fbpx

Be Eshme Elohim – Sang Penuntun Hati

Pertama kali melihat buku Be Eshme Elohim – Sang Penuntun Hati di pasaran, jauh di lubuk hati saya ingin memilikinya.

Namun, saya abaikan.

Pandangan kali pertama belum cukup untuk mencairkan hati saya.

Pada masa itu, hanya ada satu sebab sahaja saya perlu memilikinya iaitu atas faktor penulis.

Buku ini ditulis oleh Dr. Maszlee Malik, mantan Menteri Pelajaran Malaysia dan juga Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Tetapi sebab yang satu ini belum cukup kukuh dan mantap.

Sebab di rak buku saya, ada sebuah buku Dr. Maszlee yang belum saya baca – Memori Bukan Memoir.

hakimdarno - Be Eshme Elohim - Sang Penuntun Hati 1

Jadi, saya tangguhkan dulu niat nak beli buku ini sehinggalah pada penghujung Disember yang lepas saya mengunjungi jualan gudang Iman Publication di Kajang.

Saya terserempak dengan buku ini.

Melihat saja buku ini, dia seperti memanggil-manggil saya, “Sinilah Hakim datang kepadaku.”

Saya pun ambil dan membelek-belek muka surat awal pada buku.

Buku ini baru sahaja diterbitkan semula oleh Jejak Tarbiah pada tahun 2021.

Ya, masih baru lagi.

Saya pun baru tahu bahawa asalnya buku ini bertajuk Hikmah Hati yang diterbitkan oleh Alaf 21 pada tahun 2009.

Saya belek kulit depan dan belakang buku beberapa kali.

Apalah agaknya yang Dr. Maszlee cuba sampaikan dalam buku ini sebab tajuknya sangat menimbulkan tanda tanya.

Be Eshme Elohim … bahasa apa ini?

Apa maksudnya?

Alang-alang dah ada buku di depan mata, perasaan ingin tahu saya membuak-buak seperti darah yang keluar daripada badan bila ditusuk dengan parang.

Saya membaca blurb yang berada di belakang buku.

Ada gambar seorang lelaki yang sedang berdiri di kaki gunung.

Antara basirah (ketajaman hati) dan basar (penglihatan) – mana yang lebih dipercayai?

“Basirah-mu telah memandumu sejauh ini, ia selari dengan ketulusan hatimu dan kemurnian jiwamu.”

Be Eshme Elohim merupakan medium penulis berbicara dengan jiwa-jiwa pembaca yang memerlukan sedikit simbahan rasa spiritual.

Naskah ini terlahir daripada  inspirasi sebuah hadis, kisah tentang Ghulam yang lahir dalam kehidupan serba kekurangan.

Dia berimpian untuk menjadi ahli sihir agar dia dan ibu mampu hidup dalam kemewahan.

Namun, pertemuan dengan “seseorang” telah mengubah kepercayaan hidupnya.

Kini, dia berhasrat untuk mencari erti hidup sebenar dalam kejahilan raja dan masyarakatnya.

Tanpa mengembalikan diri kita kepada asal, iaitu kepada Yang Maha Pencipta, kita hanyalah sebujur jasad yang dikagumi kerana sifat-sifatnya, tetapi tidak mempunyai erti lebih daripada itu.

Habis membaca blurb, terus saya masukkan buku ini ke dalam bakul.

Saya ingat lagi, perkataan “Ghulam” yang menjadi pendorong kuat saya membeli buku ini.

Sebab sekarang saya sedang mengajar pelajar-pelajar saya tadabbur Surah al-Buruj.

Jadi, bila kita tadabbur Surah al-Buruj mesti kita akan jumpa dengan kisah Ghulam yang diceritakan oleh Nabi dalam satu hadis yang panjang.

Jadi, saya dah dengar cerita Ghulam dari versi yang asal.

Apa kata saya cuba pula cerita Ghulam yang disajikan dalam bentuk novel pula.

Ini akan menambahkan lagi pemahaman saya tentang kisah Ghulam ini.

Alhamdulillah saya berjaya menghabiskannya dalam tempoh satu hari.

Saya rasa, saya telah membaca novel ini di waktu yang tepat sekali.

hakimdarno - Be Eshme Elohim - Sang Penuntun Hati 2

Kerana watak-watak di dalam kisah Ghulam ini mengingatkan kepada saya watak-watak manusia yang ada di dunia realiti kita.

Contohnya watak Shah – Raja kerajaan Himyar yang mengaku sebagai tuhan.

Raja ini telah menentang habis-habisan ajaran hanif yang dibawa oleh para rahib.

Lalu semua rahib dibunuh.

Tujuannya supaya rakyat terus berada di dalam kejahilan, bila rakyat jahil barulah si raja boleh buat zalim sesuka hatinya.

Begitulah yang kita lihat hari ini, ada beberapa pemimpin melakukan tindakan dan buat keputusan mengikut hawa nafsu.

Mereka menggunakan kuasa yang ada bagi mengaburi mata rakyat.

Inilah sihir zaman moden.

Manakala watak hero di dalam novel ini iaitu Ghulam cuba menggunakan senjata ampuh yang diberikan oleh gurunya bagi mengeluarkan diri mereka daripada kejahilan.

Pesan guru Ghulam,

“Anakku, alam yang kau lihat ini menampakkan dirimu! Seperti mana dirimu, alam juga makhluk ciptaan Tuhan pemilik segala sesuatu.

Alam hanyalah hiasan bumi, seumpama kamu, aku dan semua manusia di atas perutnya.

Kau lihat alam, kau akan nampak betapa kerdilnya dirimu, betapa lemah dan terhadnya kekuasaanmu …

Kita diciptakan,. Kemudian hidup, kemudian sakit, lemah dan mati.

Ilmu kita terhad.

Aku tidak tahu bilakah matiku, di mana, bagaimana, mengapa, bersama siapa?

Begitu juga kamu dan manusia lain.

Basar kita juga terhad.

Aku tidak dapat melihat apakah di sebalik bulan, awan, bintang, malah apakah di sebalik kepekatan malam.

Aku tidak dapat melihat apakah yang kau fikirkan, dan aku juga tidak dapat melihat angin yang bertiup.

Namun, basirah yang membimbing kita, memberikan makna kepada alam yang kita lihat.

Basirah memberikan erti kepada kehidupan kita.

Basirah juga memberi kita erti kekuasaan Tuhan pemilik alam semesta.

Ia memandu kita untuk menyedari dan menginsafi adanya kuasa yang mengatur segala-galanya.

Adanya ilmu yang membentukkan ilmu kita dan hikmah yang membimbing kita.

hakimdarno - Be Eshme Elohim - Sang Penuntun Hati 3

Itulah juga senjata yang perlu kita bina di dalam diri kita (basirah) bagi berhadapan segelintir pemimpin yang bobrok!

Saya sarankan supaya anda semua cari buku ini dan baca.

Semoga Allah mengurniakan kepada kita basirah.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment