fbpx

Darjat Yang Dikejar Manusia

Perhatikan hidup kita daripada muda hingga ke tua, kita bekerja keluar pagi balik petang sebenarnya untuk apa?

Untuk naik darjat, pangkat, dapat gelaran, dan nak suruh orang kata ‘terbaik’ kepada kita.

Isi Kandungan

    Perkataan Darjat Di Dalam al-Quran

    Allah sebut dalam al-Quran,

    هُمْ دَرَجَٰتٌ عِندَ ٱللَّهِ

    Mereka itu (yang menurut keredaan Allah, dan yang mendapat kemurkaanNya), mempunyai tingkatan-tingkatan (pahala atau dosa yang berlainan) di sisi Allah …

    [Surah ali-‘Imran 3: 163]

    Begitulah aturan sepanjang hidup kita sehingga kita mendapat pelbagai penyakit semata-mata untuk mengejar darjat yang begitu menggairahkan.

    Tetapi di garisan penamat hidup kita, kita akan meninggalkan darjat yang kita kejar tadi.

    Sebab itulah Allah tawarkan kepada kita darjat yang kita tidak akan penat, letih, sakit, demam, tua, mati dan sebagainya.

    Iaitu darjat di akhirat yang kekal abadi.

    Tetapi berapa ramai yang berlumba untuk mendapatkannya?

    Contoh diri kita, kalau bab solat kita lewat sahaja.

    Bab solat sunat, ringkat sahaja.

    Dan kalau diberikan pilihan Solat Sunat Witir antara 1, 3, 5, 7 atau 9 rakaat, kita pilih yang mana?

    Mestilah kita pilih yang 1 rakaat.

    hakimdarno - darjat yang dikejar manusia 2

    Tapi cuba perhatikan kita dalam bab dunia pula, habis kerja pukul 5 kita sambung over time lagi.

    Sabtu dan Ahad pun kita pulun kerja lagi.

    Sebab apa?

    Sebab darjat.

    Jadi, Allah nak kita fikir bahawa kalau darjat yang sementara kita sanggup berkorban segala-galanya sehingga ke tua dan beruban, kenapa untuk darjat yang kekal abadi (akhirat), kita tak bersungguh-sungguh?

    Sebab itulah Allah kata dalam Surah al-Baqarah ayat 148, (فَٱسْتَبِقُوا۟ ٱلْخَيْرَٰتِ) – oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan.

    Lihat Abu Bakar radhiyallahu anh, walaupun beliau telah dijamin masuk syurga, beliau tetap bersungguh-sungguh berlumba untuk mendapatkan darjat yang tinggi di akhirat.

    Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiyallahu anh:

    Pada suatu hari, Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam bertanya kepada para sahabat, “Siapa di antara kalian yang berpuasa pada hari ini?’’ “Saya,” jawab Abu Bakar. “Siapa di antara kalian yang mengiringi jenazah pada hari ini?” tanya baginda. “Saya,” jawab Abu Bakar. “Siapa di antara kalian yang memberi makan fakir miskin pada hari ini?,” tanya baginda. “Saya,” jawab Abu Bakar.  “Siapa di antara kalian yang menjenguk orang sakit pada hari ini?” tanya baginda. “Saya,” jawab Abu Bakar. Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam kemudian bersabda, “Tidak terangkum hal tersebut pada diri seseorang, melainkan ia akan masuk surga.”’

    [Hadis Riwayat Muslim]

    Malah ada riwayat yang menyebut jarak syurga Abu Bakar dengan kita ialah seperti kita melihat bintang daripada bumi, jarak yang begitu jauh sekali.

    Subhanallah!

    Hebatnya Abu Bakar, mudah-mudahan kita semua dapat mencontohi beliau.

    hakimdarno - darjat yang dikejar manusia 3

    Lagi pun, setiap amalan soleh yang kita lakukan adalah untuk diri kita sendiri, bukan untuk orang lain.

    Tadabbur Surah ar-Ruum Ayat 44

    Firman Allah subhanahu wa ta’la,

    مَن كَفَرَ فَعَلَيْهِ كُفْرُهُۥ ۖ وَمَنْ عَمِلَ صَٰلِحًا فَلِأَنفُسِهِمْ يَمْهَدُونَ

    Sesiapa yang kufur ingkar maka dia lah sahaja yang menanggung bencana kekufurannya itu, dan sesiapa yang beramal soleh (yang membuktikan imannya), maka merekalah orang-orang yang membuat persiapan untuk kesenangan diri mereka masing-masing.

    [Surah ar-Ruum 30: 44]

    Ayat ini beritahu kita bahawa amalan soleh yang kita lakukan adalah untuk kita.

    Jadi kalau untuk diri kita, kenapa kita buat sikit?

    Kenalah buat banyak-banyak.

    Contoh ketika kita nak mengerjakan Solat Sunat Witir, kita tanamkan pemikiran bahawa, “Solat Witir ini untuk aku, kalau aku buat sikit dapat sikit. Kalau aku buat banyak, dapat banyak. Jadi aku mestilah nak dapat yang banyak”.

    Tengok perkataan (يَمْهَدُونَ) pada penghujung ayat tadi, kata Ustaz Abd Muein ayat ini beritahu pertama, apa sahaja kebaikan yang kita lakukan adalah untuk diri kita, bukan orang lain.

    Kedua, amal soleh yang kita lakukan adalah proses ataupun usaha kita untuk naik kepada darjat-darjat yang lebih tinggi.

    Lagi banyak amal soleh, lagi tinggi darjat kita di syurga.

    Kalau di dunia kita nak pangkat yang terbaik, kenapa di akhirat yang kekal abadi, kita tidak mahu usaha lebih lagi?

    Bangun, berilah peringatan!

    Leave a Comment