fbpx

Cara Mendapatkan Kemanisan Iman

Kalau kita makan, ada rasa.

Kalau kita minum, ada rasa.

Kalau kita tidur, ada rasa.

Kalau kita berjalan, ada rasa.

Kalau kita tengok bola, pun ada rasa.

Jadi kalau iman, ada rasa juga ke?

Mestilah ada sebab ia melibatkan hubungan kita dengan Allah subhanahu wa ta’ala.

Macam mana rasa iman?

Rasanya manis, maksudnya bila kita beribadah, kita rasa lazat, seronok dan rasa nak buat lagi.

Jadi dalam hidup kita ini, walaupun kita sudah lama beragama Islam, kita tidak pernah rasa pun manisnya iman.

Sebab itu, kita buat ibadah dalam keadaan malas ataupun kita asal buat sahaja.

Tidak ada perasaan pun untuk menambah atau memperbaiki amalan.

Jadi, bagaimana cara mendapatkan kemanisan iman?

Nabi sebut dalam satu hadis sahih:

ذَاقَ طَعْمَ الإِيمَانِ مَنْ رَضِيَ بِاللهِ رَبًّا وَبِالإِسْلامِ دِينًا وَبِمُحَمَّدٍ رَسُولاً

“Akan merasakan kelazatan iman, orang yang reda menjadikan Allah sebagai Rabbnya dan Islam sebagai agamanya serta Muhammad sebagai Rasulnya.”

[Hadis Riwayat Muslim]

Dalam hadis ini Nabi kata, ada tiga syarat kalau kita nak dapatkan kemanisan iman.

Reda Allah Sebagai Tuhan

Pertama – kita reda, Allah sebagai Tuhan kita.

Apa maksud kita reda Allah sebagai Tuhan?

Kata Ustaz Abd Muein, maksud kita reda pada Allah ialah kita terima semua yang Allah bagi.

Allah bagi nikmat, kita kata alhamdulillah.

Allah bagi musibah, kita pun kata alhamdulillah.

Pada masa itu, barulah kita akan rasa kemanisan iman.

Jadi, bila kita dapat nikmat, jangan suka sangat sehingga terlompat-lompat kegembiraan.

Dan bila dapat musibah pula kita mengamuk, berleter dan merungut keresahan.

Sebab orang yang perangai macam ini, tidak akan rasa kemanisan iman.

Sebab itu ada satu kisah, orang ini sedang tawaf mengelilingi Kaabah, ketika tawaf itu dia berdoa, “Ya Allah, redalah kepadaku”.

Kemudian Imam Syafi’i yang sedang tawaf pun menegur lelaki tersebut, “Kamu minta Allah reda pada kamu?”

Bila lelaki ini dengar, dia pun tanya, “Kenapa, salah ke aku minta Allah reda kepadaku?”

Dia tanya lagi, “Siapakah kamu?”

Imam Syafi’i pun menjawab, “Aku ialah Muhammad bin Idris”.

Maka orang itu tahulah yang menegurnya itu adalah ulama besar.

Maka lelaki itu pun bertanya kepada Imam Syafi’i, “Macam mana aku nak dapat reda Allah sebagaimana aku berdoa tadi?”

Imam Syafi’i pun jawab, “Kamu akan dapat reda Allah, bila kamu reda kepada Allah ketika dapat nikmat dan juga musibah. Dua-dua sama sahaja keadaan bagi kamu”.

Begitulah juga dengan kita, bila Allah bagi kita duit, kita rasa suka dan seronok dan bila duit kita hilang, kita pun kena rasa seronok.

Dalam semua keadaan kita kena reda.

Cuaca sejuk, alhamdulillah.

Cuaca panas, alhamdulillah.

Boleh bekerja, alhamdulillah.

Tidak boleh bekerja, alhamdulillah.

Boleh keluar rumah, alhamdulillah.

Tidak boleh keluar rumah, alhamdulillah.

Anak boleh sekolah, alhamdulillah.

