Apa beza antara puji dan bodek?
Setiap jam 8.00 pagi, ada seorang lelaki yang segak akan masuk ke dalam pejabat.
Dan setiap kali itulah dia akan disapa oleh pekerjanya.
“Selamat pagi bos! Hari ini bos nampak segak betul. Bertuah isteri bos dapat seorang suami yang hensem, segak, kaya, baik pula itu.”
Tetapi di dalam hatinya hanya Allah sahaja yang tahu betapa marah dan benci dia pada bosnya itu.
Tetapi disebabkan dia mahu naik pangkat dan gaji, dia menebalkan muka memuji bosnya setiap pagi dengan ayat-ayat yang manis dan puitis.
Saya cuba bawakan contoh di atas untuk kita sama-sama berfikir tentang perbezaan antara puji dan bodek.
Kalau kita rujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bodek merujuk kepada memuji seseorang dengan tujuan mendapatkan sesuatu daripadanya.
Puji kerana ada kepentingan, kalau tidak ada kepentingan kita tidak puji.
Maksudnya ialah kita puji tanpa ada perasaan suka dan sayang.
Perkataan puji pula bermaksud menyatakan penghargaan kepada sesuatu yang baik.
- Jemput baca: Syaitan Akan Ganggu Orang Yang Nak Baca Al-Quran
Contohnya puji emak kita yang telah banyak berkorban untuk membesarkan dan mendidik kita.
Puji yang macam ini lahir daripada perasaan suka dan sayang.
Sekali lagi saya ulang, puji tetapi tidak suka pada orang itu dipanggil bodek ataupun mengampu.
Ketika solat, Allah memerintahkan kepada kita untuk memujinya iaitu apabila kita membaca Surah al-Fatihah,
ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
[Surah al-Fatihah 1: 2]
Kenapa kena puji Allah?
Sebab Dia Maha Sempurna – ilmu-Nya, keampunan-Nya dan sayang-Nya.
Maka dengan segala kelemahan yang kita ada, atas ihsan Allah kita mampu menjalani kehidupan dengan baik.
Atas sebab itulah kita memuji Allah subahanahu wa ta’ala dengan rasa kasih sayang terhadap kebesaran-Nya.
Barulah dinamakan pujian dan mendapat pahala.
Sekarang, kita nak pergi lebih jauh sedikit tentang isu ini.
Ada seorang penyanyi yang telah berjaya menghasilkan album yang ke-1000.
Setiap kali berjaya menghasilkan album, setiap kali itulah albumnya meletup dan laris sekali.
Ini ditambah lagi dengan rupa parasnya yang cantik, jelita dan penampilannya yang begitu menjolok mata.
Maka setiap kali ditemu ramah artis ini pun kata, “Alhamdulillah, album saya laku keras!”
Persoalannya ialah ucapan alhamdulillah yang disebutnya itu satu pujian atau tidak?
Tidak.
Kenapa tidak?
Sebab bukan kerana Allah.
Kenapa bukan kerana Allah?
Sebab bila kita melanggar perintah Allah, kita sayang atau tidak kepada Allah?
Tidak.
Bila tidak sayang, itu bukan pujian.
Sebab syarat pujian, mesti ada rasa sayang seperti yang kita bincangkan pada awal-awal tadi.
Dan tanda kita sayang ialah ikut semua perintah Allah subhanahu wa ta’ala.
Mana mungkin kita sayang seseorang dalam masa yang sama kita menentangnya?
Jadi pujian itu tidak bermakna.
Contoh lain ketika main badminton (sukan kegemaran saya ini).
Saya perhatikan, masih ada lagi di kalangan kita yang bertaruh ketika bermain badminton.
Maksudnya siapa yang kalah, dia akan bayar duit minuman 100 plus dua tin.
Orang yang menang pun minum air 100 plus tersebut dan mengucapkan, “Alhamdulillah rezeki malam ini.”
Begitu juga dengan orang yang mengambil rasuah, dia boleh mengucapkan, “Alhamdulillah rezeki.”
Orang yang berniaga tetapi menipu seperti menjual makanan yang sudah basi, barang yang sudah rosak dan sebagainya bila dapat untung, mereka mengucapkan, “Alhamdulillah.”
Jadi, ini adalah contoh kemungkaran yang kita lakukan tanpa sedar ataupun sebenarnya kita sudah sedar, tetapi kita masih tetap melakukannya.
Apa yang boleh kita simpulkan di sini ialah bukan semua ucapan kita akan mendapat pahala, walaupun kita sentiasa menyebut alhamdulillah berulang kali.
Kita kena sedar dan hayati apa yang kita cakap atau lafazkan.
Bila kita memuji Allah, kena datangkan rasa sayang dan cinta pada Allah.
Bagaimana caranya?
Jangan langgar perintah Allah.
Bila langgar saja, terus bertaubat.
Bangun, berilah peringatan!