Jangan risau pasal rezeki.
Apa yang saya nak sampaikan ini mungkin agak menjentik hati, tetapi bagi saya ada kebenarannya.
Sebelum saya kongsikan artikel ini kepada pembaca, saya tanya pendapat isteri sama ada tulisan yang ingin saya sampaikan ini okey atau pun tidak.
Beliau jawab, “Okey bagi orang yang dah kenal dan sentiasa mengikuti tulisan-tulisan saya. Bagi yang tidak pernah, fahami betul-betul apa yang cuba saya sampaikan.
Saya mohon supaya sahabat semua membaca dalam konteks yang saya maksudkan.
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, ramai di antara kita yang tidak dapat bekerja. Bila tidak bekerja bermaksud tidak ada gaji. Kalau tidak ada gaji, macam mana nak bagi makan anak isteri?
Kalau yang okey sikit, ada gaji cuma tidak ada OT (over time).
Bagi yang buat bisnes pula, jualan sudah semakin merosot. Malah ada bisnes yang tidak ada jualan langsung. Bila tidak ada jualan, maksudnya bisnes sudah tidak ada pendapatan.
Macam mana nak nak bayar gaji staf, sewa kedai dan bayaran-bayaran yang lain.
Sungguh mencabar hidup di zaman pandemik ini.
Bukan itu sahaja, semua orang mungkin sedang hadapi perkara yang sama. Mungkin ada yang tidak cukup makan, minum dan juga ada yang tidak dapat membayar sewa rumah.
Semua perkara ini menyebabkan kita semua rasa susah hati, risau, bimbang dan bermacam-macam lagi perasaan yang bercampur baur di dalam diri.
Pada masa inilah kita kena kuatkan hati.
Jemput baca:
Selagi Kita Belum Mati, Masih Ada Lagi Rezeki Untuk Kita
Kata Ustaz Abdul Muein, mengapa kita risau pasal gaji, staf, makan, minum dan sebagainya, bukankah Allah telah menetapkan rezeki untuk kita?
Masa inilah kita nak rasa yang Allah itu betul-betul Maha Pemberi Rezeki dan bukan hanya sekadar teori.
Kalau kita benar-benar yakin di dalam hati bahawa Allah Maha Pemberi Rezeki, kita tidak akan risau.
Sebab kita yakin bahawa semua ini adalah ketetapan ilahi.
Bahkan Nabi kata, seseorang itu tidak akan mati sehingga rezekinya habis. Maknanya selagi kita hidup, selagi ajal kita belum tiba, rezeki mesti ada.
Kalau dah yakin begitu, kenapa nak takut? Kita berusaha sahaja dan jangan putus asa.
Perkara yang patut kita takut sekarang ialah apabila kita melakukan maksiat ketika Allah turunkan musibah kepada kita.
Ketika kita diuji dengan covid-19 ini, masih lagi kita berani meninggalkan solat ataupun melakukan maksiat.
Kita masih lagi lambat-lambatkan solat dan biarkan isteri dan anak kita buka aurat. Inilah yang sepatutnya kita takut, sebab kita lawan dengan perintah Yang Maha Pemberi Rezeki.
Tapi, kalau kita ikut sahaja perintah Yang Maha Pemberi Rezeki, mengapa kita perlu risau?
Bukankah covid-19 yang melanda kita sekarang ini, yang menyebabkan kita tidak boleh pergi bekerja, tidak dapat pendapatan dan sebagainya diturunkan oleh Allah Yang Maha Pemberi Rezeki juga.
Takkanlah Allah yang buat virus ini dan Dia juga pemberi rezeki, Dia tidak tahu dengan sebab virus ini kita tidak boleh makan.
Maha Suci Allah daripada perkara itu.
Mari kita lihat sirah. Bagaimana Allah perintahkan kepada Nabi supaya berhijrah ke Madinah. Untuk apa? Bukan untuk rezeki, bukan cari kerja. Bukan.
Tetapi untuk buat kerja dakwah. Taat pada perintah Allah dan sebarkan Islam. Rezeki? Jangan soal sebab Allah sudah tetapkan.
Sebab itulah Nabi dan sahabat pergi sehelai sepinggang sahaja.
Jadi, jangan takut tidak ada rezeki, jangan takut tidak dapat makan dan minum, jangan takut bisnes kita tidak dapat jualan, tapi takutlah bila kita tidak taat kepada Allah.
Maka ketika itu, mungkin rezeki kita sempit. Allah berkata,
وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِى فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ أَعْمَىٰ
Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.
[Surah Taha 20:124]