fbpx

Cara Berdoa Untuk Mendapatkan Anak

Bagaimana cara berdoa untuk mendapatkan anak?

“Kalau kau nak tahu, dah hampir 19 tahun aku tunggu nak dapat anak. Sampai sekarang masih belum dapat lagi.”

“Fuh, lamanya! Mesti dah macam-macam cara yang kau buatkan?”

“Bukan macam macam cara je, dah beribu-ribu aku habiskan duit untuk dapatkan anak ini. Tapi Allah belum beri izin lagi.”

“Yelah … aku nak suruh kau sabar pun, cakap senanglah. Bukan setahun dua kau sabar, tapi dah berbelas-belas tahun.”

“Cuma aku ada satu cerita nak kongsikan dengan kau ni, mudah mudahan dapat menginspirasikan. Mudah-mudahanlah ye. Aku tak jamin. Haha.”

“Ha! Cepatlah cerita. Tak sabar aku nak dengar ni.”

“Okey baik. Ini cerita tentang Nabi Zakariyya yang lambat dapat anak. Ada pendapat mengatakan umurnya 90 tahun.”

Isi Kandungan

    Nama Zakariyya Dalam al-Quran

    hakimdarno - cara doa untuk mendapatkan anak 1
    Letaklah nama anak Zakariyya – semoga anak kita pun soleh seperti baginda.

    “Sebelum itu,  jom kita berkenalan dengan nama Zakariyya di dalam al-Quran. Nama Zakariyya ini disebut sebanyak tujuh kali di dalam al-Quran iaitu:

    “3 kali dalam surah ali `Imran.”

    “1 kali dalam surah al-An`am”

    “2 kali dalam surah Maryam.”

    “1 kali dalam surah al-Anbiya.”

    Cara Baca Nama Zakariyya

    “Kata ustaz aku, nama Zakariyya ini boleh dibaca dalam dua bentuk.”

    “Oh yeke?”

    “Iya. Pertama, dibaca dengan Zakariyya (زكريا). Ini merupakan qira’at Hamzah, al-Kisa’i, Khalaf dan Hafas daripada `Asim. Bacaan macam ini, lebih kurang dengan beberapa nama Nabi yang lain seperti Musa. Maksudnya kita tak baca Musa’ (موساء). `Isa kita tak baca (عيساء) dan Yahya kita tak baca dengan (يحياء).”

    “Kedua, dibaca dengan Zakariyya’ (زكرياء). Ini merupakan qiraat Nafi`, Ibn Kathir, Ibn `Amir, Abu `Amar, Abu Ja`far, Ya`qub, dan Shu`bah daripada `Asim. Malah, terdapat hadis yang menyebutkan baginda sebagai Zakariyya’.”

    “Kalau kau nak tahu, kedua-dua bentuk bacaan ini sahih menurut al-Quran dan hadis.”

    “Oh gitu, serius aku tak pernah dengar maklumat ini.”

    “Ala … aku pun belajar dengan ustaz aku. Kalau tak, aku pun tak tahu.”

    Okey, menurut catatan al-Alusi (seorang ahli tafsir) pula,

    Nama Zakariyya itu merupakan nama bukan arab. Terdapat lima bentuk bacaan; (a) Yang paling masyhur ialah Zakariyya’ زكرياء. (b) Zakariyya زكريا. Kedua-dua bacaan ini dibaca dalam qira’at tujuh. (c) Zakariy زكري dengan tashdid pada huruf ya’. (d) Zakari زكري iaitu huruf ya’ tidak bertashdid. (e) Zakar زكر sebagaimana bacaan Qalam قلم.

    (Ruh al-Ma`ani; Ayat 85 surah al-An`am)

    Maksud Nama Zakariyya

    “Okey, sekarang kita pergi pula kepada maksud nama Zakariyya.”

    “Kata ustaz aku lagi, maksud Nama Zakariyya yang pertama ialah gabungan antara dua nama iaitu (زكر+يا). Nama ini disebutkan dalam bahasa `Ibri sebagai Zikharya (زخر+يا). Pertukaran antara huruf kaf dengan kha’ antara bahasa Arab dengan `Ibri ialah satu perkara yang biasa.”

    “Kedua, nama Zakar (زكر) dalam bahasa `Ibri sebenarnya menepati maksud zakara (ذكر) menurut bahasa Arab. Manakala nama (Ya) pula berasal daripada nama Yahuwa (يهوا) iaitu nama Allah Ta’ala dalam bahasa `Ibri.”

    “Ketiga, nama Zakariyya bermaksud (ذكر الله) iaitu mengingati Allah Ta’ala.

    “Keempat, maksud nama Zakariyya ialah “Orang yang diingati oleh Allah Ta’ala.”

    “Ulama masihiyyah memahami nama Zakariyya bin Barakhiyya برخيا dengan maksud ini. Ia merujuk kepada keadaan baginda yang tidak memiliki anak pada usia muda, sehinggalah pada akhirnya permintaan baginda telah dimakbulkan oleh Allah Ta’ala. Ertinya, mereka melihat nama Zakariyya dalam bentuk natijah atau hasil selepas itu.

    “Kesimpulannya kata ustaz aku, nama Zakariyya ialah nama yang berasal daripada bahasa `Ibri, merupakan gabungan antara dua nama; Zakar (زكر) yang bermaksud mengingati dan Ya -Yahuwa- yang bermaksud Allah Ta’ala.”

