fbpx

Amal Baik Siapa Yang Berat?

Alhamdulillah terima kasih kepada semua yang sudi hadir pada malam ini.

Sebelum kita memulakan agenda mesyuarat kita, saya ingin memberikan sepatah dua kata sebagai peringatan kepada diri saya dan juga tuan puan semua.

Saya nak kongsikan sedikit inti pati surah yang telah dibacakan oleh imam kita sebentar tadi iaitu Surah al-Qaari’ah.

Surah ini ada menyentuh tentang amal baik yang terbahagi kepada dua.

Yang pertama, berat timbangannya.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

فَأَمَّا مَن ثَقُلَتْ مَوَٰزِينُهُۥ

Setelah berlaku demikian, maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing); adapun orang yang berat timbangan amal baiknya.

فَهُوَ فِى عِيشَةٍ رَّاضِيَةٍ

Maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang.

[Surah al-Qaari’ah 101: 6-7]

Manusia yang berat amal baiknya akan ditempatkan di tempat yang diredai iaitu tidak ada penat, tidak ada tekanan, tidak ada kerja dan semuanya selesa.

Amal Baik Yang Diterima Oleh Allah

Siapakah manusia yang berat amal baiknya?

Iaitu setiap orang yang melakukan sesuatu perbuatan yang memenuhi dua syarat ini;

hakimdarno - siapakah manusia yang berat amal baiknya 1

Pertama, ikhlas.

Kedua, mengikut petunjuk Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam.

Yang kedua, ringan timbangannya.

Manusia yang ringan amal baiknya pula akan ditempatkan di Haawiyah.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

وَأَمَّا مَنْ خَفَّتْ مَوَٰزِينُهُۥ

Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya.

فَأُمُّهُۥ هَاوِيَةٌ

Maka tempat kembalinya ialah “Haawiyah”.

[Surah al-Qaari’ah 101: 8-9]

Cuba kita perhatikan bahasa yang digunakan oleh Allah subhanahu wa ta’ala.

Allah tidak menyebut siapa yang berat amal jahatnya, tetapi Allah guna perkataan siapa yang ringan amal baiknya (خَفَّتْ).

Mengapa Allah tidak sebut amal jahat terus?

Sebab, amal jahat tidak ada nilai langsung di sisi Allah subhanahu wa ta’ala.

Allah hanya menimbang amal baik sahaja.

Secara tidak langsung, ayat ini mengajar kita bahawa tidak semua amalan diterima oleh Allah subhanahu wa ta’ala.

Jemput baca:

Jika kita solat tetapi riyak, solat kita akan menjadi debu.

Jika zikir tetapi riyak, akan menjadi debu.

Baca al-Quran mengikut musim dan bukan kerana Allah, maka akan menjadi debu juga.

Maksudnya, jika amalan kita tidak menepati dua syarat yang kita telah sebutkan tadi, maka amalan kita akan menjadi debu sebagaimana firman Allah subahanahu wa ta’ala,

وَقَدِمْنَآ إِلَىٰ مَا عَمِلُوا۟ مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَٰهُ هَبَآءً مَّنثُورًا

Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.

[Surah al-Furqaan 25: 23]

Siapakah manusia yang tergolong dalam amal baik yang ringan ini?

Pertama, orang kafir dan kedua ialah orang Islam yang banyak dosa.

Namun, ada satu lagi golongan yang mana amal baik dan amal jahatnya sama.

Golongan yang macam ini akan duduk di tengah-tengah antara Syurga dan Neraka (al-A’raaf).

Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

وَبَيْنَهُمَا حِجَابٌ ۚ وَعَلَى ٱلْأَعْرَافِ رِجَالٌ يَعْرِفُونَ كُلًّۢا بِسِيمَىٰهُمْ ۚ وَنَادَوْا۟ أَصْحَٰبَ ٱلْجَنَّةِ أَن سَلَٰمٌ عَلَيْكُمْ ۚ لَمْ يَدْخُلُوهَا وَهُمْ يَطْمَعُونَ

Dan di antara keduanya (Syurga dan neraka) ada tembok “Al-A’raaf “ (yang menjadi) pendinding, dan di atas tembok Al-A’raaf itu ada sebilangan orang-orang lelaki yang mengenal tiap-tiap seorang (dari ahli-ahli Syurga dan neraka) itu, dengan tanda masing-masing. Dan mereka pun menyeru ahli Syurga (dengan memberi salam, katanya): “Salaamun Alaikum” (salam sejahtera kepada kamu). Sedang mereka, sendiri belum lagi masuk Syurga, padahal mereka ingin sangat memasukinya.

