fbpx

Di Sebalik Ayat Bismillahirrahmanirrahim

 Ayat bismillahirrahmanirrahim termasuk dalam surah al-Fatihah atau tidak?

Kata Ustaz Abd Muein, ulama berbeza pendapat tentang ayat (بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ) ini sama ada ia salah satu ayat di dalam Surah al-Fatihah ataupun pembuka surah seperti surah-surah yang lain.

Ada dua pendapat.

Pendapat pertama mengatakan bahawa (بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ) adalah salah satu ayat daripada Surah al-Fatihah.

Maksudnya kalau (بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ) merupakan salah satu ayat daripada Surah al-Fatihah, di dalam solat kita kena baca (بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ) secara kuat, ini pendapat Mazhab Imam Syafi’i.

Pendapat kedua pula mengatakan bahawa (بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ) bukan daripada salah satu ayat daripada Surah al-Fatihah.

Ia hanya pembuka surah seperti surah-surah yang lain.

Jadi, bila Solat Subuh, Maghrib dan Isya, mereka akan membaca (بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ) secara perlahan.

Ini pendapat Imam Mazhab Hanbali, contohnya imam masjid di Mekah.

Jadi, yang mana betul?

Yang baca kuat atau perlahan?

Kata ustaz, dua-dua betul.

Yang tidak betulnya apabila kita tidak membaca Surah al-Fatihah.

Maksud Nama Allah

hakimdarno - Di Sebalik Ayat Bismillahirrahmanirrahim 1

Untuk memahami ayat (بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ) dengan lebih mendalam, kita pecahkan kepada dua bahagian.

Bahagian pertama (بِسْمِ ٱللَّهِ) – dengan nama Allah.

Apa makna Allah?

Nama Allah ini berasal daripada perkataan Illah.

Illah pula bermaksud Tuhan yang berhak disembah.

Okey, dekat bumi ini Tuhan manusia ada banyak.

Ada manusia yang jadikan patung sebagai Tuhan, duit sebagai Tuhan, harta sebagai Tuhan, nafsu sebagai Tuhan, manusia sebagai Tuhan, jin sebagai Tuhan dan sebagainya.

Definisi Tuhan di sini ialah apabila kita mengikut perintahnya ataupun apabila kita berjalan ke arahnya ataupun kita banyak menghabiskan masa untuknya.

Jadi, Tuhan kita siapa?

Kita kena tanya pada diri kita.

Nafsu boleh jadi Tuhan kita atau tidak?

Boleh, apabila setiap tingkah laku kita mengikut hawa nafsu.

Pasangan kita boleh jadi Tuhan kita atau tidak?

Boleh.

Macam mana?

Bila ikut kata pasangan kita yang bercanggah dengan agama.

Contohnya suami kata pada isteri, “Awak keluar tak payahlah pakai tudung. Free hair lagi cantik”.

Isteri pun jawab, “Baik bang”.

Ha, masa ini Tuhan isteri adalah suami.

Isteri pula kata, “Bang, tak payahlah solat. Dah lambat ini saya nak pergi shopping”.

Suami pun jawab, “Baik sayang”.

Masa ini Tuhan suami adalah isteri.

Jadi, walaupun Tuhan banyak, Tuhan yang betul, ataupun Tuhan yang patut disembah hanya satu iaitu Allah subhanahu wa ta’ala.

Jadi, perkataan Allah adalah salah satu daripada nama Tuhan yang agong.

Apa Beza Antara Allah Dan Juga Rab?

Maksud Allah kita dah jelas tadi.

Sekarang kita nak bincang pula maksud rab.

Kata Ustaz Abd Muein, dalam bahasa Arab perkataan rab mesti ada tiga perkara, barulah layak dipanggil rab.

Pertama, pencipta (الخَالِق).

Kedua, pemilik ataupun raja (المَالِك).

Ketiga, pentadbir ataupun pengurus (المُدَبِّرُ).

Jadi, kalau sebut rab, mesti ada 3 perkara ini.

Kalau tidak ada, dia bukan rab.

Ini maksud dari segi bahasa.

Jom kita perincikan lagi.

Pertama, rab adalah pencipta (الخَالِق).

Kedua, rab bukan setakat Dia mencipta, tetapi Dia juga memiliki (المَالِك).

Ada atau tidak orang yang mencipta tetapi tidak memiliki?

hakimdarno - Di Sebalik Ayat Bismillahirrahmanirrahim 2

Ada, contohnya kita bekerja sebagai tukang buat rumah.

100 biji rumah yang telah kita buat, tetapi akhirnya rumah itu menjadi milik orang lain.

Satu rumah pun kita tidak dapat.

Ini contoh supaya kita mudah faham bahawa kalau Tuhan Dia mencipta dan juga memiliki.

Apa maksud memiliki?

Maksudnya Dia boleh buat apa saja pada apa yang Dia cipta.

Ketiga, pengurus (المُدَبِّرُ).

Contoh kita.

Siapa yang mencipta kita?

Allah.

Boleh atau tidak Allah menguasai kita?

Boleh.

Boleh atau tidak Allah buat apa saja pada kita?

Boleh sangat, Allah boleh matikan, cacatkan, lumpuhkan dan sebagainya.

Sebenarnya yang uruskan hidup kita, diri kita sendiri ataupun Allah?

Mungkin ada yang jawab diri sendiri.

Contoh, siapa yang tolong pakaikan baju?

Kita sendiri yang pakai baju tetapi dengan pertolongan Allah.

Sebab ada orang yang tidak boleh pakai baju sebab Allah tidak izin, contohnya sebab sakit.

Contoh lain, tengok mata kita yang berkelip ini.

Kadang-kadang keluar air mata, kadang-kadang berhenti, siapa yang uruskan?

Allah.

Bayangkan kalau Allah cipta mata, lepas itu Allah suruh kita uruskan mata sendiri.

Agak-agak apa jadi?

Huru hara hidup kita.

Nak pejam tidak boleh, celik sahaja.

Nak celik tidak boleh, pejam sahaja.

Kita boleh jadi gila kalau kita sendiri yang menguruskan mata kita

Sebab itulah jangan bangga dengan kelebihan yang kita ada sebab kita pun tidak boleh uruskan diri sendiri.

Kita tengok orang yang lumpuh, tidak boleh bergerak sendiri.

Kena ada orang lain yang uruskan makan, minum, buang air kecil, air besar dan segalanya.

Begitulah lemahnya manusia.

Contoh Firaun, dia mengaku tuhan kan?

Dia ada atau tidak 3 perkara ini (pencipta, pemilik dan pengurus)?

Dia pencipta?

Bukan.

Dia pemilik?

Bukan.

Dia pengurus?

Pun bukan.

Jadi, dakwaan dia itu adalah bohong.

Kita sambung bahagian kedua ayat (بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ) pada artikel akan datang.

Bangun, berilah peringatan!

2 thoughts on “Di Sebalik Ayat Bismillahirrahmanirrahim”

Leave a Comment