fbpx

Betapa Pantasnya Allah Menguruskan Segala Makhluk-Nya

Berapa pantas Allah menguruskan segala makhluknya?

Allah ada cerita di dalam Surah as-Sajdah.

Allah beritahu tentang perintah Allah itu dibawa turun dan naik oleh malaikat selama tempoh tertentu.

Berapa lama tempoh tertentu itu?

Kena baca artikel ini sehingga habis.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala:

يُدَبِّرُ ٱلْأَمْرَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ إِلَى ٱلْأَرْضِ ثُمَّ يَعْرُجُ إِلَيْهِ فِى يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُۥٓ أَلْفَ سَنَةٍ مِّمَّا تَعُدُّونَ

Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya; (bagi melaksanakan tadbirNya itu Ia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik kepada pengetahuanNya (segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbirNya itu untuk dihakimiNya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang biasa.

[Surah as-Sajdah 32: 5]

Dalam ayat 4 Surah as-Sajdah, Allah beritahu tentang kebesaran-Nya melalui ciptaan langit dan bumi dalam tempoh 6 hari ataupun 6 masa, sekarang Allah nak beritahu pula bagaimana Dia menguruskan perintah-perintahnya daripada langit ke bumi kemudian daripada bumi ke langit.

(يُدَبِّرُ ٱلْأَمْرَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ إِلَى ٱلْأَرْضِ) – Dia menguruskan urusannya daripada langit ke bumi.

Siapa “Dia”?

Allah subhanahu wa ta’ala.

Kenapa perintah Allah datang daripada langit?

Sebab Allah berada di tempat yang tinggi.

Kata Hamka di dalam Tafsir al-Azhar;

Tentu hal ini pun tidak dapat kita fikirkan secara sewenang-wenangnya, bahawa Allah subhanahu wa ta’ala itu bertempat di langit yang kita mengangkat kepala ini.

Yang jelas ialah langit itu pun mempunyai erti tinggi; tinggi, tinggi sekali.

Dari mahligai atau singgah sana yang tinggi itulah Allah subhanahu wa ta’ala Yang Maha Suci, Maha Tinggi mengatur bumi ini atau menundukkan bumi ini, buat diatur urusannya bersama-sama dengan alam yang lain.

Ini pun tidaklah dapat kita tafsirkan menurut kekuatan akal kita.

Dalam hal ini, Allah subhanahu wa ta’ala menceritakan kepada Nabi-Nya dan disampaikan kepada kita tentang daerah Maha Luas dari kekuasaan dan kebesaran-Nya.

Cuma satu perkara yang dapat kita sematkan dalam dada kita ketika membaca ayat ini dengan saksama.

Iaitu Kekuasaan Allah Mengatur seluruh makhluk yang Dia ciptakan dengan amat sempurna dan teliti.

Jadi kita sebagai orang awam, kita boleh ikut kefahaman ini kerana ianya datang daripada orang yang memang ahlinya iaitu yang pandai bahasa Arab dan juga faham al-Quran.

Kemudian daripada langit, turun ke bumi.

Kenapa turun ke bumi?

Sebab manusia dan jin berada di bumi.

(ثُمَّ يَعْرُجُ إِلَيْهِ) – kemudian ia naik kepada-Nya.

Apa yang naik?

(ٱلْأَمْرَ) – urusan.

Jadi urusan Allah, daripada langit turun ke bumi, kemudian daripada bumi naik semula ke langit.

Berapa lama itu?

(فِى يَوْمٍ) – dalam hari ataupun satu hari.

(كَانَ مِقْدَارُهُۥٓ أَلْفَ سَنَةٍ مِّمَّا تَعُدُّونَ) – adalah kadarnya seribu tahun mengikut apa yang kamu kira.

Kata Ustaz Abd Muein, maksud ayat ini ialah tempoh urusan Allah turun daripada langit ke bumi, kemudian daripada bumi naik ke langit adalah selama seribu tahun mengikut kiraan kita.

