fbpx

Apakah Maksud Mendustakan Agama?

Mendustakan agama – antara kesalahan yang kita tidak sedar.

Baik ibu ayah semua.

Mana satu yang lebih baik?

Antara pertama, kita suruh anak pergi kedai beli bawang, dia kata tak nak tapi dia tetap pergi juga.

Dengan kedua, kita suruh anak pergi kedai beli bawang, tapi dia tak pergi pun.

Diam sahaja tak kata apa-apa.

Mana yang lebih menyakiti hati kita? 

Ibu bapa semua diam.

Ada seorang bapa yang duduk di hadapan sekali jawab,

“Kalau saya, yang kedualah sebab dahlah dia buat tak tahu sahaja, bawang pun tak dapat. Kalau yang pertama tadi, walaupun dia kata tak nak, bawang tetap dapat juga”.

Kebanyakan ibu bapa pakat tunduk tanda setuju.

Ustaz pun meneruskan perbincangan.

Begitulah yang berlaku dalam kehidupan kita.

Ramai yang kata agama Islam ini cantik, tapi tak solat.

hakimdarno - apakah maksud mendustakan agama 1

Tapi dalam masa yang sama, ramai juga yang merungut agama ini susahlah tapi tetap pergi solat.

Mana satu yang lebih baik?

Kali ini semua jawab serentak yang solat.

Okey baik.

Apa yang kita boleh belajar daripada situasi ini?

Kita dapat belajar bahawa pendustaan yang paling besar ialah dari segi perbuatan dan bukannya kata-kata.

Mulut manis sahaja tapi bila Tuhan perintah, kita dustakan.

Cuba tengok pada ayat yang pertama Surah al-Maa’uun.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

أَرَءَيْتَ ٱلَّذِى يُكَذِّبُ بِٱلدِّينِ

Tidakkah engkau melihat orang yang mendustakan agama?

[Surah al-Maa’uun 107: 1]

Siapakah orang yang mendustakan agama ini?

Sebelum itu, apa maksud agama?

Agama ialah peraturan ataupun undang-undang untuk kita menguruskan kehidupan.

Jadi, katakanlah kita beli satu alat atau mesin dengan harga satu juta, sudah pasti nak guna mesin ini susah dan perlukan buku peraturan.

Bayangkan buku peraturan tak ada.

Kita pun guna mesin itu pakai akal kita.

Tekan sana, tekan sini.

Akhirnya jadi apa?

Rosak.

Jadi penting tak ada buku peraturan itu?

hakimdarno - apakah maksud mendustakan agama 2

Tersangatlah penting.

Sebab kalau kita ada alat yang canggih pun, tapi tak tahu guna, tidak akan memberikan manfaat kepada kita.

Begitulah kehidupan di dunia.

Jemput baca:

Langit, bumi, matahari dan semua yang ada di muka bumi ini adalah harta yang tiada harga kerana terlalu mahal.

Manakala al-Quran itulah buku panduan dia.

Al-Quran adalah buku yang mengajar kita cara nak menguruskan langit, bumi, matahari, manusia dan juga tumbuhan.

Kalau kita menguruskan dunia ini menggunakan buku peraturan yang Allah bagi, kita akan dapat keuntungan yang berlipat kali ganda.

Apa keuntungan dia?

Syurga yang kekal abadi.

Tapi kalau kita tak pakai peraturan itu, kita uruskan dunia, manusia, dan anak mengikut nafsu, agak-agak apa yang terjadi?

Dahlah di dunia rugi, di akhirat masuk neraka pula.

Nauzubillahi min zalik.

Jadi penting tak peraturan itu?

Penting dan itulah namanya (ٱلدِّين) – agama.

Jadi kalau kita sambung perbincangan kita tadi.

Maksud Mendustakan Agama

Apakah maksud mendustakan agama?

Kita tidak ikut peraturan yang ada dalam buku.

Macam mesin tadilah, mesin kata tekan butang hijau, kita tekan merah.

Sebelum guna, kena hidupkan dahulu enjin setengah jam.

Tapi kalau hidupkan dan kita terus jalan macam mana?

Rosaklah enjin tadi.

Allah kata, masuk waktu subuh solat, tapi kita tak solat.

Allah kata arak, judi dan zina haram, tapi manusia tetap buat.

Jadi, buka aurat, tak solat, tengking suami atau apa sahaja maksiat termasuk dalam mendustakan agama.

Jadi maksud orang yang mendustakan agama ialah orang yang tidak ikut peraturan.

Mendustakan agama ini tak perlu cakap dengan mulut, contoh macam kita kata agama ini karutlah, tipulah, sesatlah.

Cukup bila kita tidak mengamalkan agama, maka kita dikira mendustakan agama.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment