fbpx

Bagaimana Mahu Membaca?

Kita bukan sekadar mahu menjadi orang yang pandai membaca.

Tetapi lebih daripada itu, kita mahu menjadi orang yang lebih baik dari masa ke semasa.

Itulah tujuan sebenar membaca.

Mengubah diri kita menjadi orang yang rajin, berfikiran terbuka, luas pandangan, lapang dada, banyak idea dan banyak memberi manfaat kepada orang lain.

Membaca kali pertama, menjadikan kita daripada orang yang tidak tahu kepada orang yang tahu.

Membaca kali kedua, menjadikan kita orang yang tahu kepada orang yang faham.

Membaca kali ketiga, menjadikan kita orang yang faham kepada orang yang mengamalkan.

Membaca kali keempat, menjadikan kita orang yang mengamalkan kepada orang yang menyebarkan.

Begitulah seterusnya kita berpindah daripada satu buku kepada satu buku.

Isi Kandungan

    Dua Cara Membaca Yang Perlu Kita Kuasai

    Dua cara atau dua azimat yang mesti kita pegang erat bila kita membaca iaitu:

    1. Istiqamah atau berterusan.
    2. Segera dan jangan tangguh.

    Dua cara atau dua azimat ini saya dapat daripada Ustaz Fauwaz Fadzil ketika mentadabbur perkataan (ٱقْرَأْ) – bacalah di dalam Surah al-‘Alaq.

    Membaca di sini bermaksud membaca apa-apa sahaja yang bermanfaat terutamanya kepada diri kita sendiri.

    Kata ustaz, asas tadabbur al-Quran ialah menguasai ilmu Usul Fiqh kerana Imam Ibnu Qalbi rahimahullah dalam kitabnya Taqribul Usul menyatakan – sesungguhnya ilmu Usul Fiqh ini sebaik-baik penolong untuk memahami ayat-ayat Allah dan Sunnah Rasulillah salla Allah ‘alaih wa sallam.

    Jadi, ustaz kongsikan dua kaedah Usul Fiqh bagi memahami perkataan (ٱقْرَأْ) – bacalah.

    Secara umumnya, perkataan (ٱقْرَأْ) merupakan perintah daripada Allah kepada kita supaya membaca.

    Kata ustaz, perkataan (ٱقْرَأْ) merupakan fiil amar.

    Dan kalau kita perhatikan, ada banyak perkataan yang bersifat fiil amar di dalam al-Quran.

    Antaranya ialah perkataan (ٱقْرَأْ).

    Pertama: Yufidu al-Istimrar – Perkara Itu Berterusan

    Maksudnya ialah kita kena membaca dan terus membaca sepanjang hidup kita.

    Tidak ada istilah berhenti membaca.

    Bukannya bila kita tamat sahaja segulung ijazah, maka pembacaan kita pun terhenti.

    Habis sahaja belajar, kita terus jual buku-buku kita kepada adik junior.

    Membaca itu itu tidak terhad pada sesuatu masa, kedudukan dan tempat.

    Maksudnya membaca tidak terhad untuk kanak-kanak sahaja, tidak terhad untuk pensyarah sahaja dan tidak terhad hanya di sekolah sahaja.

    Berapa pun umur kita, apa pun jawatan kita dan kita duduk di mana-mana sekalipun, kita kena membaca.

    Jemput baca:

    Kedua: Yufidu al-Fard – Mesti Membaca Dengan Segera

    Maksudnya ialah setiap masa dan ketika, kita akan sentiasa berhadapan dengan masalah.

    Jadi, dalam menghadapi sesuatu masalah, kita kena lakukan kajian sendiri dengan cara membaca.

    Kita kena melakukan pembacaan yang berbentuk cepat dan pantas untuk mencari jawapan dan penyelesaian.

    Maknanya, jika kita tidak segera membaca, kita tidak dapat melakukan tindakan yang tepat.

    Maka kita tidak akan mengikut arahan Allah.

    Berhenti Membaca Bermakna Berhenti Menjadi Orang Pandai

    Menurut ustaz, kalau kita menangguh atau berhenti daripada aktiviti membaca, kita akan tergolong dalam golongan yang jahil dan akhirnya kita akan memusuhi apa yang kita jahil.

    Contohnya baru-baru ini, ketika kita semua dilanda wabak COVID-19, kerajaan telah memerintahkan supaya kita semua duduk di rumah, mufti pun mengeluarkan arahan supaya tutup surau dan masjid, namun ada di kalangan kita yang menentang keputusan tersebut.

    Kenapa menentang?

    Kerana kita musuh terhadap kejahilan kita.

    Bila kita tidak tahu satu perkara, kita akan menentang.

    Tetapi bila kita tahu, kita akan bersama dengan kebenaran.

    Apa yang kita sedang hadapi sekarang adalah situasi baru yang memerlukan penyelesaian baru.

    Jadi, kuncinya adalah membaca.

    Sentiasa Memperbaharui Pembacaan

    Sebab itulah membaca ini bersifat mutajaddidah iaitu kena sentiasa memperbaharui pembacaan.

    Mungkin hari ini kita faham macam ini, lusa kita faham macam lain.

    Menurut ustaz lagi, konsep pembacaan terikat dengan kefahaman dan kefahaman ini kata ulama, dia menerima secara mendalam.

    Maksudnya hari ini kita faham 10 %.

    Esok 20 % dan lusa kita faham 30 % dan begitulah seterusnya sehingga kita mendapat hasil yang betul.

    Sekali lagi, kuncinya adalah membaca.

    Contoh Orang Yang Membaca Adalah Orang Yang Berjaya

    Kemudian ustaz membawa kisah Bruce Lee yang di rumahnya mempunyai 3500 buah buku.

    Itulah antara faktor dia menjadi pelakon yang hebat.

    Itu Bruce Lee.

    Artis-artis di barat pun mereka kuat membaca.

    Sebab itulah mereka luar biasa.

    Sebab itu ada kajian menunjukkan, budak-budak yang kuat membaca buku, ramalan cuacanya akan menjadi orang kaya.

    Budak-budak yang banyak tengok televisyen, ramalan cuacanya akan menjadi orang miskin.

    Oleh itu, kita dapat meramalkan kedudukan budak-budak itu mengikut apa yang mereka lakukan semasa usia kanak-kanak.

    Jadi, perkataan (ٱقْرَأْ) ini adalah kunci kepada semua perkara.

    Kalau kita mahu berjaya dalam bisnes, baca buku bisnes.

    Kalau kita mahu jadi pemain bola, baca buku bola.

    Kalau kita mahu berjaya menjadi seorang mufti, baca buku sebanyak mungkin.

    Inilah rahsia umat Islam kalau mahu lakukan perubahan, mahu meningkatkan ekonomi, politik  menjadi lebih adil, keadaan sosial berubah menjadi lebih baik dan prestasi kerja kita juga meningkat.

    Insha-Allah, jika seluruh umat Islam di Malaysia yang ada hampir 15 juta ini, mula membaca, menelaah, muzakarah dan sebagainya automatik, ekonomi kita akan meningkat.

    Bangun, berilah peringatan!

    Leave a Comment