Tapi bagi Allah, hanya sehari sahaja.

Manusia – 1000 tahun.

Allah – 1 hari.

Sebab itulah kata ustaz, ada ulama yang mengambil ayat ini dijadikan hujah tentang berapa jauh jarak antara bumi dan langit?

1000 tahun.

Turun, 500 tahun.

Naik, 500 tahun.

Jadi boleh tak kita naik sehingga ke langit?

Tidak boleh.

Sebab apa?

Sebab umur kita hanya lebih kurang 70 tahun.

Kalau kita cuba naik jugak, agak-agak kita baru sampai mana?

Jadi kita pun tidak boleh nak fikir.

Okey dalam ayat ini, Allah kata 1000 tahun.

Tapi dalam Surah al-Ma’aarij Allah kata 50,000 tahun.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

تَعْرُجُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ إِلَيْهِ فِى يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُۥ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ

Yang dilalui oleh malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahanNya (untuk menerima dan menyempurnakan tugas masing-masing, terutama) pada satu masa yang adalah tempohnya (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) sungguh panjang, (kerana banyak hitungan hisab dan berat soal jawabnya).

[Surah al-Ma’aarij 70: 4]

Yang ini kenapa pula Allah kata 50,000 tahun?

Kata ustaz, menurut ulama tafsir, 50,000 tahun di sini maksudnya ketika di akhirat nanti.

Sebab awal Surah al-Ma’aarij itu cerita tentang akhirat.

Tetapi 50,000 tahun ini bagi siapa?

Bagi orang-orang kafir.

Bagi orang-orang yang beriman?

Kata ustaz, dalam hadis disebut orang beriman akan rasa sekejap seperti sekadar solat fardu.

Bahkan ada riwayat yang lain mengatakan lebih ringan daripada solat fardu.

Tetapi bagi Allah sekejap sahaja, sekelip mata.

Buktinya?

Kisah Nabi Sulaiman yang membawa singgahsana Balqis daripada Yaman ke Palestin.

Jaraknya lebih kurang 2000 kilometer, tapi malaikat yang membawa singgahsana itu hanya bawa dalam sekelip mata.

Bahkan bukan sekelip mata, sebelum mata berkelip lagi.

Subhanallah!

Betapa hebatnya kuasa Allah.

Allah dah tunjuk kebesarannya dan kekuatannya di dunia, apatah lagi di akhirat nanti.

Jadi tidak mustahil di Padang Mahsyar nanti, ada orang yang rasa berdiri selama 50,000 tahun, tetapi dalam masa yang sama ada orang yang rasa seperti mendirikan solat.

Tidak mustahil.

Semoga kita termasuk dalam golongan yang berdiri sekejap itu, amin mudah-mudahan.

Tapi kata ustaz, kena cukup syarat.

Apa syaratnya?

Salah satunya ialah selalu berulang alik ke masjid.

Kan Nabi kata ada tujuh golongan yang selamat di Padang Mahsyar, salah satunya yang berulang alik ke masjid.

Jadi jangan malas pergi ke masjid sebab kalau kita malas, kita akan didenda berdiri selama 50,000 tahun di akhirat.

Tidak padan kita seronak di dunia sekejap selama 70 tahun, tapi terseksa selama 50,000 tahun.

Kenapa Allah beritahu tentang ini?

Sebab Allah nak beritahu tentang kebesaran Dia.

Kita kalau buat apa-apa urusan rasmi kepada kerajaan, ambil masa berapa lama?

Kita buat urusan pakai emel sahaja (sekejap), tapi hasilnya belum tentu dapat selesai dalam masa sebulan, kadang-kadang setahun pun tidak selesai.

Tapi Allah menguruskan seluruh makhluknya hanya dalam tempoh satu hari bersamaan 1000 tahun kiraan kita.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment