Buku al-Quran Yang Belum Kita Baca merupakan karangan Ustaz Luqman Makhtar.
Beliau merupakan penulis sepenuh masa kelahiran Bachok, Kelantan.
Mantan editor Majalah Solusi dan Majalah al-Ustaz di Telaga Biru Sdn Bhd.
Kenapa ustaz menulis buku ini?
Wafatnya Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam
Kata ustaz, beliau menulis buku ini kerana peristiwa wafatnya Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam.
Bila Rasulullah wafat, Sayidina Abu Bakar naik ke mimbar untuk berucap.
Kata beliau (Abu Bakar):
“Hadirin sekalian, sesiapa yang menyembah Muhammad, Muhammad telah mati. Sesiapa yang menyembah Allah, Allah Maha Hidup tidak mati. Allah berfirman,
وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ ٱلرُّسُلُ ۚ أَفَإِي۟ن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ ٱنقَلَبْتُمْ عَلَىٰٓ أَعْقَٰبِكُمْ
Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)?”
[Surah ali-‘Imran 3: 144]
Ibn Abbas yang menyampaikan kisah ini berkata,
“Sungguh! Seolah-olahnya orang ramai tidak tahu bahawa Allah telah turunkan ayat ini sehinggalah Abu Bakar membacakannya pada ketika itu.”
Sayidina Umar pun sampai berkata,
“Sungguh, aku pun hanya sedar setelah mendengar Abu Bakar membacanya!”
Begitulah kata ustaz.
Kita mungkin khatam al-Quran setiap tahun, atau hafal sepenuhnya.
Bagaimanapun ada ketika dan peristiwa yang membuatkan kita baru sedar dan memberikan perhatian kepada satu-satu ayat yang tertentu.
“Eh, ada ayat begini dalam al-Quran ya!”
“Oh, ayat ini!”
Ulasan Saya Tentang Buku Al-Quran Yang Belum Kita Baca
Bila saya mahu ulas buku ini, saya teringat kata Brian Tracy di dalam buku Eat That Frog,
“Saya masih berasa kagum, betapa mudah dan ringkasnya proses untuk berjaya. Tiru sahaja apa yang tokoh-tokoh hebat sudah lakukan dan ulang perkara yang sama sehingga berjaya. Belajar daripada pakar.”
Maksudnya kalau kita mahu berjaya sepertimana umat Islam dahulu berjaya, kita kena tiru apa yang mereka lakukan.
Apa yang mereka lakukan?
Bersungguh-sungguh Membaca al-Quran
Mereka bersungguh-sungguh membaca al-Quran.
Dalam buku Al-Quran Yang Belum Kita Baca karangan Ustaz Luqman Mukhtar mengandungi lebih kurang 60 kisah bagaimana mereka mengamalkan al-Quran di dalam kehidupan.
Apa yang saya perasan ialah kebanyakan kisah yang dihidangkan menunjukkan mereka mengulang-ulang ayat yang memberi kesan dalam diri mereka.
Kata penulis, begitulah jika kita sudah mula membaca al-Quran dengan tadabbur, pasti kita bertemu dengan ayat yang terkesan di hati.
Sebaik bertemu dengannya seelok-eloknya kita ulang, ulang dan ulang sehingga ayat itu benar-benar membekas di hati.
Dan akhirnya tanpa sedar, kita telah pun menghafaz satu ayat baharu.
Beginilah antara cara untuk menjiwai al-Quran.
Bila terbaca kisah-kisah ini, baru saya perasan memang ada surah atau ayat yang memang kita suka ulang-ulang baca.
Baca Surah at-Takaathur
Contohnya ketika saya disibukkan dengan urusan kerja sehingga terlewat solat, tidak sempat zikir dan melakukan ibadah-ibadah yang lain, saya sering mengulang-ulang baca Surah at-Takaathur.
