengan kecomelan dan telatahnya yang mencuit hati, menghiburkan ibu bapa ketika penat bekerja.
Tapi, akan tiba satu hari nanti, mereka sudah besar dan dah tak comel.
Pada masa itu mungkin kita akan berhadapan dengan keletihan, kekecewaan, kemarahan atau kebingungan.
Maka, teruslah menyayangi anak-anak tanpa syarat, tidak kira semasa manis dan semasa pahit.
Kata ustaz kepada anaknya,
“Sebagai abah, sesuatu yang tidak akan berubah ialah kasih sayang sebagai seorang abah. Kamu pergilah sejauh mana pun, kasih sayang abah adalah tempat untuk kamu berpatah tulang. Kasih sayang itu menjadikan kamu sentiasa ada jalan pulang. Jika sudah jauh tersesat, pulanglah. Pulang kepada abah dan ummi, yang tetap akan menyayangi kamu tanpa syarat. Walau sepahit mana pun ia.”
“Namun … oleh kerana kami menyanyangi kamu tanpa syarat, maka abah juga akan terus menerus menyampaikan kepada kamu kepercayaan abah, nilai abah, pandangan abah, saranan abah, selagi abah masih hidup, selagi kamu hidup. Kamu tidak akan berhenti daripada mendengar nasihat demi nasihat.”
“Kemuncaknya, andai kata satu hari nanti seorang anak itu akan pilih jalan ke neraka, nauzubillah, anak itu akan pergi ke neraka bersendirian dan tidak sekali kali akan mengheret ibu bapanya kerana ibu bapa telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.”
Sekarang saya kembali ke dunia realiti.
Menikmati amanah yang telah dikurniakan Tuhan.