Anak tak boleh sekolah, alhamdulillah.

Anak duduk rumah, alhamdulillah.

Anak tak balik sebulan, alhamdulillah.

Semuanya alhamdulillah.

Ketika ini, barulah kita akan dapat reda Allah.

Datanglah apa pun masalah dalam hidup kita, yang penting, kita masih boleh beribadat kepada Allah.

Sebenarnya semua masalah ataupun ujian ini datang daripada Allah.

Jadi Allah nak tengok, ketika senang ibadah kita macam mana?

Ketika susah, ibadah kita macam mana?

Masih sama atapun berubah?

Jadi sebelum kita berdoa dapat reda Allah, pastikan kita reda dulu dengan Allah, kemudian barulah Allah reda dengan kita.

Reda Islam Sebagai Agama

Kedua, kita reda Islam sebagai agama kita.

Apa maksudnya?

Maksudnya semua perintah Allah sama ada yang berat ataupun ringan, kita amalkan tanpa membeza-bezakan.

Sepertimana yang Allah sebut dalam Surah az-Zumar ayat 22,

أَفَمَن شَرَحَ ٱللَّهُ صَدْرَهُۥ لِلْإِسْلَٰمِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ مِّن رَّبِّهِۦ ۚ فَوَيْلٌ لِّلْقَٰسِيَةِ قُلُوبُهُم مِّن ذِكْرِ ٱللَّهِ ۚ أُو۟لَٰٓئِكَ فِى ضَلَٰلٍ مُّبِينٍ

Maka apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya untuk (menerima) agama Islam lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang membatu hatinya)? Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka yang telah membatu hatinya untuk mengingat Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.

[Surah az-Zumar 39: 22]

Apakah maksud lapangkan hati untuk Islam?

Maksudnya semua perintah Allah, kita rasa seronok dan rindu nak amalkan.

Rasa mudah sahaja.

Nak solat 5 waktu mudah.

Nak solat awal waktu mudah.

Nak pergi masjid mudah.

Nak zikir pagi petang mudah.

Nak baca al-Quran dua tiga jam pun mudah.

Nak sedekah pun mudah.

Semuanya mudah, tidak ada masalah.

Barulah kita dapat rasa betapa manisnya iman.

Banyak mulut kata “Aku reda Islam sebagai agama”.

Tapi solat, buka aurat.

Dah tutup aurat, tapi mengumpat.

Jadi sebenarnya kita belum reda Islam sebagai agama kita lagi.

Sebab itu Allah kata,

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱدْخُلُوا۟ فِى ٱلسِّلْمِ كَآفَّةً

Wahai orang beriman, masuklah ke dalam Islam seluruhnya.

[Surah al-Baqarah 2: 208]

Jangan pilih-pilih amalan, amalkan semuanya.

Bila kita pilih, kita tidak akan rasa kemanisan iman.

Ataupun apa sahaja keadaan agama Islam ketika ini maju atau mundur, keyakinan kita kepada Islam tetap sama.

Reda Nabi Sebagai Rasul

Ketiga, kita reda Nabi Muhammad sebagai Rasul kita.

Caranya ialah semua ibadah kita mesti selari dengan sunnah Nabi.

Apa sahaja yang Nabi kata, (سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا) – dengar dan taat, itulah maksud reda Nabi sebagai Rasul.

Ini, tidak.

Kita kata reda pada Nabi, tapi sunnah Nabi kita tidak mahu ikut.

Yang kita ikut, sunnah orang ramai dan juga nenok moyang kita.

Jadi kita tidak akan rasa kemanisan iman.

Sebab itulah, solat ataupun zikir-zikir kita mesti sama dengan Nabi.

Jangan ditokok tambah.

Kalau tokok tambah, kita tidak akan rasa kemanisan iman.

Sebab syarat nak dapat kemanisan iman, salah satunya mesti reda Nabi Muhammad sebagai rasul, ataupun Nabi sebagai ikutan dalam semua aspek kehidupan.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment