Kalau tak didik diri kita dengan al-Quran, kita akan cepat rosak seperti buah Tiin.
Sebaliknya, kalau didik diri kita dengan al-Quran, kita akan tahan lama seperti buah Zaitun.
Itulah yang Allah nak beritahu kepada kita dalam surah yang ke 95 ayat pertama.
Tiin adalah sejenis buah yang mungkin ada di Tanah Arab sahaja pada masa dahulu.
Jadi sudah pasti semua orang Arab tahu tentang buah ini.
Buah Tiin ini, banyak kelebihan dan khasiatnya, tetapi buah ini cepat rosak dan tidak tahan lama sama ada dalam keadaan basah ataupun kering.
Bagaimana pula dengan buah Zaitun?
Buah Zaitun manfaatnya lebih banyak.
Bahkan Allah sebut di dalam surah al-Mu’minuun.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
وَشَجَرَةً تَخْرُجُ مِن طُورِ سَيْنَآءَ تَنۢبُتُ بِٱلدُّهْنِ وَصِبْغٍ لِّلْءَاكِلِينَ
Dan (Kami juga menumbuhkan untuk kamu) pokok yang asal tumbuhnya di kawasan Gunung Tursina, yang mengeluarkan minyak dan lauk bagi orang-orang yang makan.
[Surah al-Mu’minuun 23: 20]
Menurut Ustaz Abd Muein, pokok yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah Pokok Zaitun.
Pokok ini biasanya banyak tumbuh di (طُورِ سَيْنَآءَ) – sekitar bukit saina.
Pokok ini juga boleh mengeluarkan minyak dan boleh dijadikan sebagai kuah dan juga lauk.
Kita mungkin jarang-jarang menggunakan Minyak Zaitun.
Berbeza dengan orang Arab yang banyak menggunakannya terutama dalam masakan mereka.
Malah kadang-kadang, mereka makan kacang atau roti pun dicicah dengan minyak zaitun supaya lebih sedap.
Persoalannya ialah kenapa Allah bersumpah dengan Buah Tiin dan Buah Zaitun?
(Tadabbur)
Pertama, sebab Buah Tiin dan Zaitun banyak di Tanah Arab.
Jadi, kalau kita lihat, apa sahaja ayat al-Quran ataupun perkataan yang turun kepada orang Arab mestilah perkataan yang mereka tahu, pernah dengar dan mereka pernah melihat supaya mudah untuk difahami dan diamalkan.
Tidak kisah sama ada nama benda, tumbuhan ataupun haiwan.
Oleh sebab itu, syarat untuk faham dan beramal, mestilah bahasa al-Quran turun dalam bahasa yang difahami dan diketahui oleh orang Arab.
Jemput baca:
Kedua, menurut ustaz Buah Tiin sedap, banyak kebaikan, tetapi buah ini cepat rosak.
Manakala Buah Zaitun pun banyak kebaikan dan khasiatnya.
Namun bezanya buah ini tahan lama.
Jadi menurut ustaz, dalam surah ini Allah nak beritahu bahawa fitrah manusia pada asalnya suci bersih sebagaimana yang Nabi sebut di dalam satu hadis,
كُلُّ مَوْلُوْدٍ يُوْلَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ
Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih.
Namun, fitrah yang suci ini kemungkinan kekal sampai bila-bila dan mungkin juga akan rosak di pertengahan jalan.
Contohnya masa kanak-kanak kita suci daripada dosa dan bila kita meningkat dewasa, kita mempunyai dosa.
Jadi fitrah manusia ini, bila tidak dijaga, tidak dipupuk dan tidak dididik dengan al-Quran mahupun sunnah, fitrah ini akan cepat rosak seperti Buah Tiin (asalnya bagus, banyak kebaikan tapi bila tidak dijaga, dia akan rosak).
Sebaliknya, fitrah manusia yang asalnya lahir dalam keadaan bersih, dijaga dan dididik dengan cara yang betul (dengan al-Quran, as-Sunnah), fitrah kita akan kekal sampai bila-bila seumpama kita adalah Buah Zaitun.
Itu pandangan ahli tafsir.
Jadi Allah bersumpah dengan dua buah ini nak beritahu bahawa tabiat fitrah manusia, kalau dijaga betul-betul, dia akan tahan lama seperti Buah Zaitun.
Kalau siapa yang biasa makan Buah Zaitun, kadang-kadang kita dah simpan dalam botol jadi jeruk, kadang kadang sebulan atau dua bulan pun masih okey.
Tapi Buah Tiin, dia tidak boleh tahan lama walaupun kering.
Kadang-kadang di luar okey, di dalam ada ulat.
Itu satu.
Yang penting apa dia?
Yang pentingnya Allah nak beritahu kehebatan Allah.
Allah boleh mencipta pelbagai tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan, daripada tanah yang sama, daripada air hujan yang sama, tapi bila keluar, bentuknya berbeza, warnanya berbeza, rasanya berbeza, dan manfaatnya sangat besar.
Bahkan dua jenis buah ini menjadi punca kehidupan orang Arab.
Mereka boleh makan, boleh hidup, boleh berniaga, mendapat keuntungan untuk meneruskan kehidupan hanya dengan tumbuhan yang Allah tumbuhkan daripada tanah yang kosong dan daripada hujan yang kosong.
Jadi kebesaran Allah pada dua jenis buah-buahan ini.
Bangun, berilah peringatan!