وَإِذَا صُرِفَتْ أَبْصَٰرُهُمْ تِلْقَآءَ أَصْحَٰبِ ٱلنَّارِ قَالُوا۟ رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا مَعَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّٰلِمِينَ

Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah ahli neraka, mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang-orang yang zalim”.

[Surah al-A’raaf 7: 46-47]

Sebab itu Nabi kata, ada satu amalan yang ringan di lidah dan Allah sangat suka, tetapi sangat berat timbangannya iaitu ‘Subhanallahi wa bi hamdih, subhanallahil ‘azhiim’.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu anh katanya Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam bersabda:

“Dua kalimat yang ringan di lidah (mengucapkannya) tetapi berat timbangan (pahala)nya, dan keduanya disukai Allah SWT ialah: Subhanallahi wa bi hamdih, subhaanallaahil ‘azhiim.(Maha Suci Allah dan Maha Terpuji Dia, Maha Suci Allah Yang Maha Agung).”

[Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2316]

Kadang kadang amal baik dan amal jahat kita sama banyak, tetapi disebabkan kita selalu menyebutnya, amal baik kita menjadi berat.

Tidak perlu susah susah bangun tengah malam, solat duha atau solat witir.

Hanya biasakan mulut kita dengan zikir tadi.

Mudah kan?

Namun, masih ramai yang tidak mengamalkannya kerana zikir ini tidak keluar spontan begitu sahaja.

Tidak seperti melatah.

Melatah keluar sahaja walaupun kita tidak belajar perkataan itu.

hakimdarno - siapakah manusia yang berat amal baiknya 2

Tetapi, zikir ini mesti datang daripada hati.

Kalau hati kita bersih kita akan selalu ingat kepada Allah dan mudah sahaja nak keluar daripada mulut kita.

Satu hari mungkin 10 atau pun 100, tetapi kalau hati kita ada masalah, 3 hari pun tidak keluar keluar perkataan itu.

Alangkah ruginya kita …

Okey jadi saya ingatkan kepada diri saya dan juga tuan puan semua.

Mari kita amalkan zikir ini walau di mana mana kita berada.

Sebagai penutup, pada akhir surah ini, Allah nak gambarkan betapa Haawiyah ini satu tempat yang sangat besar dan menakutkan, Allah pun bertanya soalan, tahukah kamu apa dia Haawiyah?

Iaitu api yang menyala.

Secara logiknya, ada tak api yang tak menyala?

Tidak ada!

Semua orang maklum bahawa kalau sebut api mesti menyala, kalau tidak menyala kita tidak panggil api.

Tetapi kenapa Allah tetap sebut api yang menyala?

Ya … inilah tanda Allah sayang kepada kita.

Allah sebutkan perkataan yang betul betul menakutkan supaya kita semua elakkan.

Allah memang tidak mahu manusia masuk ke dalam neraka.

Sekarang pun kita boleh bayangkan, kita tidak duduk dalam api pun, tepi api sahaja pun sudah tidak tahan.

Atau pun tidak perlu api, duduk sahaja di bawah terik matahari 10 minit ke 20 minit, pun tidak ada siapa yang tahan.

Jadi, macam mana kita boleh tahan duduk dalam api yang panasnya 70 kali ganda daripada api dunia?

Okey baiklah.

Saya rasa cukup sekadar itu perkongsian saya pada malam ini.

Mudah mudahan kita dapat muhasabah kembali diri kita dan jangan banyak membuang masa, kerana masa kita tidak banyak.

Kematian menunggu kita pada bila-bila masa.

Wallahua’lam.

Jom kita terus pergi kepada agenda mesyuarat kita yang pertama.

Baiklah (jawab ahli mesyuarat).

Leave a Comment