Apakah yang dimaksudkan dengan Berita Besar?
Bila Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam menyampaikan isi kandungan al-Quran, mesej itu benar-benar tempat kena pada jantung hati orang-orang kafir.
Mesej yang disampaikan oleh Nabi itu sangat-sangat bercanggah dan melawan arus dengan pegangan mereka selama ini.
Maka, mereka pun berbincang di dalam dewan ataupun kelab mereka.
- Jemput baca di sini: Rundingan Meja Bulat Kaum Musyrikin Mekah
Antara yang mereka bincang ialah (عَمَّ يَتَسَآءَلُونَ) – tentang apakah mereka bertanya-tanya?
Lalu Allah pun jawab,
عَنِ ٱلنَّبَإِ ٱلْعَظِيمِ
Tentang berita yang besar, (berita kebangkitan manusia hidup semula menerima balasannya).
[Surah an-Naba 78: 2]
Apa itu (عَنِ ٱلنَّبَإِ ٱلْعَظِيمِ)?
Kata Hamka di dalam Tafsir al-Azhar, (عَنِ ٱلنَّبَإِ ٱلْعَظِيمِ) merujuk tentang satu berita besar!
Apa dia berita yang besar itu?
Adalah satu berita besar bagi kaum Quraisy itu ketika Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam, anak Abdullah yang mereka kenal sejak dari masa kecilnya sampai masa remajanya, lalu meningkat dewasa, sehingga berusia lebih dari empat puluh tahun.
Dia telah mengeluarkan suatu pendirian yang berbeza sama sekali dari yang mereka harapkan.
Dia mengaku dirinya mendapat wahyu dari Allah.
Dia mengaku Malaikat Jibril telah datang diutus oleh Allah menemuinya buat menyampaikan wahyu itu.
Dan wahyu-wahyu yang disampaikannya itu sangatlah menggoncangkan masyarakat.
Dia melarang menyembah berhala yang selama ini menjadi dasar agama kaumnya.
Dan dia pun mengatakan pula bahawa di belakang hari nanti, iaitu setelah kita mati, kita semuanya ini akan hidup kembali dalam alam lain yang bernama alam akhirat.
Di sana akan diperhitungkan amalan manusia.
Dosa yang tidak akan diampuni, kalau tidak taubat betul-betul, ialah dosa mempersekutukan Allah dengan sembahan-sembahan yang lain.
[Tafsir al-Azhar. Juzuk 30. Muka surat 6. PTS Publishing House. 2017]
Maksudnya bila sebut berita besar, ia merujuk kepada berita yang utama, viral ataupun berita yang semua orang perkatakan.
Jadi kalau orang tanya, apakah berita besar bagi orang yang beriman?
Kita jawab?
Hari Kiamat.
Jadi bila hari kiamat merupakan berita besar bagi orang-orang yang beriman, maka setiap hari kita perlu bincang mengenainya.
Okey sekarang, cuba tanya diri kita pula.
Apakah berita besar dalam hidup kita?
Atau apakah berita utama yang menjadi bualan kita setiap hari?
Baru-baru ini banyak berita viral yang menerjah ke media sosial sehingga mengganggu konsentrasi kita untuk beribadah di bulan Ramadan.
Dalam menerangkan ayat ini, Ustaz Abd Muein kongsi berita besar yang menjadi perbualan masyarakat kita iaitu pemilihan pemimpin.
Kenapa tukar pemimpin menjadi berita besar kita?
Kerana kita rasa seolah-olah diri kita ditindas, dizalimi dan tidak diberikan hak.
Maka kita pun nak tuntut hak kita.
Sebut pasal hak ini, tanya pada diri kita, banyak tak kita ambik hak Allah?
Banyak.
Kalau ambil hak manusia pun kita dikira zalim, kalau ambil hak Allah?
Lagi besar kezalimannya.
Sebab itulah Allah kata di dalam Surah al-Mutaffifin, “Celaka kepada mutaffifin!”
Allah gelar celaka ini bukan pada pemimpin, tetapi kepada mutaffifin.
Tapi siapa mutaffifin ini?
Perkataan mutaffifin ini berasal daripada perkataan thafif yang bermaksud sedikit ataupun kecil.
Maka siapa yang mengurangkan hak seseorang walaupun kecil, dialah orang yang celaka.
Hak sekecil mana?
Contohnya orang yang menjual kismis.
Kalau dia kurangkan timbangan dengan hanya satu kismis pun, Allah kata celaka.
Begitulah gambarannya.
Jadi kalau kita ambil tiga biji kismis?
Lagi celaka.
Kalau ambil setengah kilo?
Lagi celaka.
Kalau ambil satu juta?
Sangat-sangat celaka.
Kalau ambik berjuta- juta atau berbilion-bilion?
Tidak tahulah berapa banyak celaka yang kita dapat.
Ini kalau kita ambil hak manusia.
Kalau ambil hak Allah bagaimana?
Apa itu hak Allah?
Hak Allah adalah bila kita tidak ikut perintahnya.
Tidak solat, buka aurat, pakai ketat, mengumpat.
Ini lagi celaka.
Inilah yang kita terlepas pandang, kalau bab orang ambil hak kita bukan main lagi kita tuntut.
Tapi kita tidak pernah rasa pun kita telah ambil hak Allah.
Sebab itulah kita kena jadikan (عَنِ ٱلنَّبَإِ ٱلْعَظِيمِ) ini sebagai berita utama dalam hidup kita kerana pada hari akhirat nanti, Allah akan kembalikan hak-hak orang yang diambil secara zalim dan menghukum mereka walaupun sebutir buah kismis.
Bangun, berilah peringatan!