Buku ini datang tepat pada waktunya.
Sekarang, kita semua berada di dalam mode perjuangan.
Walaupun kita tidak berada di barisan hadapan.
Kita tetap berjuang untuk menyelamatkan diri dan juga keluarga daripada wabak covid -19.
Seharusnya kita perlu mencari sesuatu yang boleh meletakkan diri kita di dalam mode perjuangan bukannya selesa menikmati hiburan.
Sedangkan barisan hadapan sedang bermatian-matian.
Membaca buku-buku Datuk Daud Bakar mampu menukar mode kita daripada situasi biasa kepada mode perjuangan.
Buku-bukunya sangat menginsipirasikan.
Termasuklah novel terbarunya Covid 25 Kapsul Kehidupan & Makhluk Mistik.
Tapi kalau barisan hadapan yang membaca buku ini, insha-Allah bertambah lagi motivasi untuk berkhidmat tanpa berbelah bahagi.
Kita mesti jadi orang yang berwatak seperti Faruk.
Watak utama di dalam novel ini.
Banyak contoh-contoh yang boleh diambil daripada novel ini dan kita aplikasikan di dalam kehidupan.
Antaranya Faruk sentiasa memberi kata-kata motivasi sama ada kepada dirinya dan juga rakan-rakan.
Contohnya dalam muka surat 79, Faruk memberikan kata-kata motivasi kepada rakan-rakannya dalam memerangi penyakit berjangkit yang bakal meragut nyawa pada masa hadapan, “kita perlu menjauhi sikap mudah memberi alasan, sikap tak berani menguruskan isu secara berdepan dan minda yang sakit.”
Jemput baca:
Kata Faruk.
Dalam hidup yang penuh mencabar hari ini, kita tidak boleh beri alasan untuk tidak boleh buat kerja itu dan ini.
Kita tidak boleh kata saya tak pandai berniaga, tak pandai buat marketing, tak pandai buat copywriting dan sebagainya.
Kita perlu berhenti daripada terus memberikan alasan.
Dan seterusnya belajar setiap perkara yang kita tidak tahu.
Tak pandai berniaga, belajar berniaga.
Tak pandai buat marketing, belajar marketing, tak pandai buat copywriting, belajar copywriting dan begitulah seterusnya.
Ada satu babak ini pun menarik untuk dikongsikan.
Faruk tanya kepada rakan-rakannya, “Kalau kamu boleh jadi semut, kamu nak jadi semut apa?
Semut hitam, semut api atau kerengga?”
Faruk kongsikan jawapan yang diberikan ibunya, “Kamu boleh pilih nak jadi siapa saja. Sebab dalam hidup ini, semua orang ada peranan masing-masing. Tapi kalau kamu dah buat pilihan, jadilah orang tu sebaik mungkin.”
“Kalau takde semut hitam, semut api sebagai pelindung sarang ratu semut takkan dapat makan. Sebab makanan dicari semut hitam. Jadi, semua penting dan kuat dalam bidang masing-masing. Syaratnya jangan sengat orang.”
“Semut api tak pernah sengat semut hitam … tak pernah sengat kerengga. Sentiasa hargai orang sekeliling dan orang di bawah. Sebab kamu mungkin tinggi dan kuat sebab orang di bawah atau di sekeliling awak. Kita kena jadi orang yang berperanan di dunia tetapi rendah diri dan berminda manusia.”
Begitulah semangat yang kita perlukan di saat saat genting ketika ini.
Bukan hanya tahu mengkritik sahaja.
Ya, kritik itu penting, tetapi apa sumbangan kita dalam memerangi Covid-19 di dunia yang penuh realiti ini?
Patuhilah SOP yang telah ditetapkan.
Babak akhir novel ini seperti menggambarkan situasi sebenar yang kita hadapi sekarang.
Ketika kita seperti sudah gembira dan seronok dengan berkurangnya orang yang terkena jangkitan COVID-19, beberapa hari ini kita dikejutkan dengan pertambahan yang begitu mendadak.
Dalam mana-mana perjuangan, kelalaian dan kecuaian, walaupun beberapa saat atau minit boleh meruntuhkan apa sahaja yang dibina selama beberapa bulan atau tahun.
Benarlah, nak bina sesuatu memang susah dan makan masa.
Tapi ia dapat musnah dalam sekelip mata.
Semangat saya habiskan bacaan novel ini sehingga muka surat yang terakhir 515.
Tetapi ada sambungannya. Huhu.
Begitulah adat membaca novel.
Tak sabar nak baca sambungan novel ini.
Bagaimana virus yang merebak ini telah mengubah seorang manusia menjadi kelakuan seperti binatang dan bijak seperti manusia.
Maksudnya ganas dan bijak.
Tahniah Datuk kerana berjaya menghasilkan novel yang menginspirasikan ini.