Apa yang peliknya manusia?
“Sofiyyah, pelik tak kalau kita ajak orang buat baik, tapi dia tak nak?”
“Apa maksudya papa?”
“Yelah, kalau papa ajak Sofiyyah buat baik, kan dapat pahala tapi Sofiyyah tak nak, pelik tak?”
“Pelik.”
“Contoh lain, kalau papa suruh Sofiyyah pergi sekolah supaya jadi pandai, tapi Sofiyyah tak nak, pelik tak?”
“Pelik. Papa, papa, kakak tahu … kalau papa ajak kakak sembahyang, kakak tak nak, pelik jugak kan?”
“Ya betul, pelik. Sebab apa kak?”
“Sebab sembahyangkan dapat pahala.”
“Pandai kakak.”
Saja tanya soalan ini pada kakak, nak tengok apa respon dia.
Sebab saya baru sahaja tadabbur ayat yang menceritakan tentang betapa peliknya manusia.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ نَصِيبًا مِّنَ ٱلْكِتَٰبِ يُدْعَوْنَ إِلَىٰ كِتَٰبِ ٱللَّهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ يَتَوَلَّىٰ فَرِيقٌ مِّنْهُمْ وَهُم مُّعْرِضُونَ
Tidakkah kamu memperhatikan orang-orang yang telah diberi bahagian iaitu al-Kitab (Taurat), mereka diseru kepada kitab Allah supaya kitab itu menetapkan hukum diantara mereka; kemudian sebahagian dari mereka berpaling, dan mereka selalu membelakangi (kebenaran).
[Surah ali-‘Imran 3: 23]
Dalam ayat ini (Allah tanya kepada Nabi),
أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ نَصِيبًا مِّنَ ٱلْكِتَٰبِ
Tidakkah engkau melihat ataupun memikir dengan akal kepada orang-orang yang mereka diberi sebahagian dari al-Kitab.
Kata Ustaz Abd Muein, bila Allah tanya soalan kepada Nabi membawa dua maksud.
Pertama soalan (حَقِيقي), untuk mendapatkan maklumat.
Kedua soalan (مَجَازِي), untuk mengingkari sesuatu perbuatan, menegaskan, mencela, menunjukkan kehairanan ataupun kepelikan.
Jadi ustaz menerangkan bahawa tidak mungkin ayat ini menunjukkan soalan (حَقِيقي) sebab yang bertanya adalah Allah.
Bila Allah yang tanya, tidak mungkin Allah tidak tahu sebab Allah Maha Mengetahui.
Jadi secara tidak langsung, soalan di sini menunjukkan soalan (مَجَازِي) yang menunjukkan kehairanan atau kepelikan.
Maka ustaz mengingatkan kepada kita semua bahawa kita kena faham betul-betul jenis soalan di dalam al-Quran sebab kadang-kadang soalan itu Allah hendak mencela, tetapi bila kita tidak faham, kita pun buat selamba sahaja.
Jadi, tidak kenalah.
Contoh soalan yang lain seperti,
أَفَلَا تَعْقِلُونَ – kamu tidak berakalkah? (soalan mencela).
أَفَلَايَتَدَبَّرُونَ – kenapa kamu tidak mentadabbur al-Quran? (soalan mencela).
Apakah kepelikan manusia yang ada pada ayat ini?
يُدْعَوْنَ إِلَىٰ كِتَٰبِ ٱللَّهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ يَتَوَلَّىٰ فَرِيقٌ مِّنْهُمْ وَهُم مُّعْرِضُونَ
Mereka diseru (diajak) kepada kitab Allah (Al Quran) supaya kitab itu menetapkan hukum diantara mereka; kemudian sebahagian dari mereka berpaling, dan mereka selalu membelakangi (kebenaran).
Dalam ayat ini, Allah beritahu bahawa tujuan kitab Allah diturunkan kepada manusia adalah untuk melaksanakan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah.
Bermakna Allah hendak beritahu kepada Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam, peliknya manusia; diberikan kitab dan diajak melaksanakan hukuman berdasarkan kitab Allah supaya mendapat kebaikan, tiba-tiba mereka tolak.
Orang nak ajak buat baik, tak nak. Nak buat jahat.
Orang nak ajak masuk syurga, tak nak. Nak masuk neraka.
Pelik atau tidak?
Mestilah pelik.
Kalau kita tawarkan gula-gula ataupun ais-krim pada anak-anak kita, tapi anak kita tidak mahu.
Pelik atau tidak?
Pelik sangat, “Lain macam anak aku ini.”
Jadi begitulah yang Allah gambarkan kepada orang yang tidak mahu menerima kitab Allah.
Pelik sangat orang yang macam ini, tetapi kita tidak merasa pelik pun.
Sebab apa?
Sebab kita tidak faham al-Quran.
Jemput baca di sini:
Jadi Allah hendak mencela ataupun Allah hendak menunjukkan kepada kita semua bahawa perkara yang paling pelik di dunia ialah diberikan kitab, diajak kepada kebaikan, tiba-tiba kita menolak ataupun berpaling.
Bukan setakat berpaling dan menolak dari segi fizikal, bahkan hatinya juga menolak.
Jadi, inilah manusia yang paling pelik wujud di dunia.
Kita nak ajak dia pergi sekolah, nak jadikan dia orang yang pandai, nak jadi orang yang berjaya, tapi dia tolak.
Dia kata, “Nak jadi orang jahat.” Atau “Saya nak masuk neraka.”
Daripada ayat ini kita dapat belajar bahawa, adakah semua orang yang ada ilmu mendapat hidayah Allah?
Tidak.
Adakah semua orang yang baca kitab mendapat hidayat Allah?
Belum tentu.
Adakah semua orang yang diajak kepada al-Quran mendapat hidayat Allah?
Tidak.
Kita akan mendapat hidayah Allah apabila kita dengar dan taat.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ ٱلْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَن يَقُولُوا۟ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۚ وَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ
Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat.” Dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.
[Surah an-Nur 24: 51]
Bangun, berilah peringatan!