Kenapa perlu banyak membaca dan banyak bertanya?
Kata Ustaz Syaari Ab Rahman, apabila kita telah memahami ayat al-Quran dengan kaedah yang betul, mudah-mudahan dapat merubah tingkah laku kita (Tazakkur).
Apakah perubahan tingkah laku yang kita harapkan?
Dahaga Dengan Ilmu
Menjadi orang yang banyak membaca.
Setelah kita mengikuti kelas, kuliah ataupun seminar daripada para guru, kita menjadi orang yang semakin dahaga dengan ilmu.
Kata Dr. Zaini Ujang,
“Antara sebab yang menguatkan nafsu saya untuk membaca ialah sikap saya terhadap ilmu. Saya sering menasihatkan anak-anak muda terutama penulis, supaya bersikap rendah diri terhadap ilmu. Jika kita berasa kita pandai, kita tidak akan terdorong untuk membaca, tetapi jika kita berasa diri masih bodoh, nescaya kita akan terus membaca untuk tujuan menambah ilmu.”
Tidak mungkin para guru mampu berkongsi segala ilmu mengenai sesuatu topik kepada kita (pelajar).
Tidak mungkin mereka dapat menyalurkan kefahaman total kepada kita dalam tempoh singkat, melainkan sekadar menjelaskan perkara asas, menunjuk arah, dan membantu kita menyelesaikan sesuatu permasalahan.
Selebihnya, kita perlu membaca sendiri untuk melengkapkan atau meningkatkan kefahaman, mendalami pengetahuan dan memantapkan ingatan.
Paling penting, kita membaca untuk belajar berdikari mencari sendiri ilmu pengetahuan.
Ketika belajar, biasanya akan ada beberapa perkara yang kita kurang faham dan tidak tahu, jadi inilah masanya untuk kita kembangkan lagi ilmu pengetahuan yang sedia ada.
Semakin banyak kita membaca, semakin cepat kita sedar bahawa banyak lagi perkara yang kita tidak tahu rupanya.
Kisah Para Ulama Yang Banyak Membaca
Dr. Nidzam Abdul Kadir dalam bukunya Memburu Keberkatan Ilmu menjelaskan malas membaca menjadi penyakit dan punca kemerosotan ilmu.
Sejarah para ulama silam yang cemerlang dalam bidang ilmu menyaksikan keluasan bacaan mereka.
Terdapat pelbagai kisah para ulama dan sikap mereka dalam pembacaan.
Antaranya:
1. Al-Khatib al-Baghdadi menghabiskan bacaan Sahih al-Bukhari dalam tiga kali majlis bacaan.
Bagaimana beliau menghabiskan bacaan Sahih al-Bukhari dalam masa lima hari juga diceritakan.
2. Izzu ad-Din Abdul Salam menghabiskan bacaan kitab fiqah Nihayah al-Matlab karangan Imam al-Haramain dalam masa tiga hari.
Kitab tersebut merupakan kitab yang sangat tebal.
3. Al-Hafiz al-Mizzi membaca al-Mu’jam al-Kabir susunan Imam ath-Thabarani dalam sesi bacaan sebanyak 60 majlis sahaja.
4. Al-Hafiz az-Zahabi menghabiskan kitab Sirah Ibn Hisyam dalam tempoh enam hari.
5. Imam al-Qustalani menghabiskan bacaan Sahih al-Bukhari dalam tempoh bacaan lima kali sahaja.
Begitulah kuatnya semangat sebahagian ulama silam dalam membaca.
Kita sebagai penuntut ilmu bukanlah hendak menandingi kekuatan dan kecepatan pembacaan mereka, tetapi sekadar mengambil semangat dan kekuatan bacaan.
Bukan Baca Sahaja, Tetapi Baca Dan Faham
Membaca kisah mereka, adakah kita masih malas membaca?
Dr. Nidzam menjelaskan lagi, bacaan ini mestilah disertai dengan kefahaman dan hafazan mengikut kadar kemampuan.
Jika tidak, kitab yang dibaca dikhuatiri tidak akan memberikan ilmu yang bermanfaat.
Ada ungkapan syair berbunyi:
“Apabila engkau tidak menjadi seorang penghafal yang sedar (faham),
Maka himpunanmu bagi buku-buku itu tidak akan memberi manfaat (yang besar).”
Melihat fenomena hari ini, pelajar hadir ke majlis ilmu dalam keadaan berlenggang tangan dan tidak bersedia.
Guru pula yang bersedia bagai nak rak sebelum memberikan pengisian.
