Biasanya dalam mesyuarat ini, akan ada perangai orang yang dalam mesyuarat, dia tidak mahu bercakap.
Sebab apa?
Sebab dia rasa dia tidak boleh bercakap dan membentangkan idea dengan baik.
Jadi apa yang dia buat?
Dia akan berjumpa dengan bos selepas mesyuarat.
Inilah budaya yang biasa berlaku di mana-mana mesyuarat.
Dan kita namakan ia sebagai mesyuarat di luar mesyuarat.
Kata Tuan Zainal Rashid Ahmad atau dikenali sebagai ZRA,
Kebanyakan kegagalan orang kita merancang operasi adalah kerana kumpulan yang aktif dalam meeting, tak berkeyakinan bahawa keputusan meeting akan menjadi keputusan yang akan dilaksanakan.
- Jemput baca artikel: Membaca Adalah Gim Untuk Akal
Sebab apa?
Sebab meeting ini ada habit dia iaitu selepas meeting ada sekumpulan orang yang akan pergi berjumpa dengan bos, memberi idea yang lain.
Dan idea tersebut akan membuatkan bos berfikir bahawa idea itu lebih baik daripada idea yang telah dibentangkan dalam meeting.
Katakanlah saya ada idea A.
Kemudian orang lain pula ada idea B.
Jadi idea A dan B ini dibentangkan dalam mesyuarat.
Dan idea-idea ini telah melalui proses satu jam setengah untuk mencapai solusi.
Setelah idea A dan B ini melalui proses perdebatan, muncul orang yang ada idea C.
Dia pasif dalam mesyuarat tapi dia nak juga idea dia dilaksanakan.
Dia tahu kekuatan idea A, dia tahu kekuatan idea B, dia tahu kelemahan idea A dan dia tahu kelemahan idea B.
Maka mesyuarat pun bersurai.
Jadi kita pun habiskan mesyuarat tadi dengan solusi (contoh), empat daripada cadangan idea A diambil dan enam daripada idea B diambil menjadikan 10 keputusan dipersetujui oleh mesyuarat untuk dilaksanakan.
Tapi bila datang kumpulan orang yang ada idea C, dia pergi jumpa bos selepas mesyuarat dengan membawa hujah-hujah yang tidak diuji dalam mesyuarat.
Satu, idea itu tidak akan diuji kerana orang yang membentangkan idea A dan B tidak ada di situ.
Dua, sudah pasti idea C nampak lebih matang sebab idea itu adalah hasil analisis yang kritikal terhadap idea A dan B.
Maka akhirnya minit mesyuarat dan pekeliling keputusan dikeluarkan dengan mengambil keputusan mesyuarat tertutup antara kumpulan yang ada idea C dengan bos.
Dan ini menjadikan lama-kelamaan mesyuarat mula dicurigai, tidak dihormati dan orang akan semakin pasif dalam mesyuarat
Kerana wujud budaya settle di luar pejabat ataupun dipanggil sebagai proksi luar meeting.
Kita kena ingat bahawa mesyuarat ini adalah musyawarah.
Musyawarah ini pula secara umumnya adalah satu perbincangan dan penghujahan yang dihadiri oleh orang-orang yang memiliki pengaruh, bertemu untuk membuat satu keputusan.
Kita berbincang dan berdiskusi dengan pelbagai cara.
Saling bertentangan dan saling bersetuju, itulah dipanggil musyawarah.
Sebab dalam agama kita, musyawarah ini ada keberkatannya walaupun keputusan itu lemah atau tersilap.
Tiba-tiba ada sekumpulan orang yang memang tidak berani membentangkan idea mereka kerana mereka ada perasaan bahawa nanti kalau idea mereka ditolak, mereka rasa malu kerana ego mereka yang tinggi.
Inilah salah satu konflik yang menjadikan bagaimana mesyuarat ataupun komitmen kumpulan dalam pengurusan jadi lemah, apabila banyak keputusan dalam mesyuarat dia akan jadi klise.
Klise ini maksudnya bila masuk mesyuarat sahaja, dah tau dah.
Dalam mesyuarat bos dah setuju, minit dah dibuat, tapi bila pekeliling keluar, mesti lain.
Menyebabkan kekuatan bekerja secara jemaah jadi lemah kerana keputusan yang dikeluarkan dalam pekeliling hasil pembentangan di luar mesyuarat.
Jadi barakah musyawarah akan hilang walaupun pembentangan idea C kepada bos tadi adalah 10 kali lebih baik.
Sebab ia telah musnah kerana moral mesyuarat telah diperbelakangkan.
A dan B akan merasakan bahawa apa kejadahnya semua ini?
Apabila forum yang paling terhormat iaitu musyawarah dikhianati?
Buat mesyuarat, tapi yang dilaksanakan adalah pertemuan tertutup antara kumpulan yang tidak mahu idea dia diuji, yang tak berani menguji idea dia, yang takut dengan idea orang lain lebih baik daripada dia dan menggunakan lobi belakang pintu.
Saya nak bagitahu bahawa ada banyak organisasi yang macam ini, akhirnya mengalami keretakan pengurusan yang lebih teruk kerana satu, CEO yang lemah.
Yang kedua, apabila ada entiti yang secara personaliti, beliau rasa rendah diri, tidak yakin diri, tak boleh perform, tidak mahu disanggah orang lain dalam meeting, ataupun bahasa mudahnya dia tidak boleh terima kalau orang lain lebih daripada dirinya.
Jadi bila dalam meeting, dia tidak mahu kalau idea dia itu dibantah sebab akan menampakkan kelemahan dia, dan menyebabkan imej dia jauh lebih rendah.
Inilah masalah yang selalu dibawa oleh orang yang ada krisis rendah diri.
Iaitu orang yang sentiasa menafikan dirinya untuk berubah.
Dialah perosaknya.
Dialah orang yang paling hina secara profesionalnya.
Dialah orang yang paling patut disingkirkan kerana telah memusnahkan keberkatan musyawarah.
Sebab bila keberkatan sudah tidak ada, maka berlakukan bencana.
Bencana ini kita tidak bincang dari sudut hukum karma.
Tapi secara logiknya apabila keputusan dicapai di luar mesyuarat akan menyebabkan ahli yang berada di mesyuarat itu;
Pertama, tidak memahami keputusan yang dibuat di luar mesyuarat.
Kedua, tidak faham struktur sesuatu keputusan itu kerana tidak diuji daripada A to Z dari segi kekuatannya.
Dan yang ketiga adalah mereka merasakan meeting yang dianjurkan syarikat sebenarnya tidak mempunyai nilai.
Kualiti meeting akan jatuh, jatuh dan jatuh.
Akhirnya orang datang meeting tidak bercakap.
Kerana semua orang telah tahu bahawa akan ada keputusan lain yang akan dibuat.
Jadi lama-kelamaan meeting yang menjadi teras kepada organisasi membina keputusan, keputusan yang menjadi teras kepada organisasi membina hala tuju, hala tuju yang menjadi teras kepada organisasi untuk survive, survive yang menjadi teras untuk menentukan organisasi hidup atau mati, akan roboh.
Begitulah pengkhianatan berlaku dalam organisasi kita.
Semuanya berpunca daripada budaya yang salah iaitu mengakui kelemahan bukan satu perkara yang dihormati, tetapi mengakui kelemahan adalah membuka pintu untuk dihina.
Bangun, berilah peringatan!
—
Nota: Artikel ini adalah hasil daripada transkrip video Tuan Haji Zainal Rashid yang bertajuk Semuanya Salah Orang dengan sedikit olahan daripada saya.