Saya bermonolog,
“Eh Kim, sibuk sangat kau sekarang? Sampai tak sempat baca zikir pagi petang. Apa yang kau kejar? Kau nak kejar dunia sampai kau masuk kubur baru nak sedar? Masuk kubur, baru nak menyesal? Bangun kim, bangun!”
Baca Surah at-Tiin
Ketika saya merasa rendah diri dengan kelebihan orang lain, saya akan mengulang-ulang baca ayat 4 Surah at-Tiin, maksudnya:
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).”
Maksudnya setiap orang ada kelebihan.
Ada kelebihan yang telah Allah anugerahkan pada saya.
Maka saya kena cari dan manfaatkan sebaiknya.
Baca Surah al-Fatihah
Ketika saya bingung disebabkan terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan, saya akan mengulang-ulang baca ayat 6 Surah al-Fatihah, maksudnya:
“Tunjukilah kami jalan yang lurus.”
Saya baca supaya Allah tunjukkan mana satu kerja yang perlu saya selesaikan terlebih dahulu.
Ya, kita mungkin tidak sempat melihat masyarakat kita berjaya maju dengan mengamalkan al-Quran.
Tapi sekurang-kurangnya kita sedang bergerak ke arah itu.
Kita meniru umat terdahulu!
Rindu Ayah
Ada satu ayat yang sangat memberi kesan kepada saya, betul-betul bertepatan dengan tema buku ini,
Iaitu ayat 52 Surah at-Tuur, maksudnya:
“Dan orang beriman yang zuriat keturunan mereka turut menyusul mereka dengan iman, pasti Kami satukan mereka dengan zuriat keturuan mereka. Kami sekali-kali tidak mengurangi sedikitpun pahala amal-amal mereka. Setiap seorang nasibnya bergantung kepada apa yang dia usahakan.”
Sebelum ini, saya perasan pernah terbaca ayat ini.
Maksudnya ketika ayah masih hidup, saya tidak rasa apa-apa.
Tapi bila saya baca semalam (ketika ayah sudah berada di alam lain), ayat ini sangat menyentuh hati saya.
Bilalah saya dapat berjumpa dengan ayah lagi.
Kalau dulu, perasaan rindu itu saya ubati dengan pulang ke kampung menjenguk ayah.
Saya cium tangan, peluk, pegang jari jemarinya (geram sebab tembam) dan saya selalu datang ke katilnya kacau ayah tidur.
Ah rindunya saat itu, “Bilalah saya boleh buat begitu dengan ayah lagi.”
Betulah sepertimana yang anak saya (Sofiyyah) kata, “lamanya nak jumpa Atok lagi.”
Semoga Allah mengampuni dan merahmati ayah.
Contoh-contoh saya ini tak best.
Best untuk saya sahaja.
Tapi contoh-contoh dalam buku ini sangat best!
Ada kisah seorang perempuan tua yang tidak bercakap setelah beberapa tahun melainkan ayat al-Quran sahaja kerana ingin menjaga kata-kata.
Fuh, saya nak jadi macam perempuan tua ini!
Tua bukan sebarang tua, tua penuh dengan ilmu di dada.
Tergelak saya baca kisah seorang penuntut ilmu yang membacakan ayat al-Quran sebagai alasannya lewat datang ke kelas!
Namun, gurunya membalas alasan balik dengan menyuruhnya menghabiskan ayat yang dia baca.
Seronok baca catatan ustaz tentang kisah ini:
“Seronoknya jika kita dapat memahami al-Quran dan mengaitkan pula mana-mana ayatnya dengan kehidupan. Namun, jangan sekali-kali menjadikannya sebagai alasan di sebalik kesalahan kita.”
Saya rasa cukuplah setakat ini.
Serius, memang best buku ini!
Tahniah ustaz kerana berjaya menulis buku yang mampu menjentik hati-hati yang jauh dengan al-Quran.
Semoga ustaz berjaya menulis buku-buku yang diidam-idamkan sebab tak sabar saya nak baca lagi buku tulisan ustaz.
Selamat membaca!