Seolah-olah pelajar yang mempunyai banyak ilmu daripada guru.
Sepatutnya pelajarlah yang perlu lebih bersedia untuk belajar.
Ilmu yang didengari saja tanpa buku dan catatan agak sukar untuk dihadam dengan baik.
Bak masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.
Satu kalam ada menyatakan:
“Apa yang dihafal, ia (akan) lari (hilang) dan apa yang dicatata, ia (akan) tetap.”
Dengan adanya kitab dan buku, ulang kaji dapat dilakukan dengan baik.
Maklumat dapat dicatat dalam buku tersebut.
Dengan itu, kefahaman terhadap ilmu akan berkembang dengan baik.
Sampai Bila Kita Mahu Disuap?
Kita tidak mahu selama-lamanya menjadi orang yang bersifat spoon feeding – hanya mahu disuap saja, tetapi kita nak jadi orang yang bersifat proaktif.
Kita nak jadi orang yang mengambil inisiatif.
Kita tidak mengharap seratus-peratus ilmu daripada para guru kerana mereka hanya memberikan bimbingan sahaja.
Selebihnya kita yang kena usaha sendiri.
Kita yang kena mencari jawapan terhadap persoalan-persoalan yang timbul hasil daripada kita membaca dan mengkaji al-Quran.
Tidak cukup sekadar terjemahan, tetapi kita membaca daripada bahan-bahan lain yang dapat membantu kita menemui jawapan yang kita perlukan.
Sebab itulah kita kena membaca.
Membaca ini umpama memberi makanan yang berkhasiat kepada otak kita.
Kesimpulan awal yang kita boleh buat ialah:
Pertama, kita nak jadi orang yang banyak membaca.
Kedua, kita nak jadi orang yang sentiasa mencari jawapan terhadap persoalan yang sering bermain di fikiran.
Kita tidak boleh biarkan persoalan tanpa jawapan kerana akan mengganggu konsentrasi kita dalam kehidupan seharian.
- Jemput baca: Bagaimana Mahu Membaca?
Tanya Pakar
Pesan Ustaz Syaari lagi, beliau mahu kita semua menyuburkan budaya bertanya kepada orang yang pakar dalam bidang.
Bila kita sudah membaca, mencuba mencari jawapan, tetapi tidak jumpa dengan jawapan yang dicari ataupun tidak dapat merumuskan hasil penemuan, maka bertanyalah kita kepada orang yang ahlinya.
Bila kita tidak memahami sesuatu ayat ataupun sesuatu perkara, jangan kita bertanya pada orang yang bukan dalam bidangnya.
Sebaliknya kita mengambil pendapat mereka yang menceburi bidang tersebut.
Jadilah orang yang menghormati ilmu.
Kita tidak ada banyak ilmu dalam satu-satu perkara, kita tidak ada semua ilmu pun.
Maka ambillah peluang untuk merendah diri, dan bertanya dengan orang yang memang mahir dalam bidang berkenaan.
Bertanya mempunyai kebaikan dan faedah iaitu untuk memperkukuhkan kefahaman.
Maka riwayat menyatakan bahawa Ibn Abbas radhiyallahu anhuma mendapat ilmu yang banyak dengan dua sebab iaitu:
1. Lidah yang banyak bertanya.
2. Akal yang banyak berfikir.
Dua Jenis Pertanyaan
Pertanyaan ini pula ada dua jenis:
1. Pertanyaan atas tujuan pendidikan bagi perkara yang diperlukan dalam agama, maka itu adalah harus.
2. Pertanyaan atas wajah takbur, kesombongan dan memberatkan, maka ditegah oleh syarak.
Ada kalam menjelaskan,
“Bertanyalah untuk memahami, bukan untuk berlagak sombong.”
Oleh itu, para sahabat yang tinggal dan belajar daripada Nabi salla Allah ‘alaih wa sallam biasanya bertanya kepada Nabi salla Allah ‘alaih wa sallam akan perkara yang berlaku dan akan berlaku.
Pertanyaan itu penting kerana merupakan pedoman bagi mereka untuk beramal dengan hukum syarak.
Ya, semakin banyak kita membaca, semakin hormat kita kepada para ilmuan.
Semakin banyak kita membaca dan bertanya, semakin tinggi keinginan kita untuk merentas ke bidang yang lain.
Contoh kita dalam bidang tadabbur al-Quran, kita rasa tidak cukup dengan hanya ilmu tafsir dan juga bahasa Arab sahaja, tetapi kita memerlukan ilmu dalam bidang yang lain.
Bangun, berilah peringatan!