fbpx

Anugerah Allah Untuk Orang Beriman

Anugerah Allah yang kita abaikan.

Biasakan kita baca ayat (وَمَآ أَرْسَلْنَٰكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَٰلَمِينَ) – tidak kami utuskan engkau wahai muhammad sekalian alam.

Maksudnya rasul diutuskan untuk sekalian alam, bukan hanya untuk orang beriman sahaja.

Tetapi kenapa dalam ayat 164 Surah ali-‘Imran, Allah sebut untuk orang beriman sahaja?

Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

لَقَدْ مَنَّ ٱللَّهُ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri …

Kata Ustaz Abd Muein, bila kita jumpa perkataan (لَقَدْ), Allah nak tegaskan kita dengan tiga penegasan.

Pertama, demi Allah.

Kedua, pasti.

Ketiga, sesungguhnya.

Jadi, kenapa Allah gunakan sehingga tiga penegasan?

Sebab apa yang Allah nak sampaikan selepas perkataan ini penting dan besar.

Isi Kandungan

    Anugerah Allah

    hakimdarno - anugerah Allah untuk orang beriman 2

    Maka kita kena ambil serius iaitu:

    مَنَّ ٱللَّهُ

    Telah memberi anugerah oleh Allah.

    Kalau kita nak tahu nilai sesuatu anugerah itu hebat atau biasa-biasa sahaja, kita akan tengok siapa yang bagi.

    Semakin tinggi kedudukan ataupun jawatan seseorang, semakin bernilai anugerah yang diberikan.

    Jadi dalam ayat ini, bukan kedudukan di sisi manusia yang bagi, tetapi pencipta manusia itu sendiri iaitu Allah subhanahu wa ta’ala.

    Tidak ada lagi kedudukan yang lebih tinggi daripada Allah Yang Maha Tinggi.

    Maka sudah pasti anugerah ini sangat besar dan hebat.

    Apa maksud (مَنَّ)?

    Selain dalam ayat ini, kita akan jumpa perkataan (مَنَّ) di dalam Surah al-Baqarah ayat 57,

    وَأَنزَلْنَا عَلَيْكُمُ ٱلْمَنَّ وَٱلسَّلْوَىٰ

    Dan Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”.

    Apa maksud (مَنَّ) di dalam ayat ini?

    Manisan, kenapa manisan dipanggil (مَنَّ)?

    Sebab ia satu anugerah istimewa oleh Allah kepada Bani Israil.

    Apa yang istimewa?

    Sebab Bani Israil tidak perlu bercucuk tanam atau bekerja untuk dapatkan makanan.

    Bangun sahaja daripada tidur Allah turunkan di depan mata mereka.

    Sebab itulah dipanggil anugerah.

    Tetapi kalau kita bekerja untuk mendapatkan sesuatu (contohnya gaji), tidak dipanggil anugerah.

    Contoh bos kata pada kita, “Nah ini anugerah syarikat saya pada kamu bulan ini”.

    Kita pun jawab, “Biar betul bos ini, aku kerja penat-penat macam nak mati, dia kata anugerah pulak”.

    Sebab apa?

    Sebab anugerah adalah sesuatu yang kita dapat bukan kerana usaha kita.

    Kenapa Allah Guna Perkataan (بَعَثَ)?

    Kemudian pada ayat seterusnya,

    إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا

    Ketika mana dia telah mengutuskan pada mereka (orang beriman) seorang rasul.

    Kenapa Allah guna perkataan (بَعَثَ) dalam proses mengutuskan rasul?

    Sepatutnya Allah guna perkataan (arsala).

    Sebabnya ialah perkataan (بَعَثَ) ini digunakan untuk kebangkitan orang yang mati kepada yang hidup.

    Maksudnya sebelum Nabi diutuskan, sebenarnya manusia mati.

    Mati apa?

    Mati hatinya.

    Jadi dengan diutuskan rasul itu tujuannya ialah untuk menghidupkan hati-hati manusia yang telah mati.

    Sebab itu Nabi kata,

    مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ

    Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dan orang yang tidak berzikir kepada Allah seperti orang yang hidup dan mati.

    [Riwayat al-Bukhari nombor 6407]

    Siapakah orang yang hidup?

    Orang yang mulutnya sentiasa basah dengan zikrullah.

    Sebab itulah Allah gunakan perkataan (بَعَثَ).

    Nikmat Allah Kurniakan Rasul Di Kalangan Bangsa Arab

    hakimdarno - anugerah Allah untuk orang beriman 3

    Ayat yang seterusnya lagi,

    مِّنْ أَنفُسِهِمْ

    Dari kalangan kaum atau golongan mereka.

    Kenapa Allah beritahu bahawa rasul itu diutuskan dari kalangan kaum mereka sendiri?

    Sebab istimewa.

    Maksudnya kalau Nabi diutuskan bukan daripada kaum Quraish (katalah orang Jepun), apa yang akan terjadi pada orang Mekah?

    Mestilah mereka tolak.

    Bila mereka tolak, ini adalah satu musibah besar.

    Jadi Allah tidak mahu beri musibah kepada orang Mekah, iaitu mereka tolak Nabi disebabkan bukan daripada kalangan mereka.

    Ini pun satu nikmat yang perlu diberikan perhatian.

    Bayangkan negara kita Malaysia dipimpin oleh orang Jepun, kita boleh terima atau tidak?

    Mestilah tidak boleh, sebab orang Melayu kan ada.

    Bagilah orang Melayu yang pimpin.

    Kesimpulan

    Okey, kita kembali pada perbincangan utama kita iaitu tentang anugerah Allah.

    Kenapa dalam ayat ini Allah sebut rasul itu adalah anugerah kepada (ٱلْمُؤْمِنِينَ) – orang beriman sahaja?

    Dan bukan (لِّلْعَٰلَمِينَ) – sekalian alam.

    Sebabnya ialah hanya orang beriman sahaja yang akan menganggap bahawa rasul itu merupakan satu anugerah yang Allah kurniakan pada kita.

    Contohnya kalau ada orang bagi anugerah pada kita, apa yang kita rasa?

    Mestilah kita rasa gembira.

    Mana ada orang yang tak gembira apabila menerima anugerah?

    Jadi, sepatutnya kita berasa sangat gembira dengan rasul yang diutuskan sebab ini adalah anugerah khas untuk kita.

    Contohnya bila dengar hadis Nabi, kita rasa seronok.

    Kita akan pastikan setiap amalan kita berpandukan Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam.

    Lihat bagaimana ada seorang sahabat Nabi yang beli seekor unta dan pergi musafir selama satu bulan hanya semata-mata untuk hadis Nabi.

    Kenapa?

    Kerana sahabat benar-benar merasai bahawa Nabi itu adalah anugerah.

    Anologinya begini, kalau ada orang yang tunjukkan jalan kepada kita, kita terima kasih atau tidak pada orang itu?

    Terima kasih.

    Kita terima kasih atau tidak pada aplikasi Waze yang telah menunjukkan jalan kepada kita hampir setiap hari?

    Terima kasih.

    Bayangkan kalau aplikasi Waze yang tunjukkan jalan kepada kita di dunia ini pun dah rasa seronok, bagaimana kita tidak rasa gembira dengan rasul yang telah menunjukkan jalan kepada kita ke syurga yang kekal abadi?

    Dengan aplikasi Waze kita seronok, tapi dengan Nabi tidak seronok?

    Pelik sungguh kita ini.

    Bangun, berilah peringatan!

    Leave a Comment