    “Maksudnya  nama Zakariyya bermaksud “Orang yang sentiasa khusyuk mengingati Allah Taala.”

    Cara Berdoa Untuk Mendapatkan Anak – Nabi Zakariyya

    hakimdarno - cara doa untuk mendapatkan anak 2
    Ya Allah! Kurniakanlah kepada kami zuriat yang soleh solehah.

    Okey, sekarang baru nak masuk topik kita yang utama iaitu cara doa Nabi Zakariyya untuk mendapatkan anak. Suatu hari Nabi Zakariyya berdoa, firman Allah subhanahu wa ta’ala:

    إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُۥ نِدَآءً خَفِيًّا

    قَالَ رَبِّ إِنِّى وَهَنَ ٱلْعَظْمُ مِنِّى وَٱشْتَعَلَ ٱلرَّأْسُ شَيْبًا وَلَمْ أَكُنۢ بِدُعَآئِكَ رَبِّ شَقِيًّا

    (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan. Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku – wahai Tuhanku – tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.

    [Surah Maryam 19: 3-4]

    “Cuba kau tengok pada ayat yang ke-3. Allah subhanahu wa ta’ala menggunakan perkataan نِدَآءً خَفِيًّا. Kalau kita tengok terjemahan pada al-Quran yang biasa kita baca, نِدَآءً خَفِيًّا membawa maksud doa.”

    “Namun yang lebih tepat daripada itu ialah baginda memanggil Tuhannya dengan panggilan yang perlahan. Maksudnya hanya teling kita sahaja yang mendengar rintihan kita kepada Allah.”

    Kemudian, sebelum kita meminta-minta kepada Allah, kita kena rendahkan diri di hadapan Allah terlebih dahulu. Kita kena mengakui tentang kelemahan diri kita. Dan memang kita makhluk yang lemah pun. Contohnya,

    Ya allah sesungguhnya saya ini lemah, berikanlah saya kekuatan. Sesunguhnya saya ini hina, berikanlah saya kemuliaan. Sesungguhnya saya ini faqir, berikanlah saya kecukupan ataupun kekayaan.

    “Itulah rayuan kita kepada Allah subhanahu wa ta’ala.”

    “Sebagaimana Nabi Zakariyya alaihissalam berdoa kepada Allah menyebutkan kelemahan-kelemahannya terlebih dahulu; tulangku sudah pun lemah, terlalu tua, rambutku semuanya beruban, ertinya aku sudah di penghujung kehidupan, bila-bila sahaja aku akan mati, berikanlah di sisi engkau keturunan yang baik.”

    وَٱشْتَعَلَ ٱلرَّأْسُ شَيْبًا وَلَمْ أَكُنۢ بِدُعَآئِكَ رَبِّ شَقِيًّا

    “Merujuk ayat tadi kan, kau tahu tak apa maksud (وَٱشْتَعَلَ)?”

    “Tak tahu.”

    “Okey, (وَٱشْتَعَلَ) ini maksudnya terbakar. (ٱلرَّأْسُ) maksudnya kepala dan (شَيْبًا) pula maksudnya uban.”

    “Makna terbakar ini seolah olah kita mengambil kayu api, kita bakar kayu api tersebut, maka habislah semua kayu itu terbakar tanpa meninggalkan sisa pun. Begitu juga dengan rambut atau kepala Nabi Zakariyya, semuanya dibakar.”

    “Kau cuba bayangkan ye, Baginda telah berdoa kepada Tuhan sejak rambutnya berwarna hitam lagi. Kemudian sehingga beruban sedikit, beruban separuh, dan akhirnya semua rambutnya beruban, seolah olah kayu api yang dibakar tadi.”

    “Walaupun semua rambutnya dah beruban, tetapi Nabi Zakariyya tidak pernah berhenti daripada berdoa kepada Tuhannya untuk mendapatkan anak. Kata ustaz aku, ini satu penggunaan perkataan yang cukup halus oleh Allah subhanahu wa ta’ala.”

    “Begitulah cerita dia. Dahsyatkan Nabi Zakariyya ini? Kiranya daripada muda sampai ke tua dia masih berdoa nak dapatkan anak. Kita ini baru berapa tahun Allah uji.”

    “Yelah betul tu. Fuh, pertama kali aku dengar cerita tentang Nabi Zakariyya ini.”

    “Kan?  Kau bayangkan eh, pertama, Nabi Zakariyya mengajar kita supaya tidak pernah putus asa dalam berdoa kepada Allah walaupun apa yang kita nak capai itu mustahil di sisi manusia.”

    “Kedua, kita kena merintih pada Allah dengan suara yang perlahan.”

    “Ketiga, kalau kita sedang menghadapi masalah yang besar, kena mulakan doa dengan menyebut kelemahan diri kita terlebih dahulu.”

    “Okey dah-dah. Sekarang ini aku nak, kau jangan putus asa. Teruskan berdoa. Aku pun sama sama doakan kau semoga cepat dapat anak. Amin.”

    “Terima kasih! Kaulah sahabat aku dunia akhirat.”

    “Semoga Allah kurniakan kepada kita zuriat yang soleh dan solehah.”

    “Amin.”

    Sumber: Kuliah Ustaz Dzul Khairi – Rahsia Di Sebalik Nama dan Kisah Nabi Zakariyya.

    Leave a Comment