fbpx

Betulkan Mindset Kita Sebelum Membaca al-Quran

Buka sahaja al-Quran, apakah perkara pertama yang perlu kita lakukan?

Soalan ini sering bermain-main di dalam fikiran saya tatkala mahu membaca al-Quran.

Nak mula daripada mana?

Iztiazah dan basmalah itu pasti.

Lepas itu?

Terus baca ayat al-Quran yang kita mahu?

Ataupun baca terjemahan dahulu?

Ataupun terus melakukan proses tadabbur?

Lalu kita pun bingung, dan terus tutup al-Quran.

Okey baik, kata Ustaz Syaari Ab Rahman – perkara pertama sekali yang perlu kita lakukan ketika mahu membaca al-Quran adalah baca dengan satu niat ataupun satu tujuan iaitu mendapatkan petunjuk daripada Allah subhanahu wa ta’ala.

Dan bukan sekadar membaca al-Quran untuk tabarruk (mendapatkan berkat) ataupun sekadar untuk mendapatkan pahala sahaja.

Ustaz memetik kata-kata Syeikh Solah Abdul Fatah al-Khalidi lebih kurang maksudnya, perkara pertama yang mesti dilakukan oleh pembaca al-Quran adalah;

“Sebelum kita baca, kita perlu memahami – ini buku apa sebenarnya?”

“Ini kitab apa sebenarnya?”

“Adakah kitab ini sama seperti kitab-kitab arab yang lain seperti kitab feqah, kitab tasawuf, ataupun kitab tafsir?”

Membaca al-Quran Dengan Satu Tujuan

Jadi sebenarnya, perkara pertama sekali yang perlu kita betulkan ketika membaca al-Quran bukan bacaan tajwid, tetapi mindset kita (cara kita memandang al-Quran).

Kemudian ustaz bawakan kisah Nabi Musa alaihissalam di dalam Surah Taha 20: 10,

إِذْ رَءَا نَارًا فَقَالَ لِأَهْلِهِ ٱمْكُثُوٓا۟ إِنِّىٓ ءَانَسْتُ نَارًا لَّعَلِّىٓ ءَاتِيكُم مِّنْهَا بِقَبَسٍ أَوْ أَجِدُ عَلَى ٱلنَّارِ هُدًى

Ketika ia melihat api, lalu berkatalah ia kepada isterinya: “Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya, atau aku dapat di tempat api itu: penunjuk jalan”.

Kepentingan sesuatu perkara itu bergantung kepada bagaimana kita melihatnya.

Contoh api.

Dalam keadaan kita terdesak nak masak ikan untuk anak-anak yang sedang kebuluran, tiba-tiba api tidak ada, dah cuba hidupkan api banyak kali, tapi tidak berjaya disebabkan cuaca yang terlalu sejuk.

Gesel-geselkan batu banyak kali pun api masih tidak keluar sebab angin bertiup kencang.

Maka pada waktu ini, kita melihat api adalah satu keperluan dan satu perkara yang mesti dihargai.

Berbeza situasinya apabila kita melihat api mudah didapati dan berada di mana-mana, masa ini kita pun tidak peduli.

Contoh lain ialah situasi di bulan Ramadan.

Kalau kita tengok martabak ayam pada pukul 8.30 pagi, kita tidak ada keinginan langung nak makan.

Sebab apa?

Sebab kita baru sahaja sahur pukul 5 pagi tadi.

Jemput baca:

hakimdarno - betulkan mindset kita sebelum membaca al-Quran 1

Tapi, cuba kita tengok martabak ayam pada pukul 6.30 petang?

Kita rasa tidak sabar pula nak makan.

“Bilalah nak masuk waktu maghrib ini …”

Sebab bagaimana keadaan kita, menentukan bagaimana kita melihat sesuatu perkara.

Bagaimana situasi masalah kita, menentukan mahal ke murah apa yang kita lihat. 

Dan contoh yang terakhir ialah air mineral.

Ketika bulan puasa, air mineral pada pukul 8.30 pagi memang tidak bernilai.

Kita tidak perlu dan tidak berhajat kepada air tersebut.

Tetapi kalau pukul 6.30 petang?

Jual dengan harga yang mahal sekali pun, kita akan sanggup beli!

Demikianlah harga al-Quran. 

Tidak semua orang melihat harga al-Quran dengan harga yang sama. 

Demikianlah juga apa yang dilihat oleh Nabi Musa alaihissalam.

Baginda dan ahli keluarganya daripada Madyan sedang dalam perjalanan balik ke kampung halamannya di Mesir.

Dan tiba-tiba Allah takdirkan angin bertiup dengan begitu kuat sehingga mereka kesejukan, obor api terpadam dan kebetulan pula mereka berada dalam keadaan kelaparan. 

Sebab itulah apabila baginda melihat api yang tiba-tiba muncul di Lembah Tuwa, baginda rasa sangat-sangat perlukan api tersebut.

How do you see, determine what will you get.

Bagaimana anda melihat, menentukan apa yang anda akan dapat.

Baginda melihat api pada waktu yang sangat tepat sekali, api adalah satu keperluan mendesakpada waktu itu. 

Jadi Allah nak ajar kepada kita bahawa tidak semua cahaya itu dihargai walaupun ia cahaya api. 

hakimdarno - betulkan mindset kita sebelum membaca al-Quran 2

Demikianlah juga al-Quran yang Allah namakannya juga sebagai nur – cahaya. 

Tidak semua orang baca al-Quran.

Tidak semua orang hafal Quran. 

Tidak semua orang boleh membaca al-Quran dengan baik sekalipun mereka menghargai. 

Kita memberikan harga yang mahal kepada kitab suci ini.

Jadi, perkara pertama sekali yang kita belajar daripada Nabi Musa alaihissalam adalah betulkan niat sebelum kita membaca Quran.

Al-Quran adalah kitab yang boleh menyelamatkan peradaban. 

Al-Quran adalah kitab yang boleh menyelesaikan banyak masalah kehidupan.

Jadi, al-Quran bukan sekadar kita baca kerana orang lain baca pada malam Jumaat. 

Bukan sekadar kita baca kerana ramai orang cuba khatam 1 juzuk 1 hari. 

Maka, kita pun kena ikut khatam 1 juzuk 1 hari.

Bukan.

Betulkan mindset kita supaya kita tidak menjadi orang-orang yang hanya membaca al-Quran pada waktu tertentu di lokasi tertentu sahaja. 

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment