fbpx

Al-Quran Diturunkan Untuk Beri Peringatan

Al-Quran diturunkan sebagai pelita dalam kegelapan, menjadi peringatan bagi kita semua.

Dalam setiap kata dan ayatnya terkandung hikmah yang tidak terhingga, seakan-akan merangkul dunia dan akhirat dalam satu jalinan makna.

Setiap hari kita berhadapan dengan pelbagai cubaan dan rintangan, tapi janganlah lupa bahawa petunjuk telah diturunkan dalam bentuk al-Quran.

Marilah kita selalu membuka hati dan fikiran untuk menerima peringatan-peringatan tersebut, mempelajarinya dan mengambil hikmah yang tersirat.

Ingatlah, al-Quran bukanlah sekadar buku, melainkan ia adalah kompas hidup yang selalu memberi arah ketika kebingungan, penawar dalam kesedihan, dan penyejuk dalam kegelisahan.

Berpeganglah kepada al-Quran, maka ia akan membawa kita kepada kebenaran dan kebaikan.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

أَمْ يَقُولُونَ ٱفْتَرَىٰهُ ۚ بَلْ هُوَ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكَ لِتُنذِرَ قَوْمًا مَّآ أَتَىٰهُم مِّن نَّذِيرٍ مِّن قَبْلِكَ لَعَلَّهُمْ يَهْتَدُونَ

(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian) bahkan mereka mengatakan: “Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya”. (Dakwaan mereka itu tidaklah benar) bahkan Al-Quran ialah perkara yang benar dari Tuhanmu (wahai Muhammad), supaya engkau memberi ingatan dan amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang pemberi ingatan dan amaran sebelummu, semoga mereka beroleh hidayah petunjuk.

[Surah as-Sajdah 32: 3]

(أَمْ) – adakah.

(يَقُولُونَ)  – mereka berkata.

(ٱفْتَرَىٰهُ) – dia mereka-reka ataupun berdusta.

Dalam ayat ini, orang musyrikin kata bahawa Nabi Muhammad yang mereka-reka atau mendustakan al-Quran.

Apa maksud mendustakan?

Maksudnya mereka nak kata yang Muhammad ini penipu.

Tapi masalahnya, kan mereka dah tahu yang Nabi ini tidak pandai membaca dan menulis?

Habis, kenapa mereka tuduh juga?

hakimdarno - alQuran diturunkan untuk beri peringatan 2

Analoginya seperti kita tuduh orang yang kudung tangan dan kaki mencuri.

Agak-agak logik atau tidak?

Kamu mencuri ya?

Curi apa bang?

Curi motorsikal Yamaha Y Suku itu?

Eh, macam mana saya nak curi, kaki pun saya tak ada?

Ah, memang kamu yang curi.

Kan?

Agak-agak siapa yang gila di sini?

Mestilah orang yang menuduh itu.

Jadi orang musyrikin tahu bahawa Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam tidak boleh membaca dan menulis.

Bagaimana mereka boleh tuduh baginda buat cerita-cerita yang hebat, yang belum pernah berlaku dan yang akan berlaku dan banyak ilmu-ilmu ghaib yang lain?

Bagaimana Nabi boleh dapat maklumat itu semua?

Baca kitab-kitab terdahulu.

Baginda tahu baca pun tidak, bagaimana mahu baca kitab-kitab yang terdahulu?

Jadi ini satu tuduhan yang tidak masuk akal, tetapi mereka tuduh juga.

Jadi Allah bela Nabi.

Allah kata, (بَلْ) – bahkan.

(هُوَ) – ia (merujuk kepada al-Quran).

(ٱلْحَقُّ) – adalah benar.

Apa makna ٱلْحَقُّ ?

Kata Ustaz Abd Muein, (ٱلْحَقُّ) ialah (الَشَّىءُالثَّبِت) – sesuatu yang tetap.

Maksudnya hukum yang ada di dalam al-Quran tidak akan berubah selama-lamanya, sesuai untuk sepanjang zaman dan untuk semua umat manusia.

Beza (مِن رَّبِّكَ) Dengan (مِن رَّبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ)

Kemudian (مِن رَّبِّكَ) – dari Tuhan engkau.

Dalam ayat tiga ini, Allah guna (مِن رَّبِّكَ) – dari Tuhan engkau.

Tapi kalau kita tengok ayat dua, Allah guna (مِن رَّبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ) – dari Tuhan sekalian alam.

Kenapa?

Padahal nak beritahu tentang perkara yang sama (daripada Allah).

Jawapannya tengok konteks ayat.

Ayat tiga ini cerita tentang orang musyrikin dakwa bahawa al-Quran itu datang daripada Muhammad.

Jadi bila cerita tentang Muhammad, Allah pun beritahu bahawa al-Quran ini bukan datang dari Muhammad, tetapi daripada Tuhan Muhammad.

Kalau ayat dua pula, Allah guna (مِن رَّبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ) sebab nak beritahu secara umum.

Tujuan Al-Quran Diturunkan Untuk Beri Peringatan

Ayat seterusnya Allah beritahu pula tentang tujuan al-Quran diturunkan.

Allah kata (لِتُنذِرَ قَوْمًا) – untuk engkau beri peringatan kepada kaum.

Bila Allah beritahu bahawa tujuan al-Quran diturunkan adalah untuk “engkau beri peringatan”, apa pengajarannya?

Pengajarannya ialah al-Quran adalah pemberi peringatan.

Tetapi sekarang dalam masyarakat kita menganggap bahawa al-Quran itu sebagai pemberi pahala.

Bila nak pahala banyak, kita akan baca al-Quran.

Jadi berdasarkan ayat ini, pahala bukan tujuan al-Quran diturunkan.

Tujuan al-Quran diturunkan supaya kita beri peringatan dan kalau kita nak bagi peringatan, apa syaratnya?

Kita sendiri kena faham.

Bagaimana kita nak cerita tentang ayat al-Quran, kalau diri kita sendiri tidak faham?

Dan kalau tujuan al-Quran diturunkan untuk beri peringatan, wajib atau tidak kita beri peringatan?

Wajib.

Kalau wajib beri peringatan, wajib atau tidak kita faham?

Wajib.

Habis, tidak boleh ke baca al-Quran untuk dapat pahala?

Boleh, tidak ada masalah.

Cuma pahala sekadar motivasi ataupun pendorong sahaja.

Contohnya cikgu kata pada kita, “Kalau kamu datang sekolah setiap hari, cikgu bagi hadiah”.

Kita pun setiap hari datang ke sekolah, tapi kita tidak belajar.

Kenapa?

Sebab datang sekolah setiap hari dapat hadiah.

Sebenarnya, tujuan pergi sekolah bukan untuk dapat hadiah ataupun lulus peperiksaan, tapi untuk kita belajar, dapat ilmu dan kita menjadi manusia yang berguna.

Begitulah juga kalau kita baca al-Quran untuk dapat pahala, tidak sampai tujuan al-Quran diturunkan.

Sebab al-Quran diturunkan untuk (تُنذِرَ) – beri peringatan.

Subhanallah!

Cukup jelas Allah beritahu tujuan al-Quran diturunkan dalam ayat ini.

Sebab itulah bila turun sahaja ayat al-Quran kepada Nabi, Nabi terus ingatkan pada para sahabat, para sahabat pula bila dapat ayat al-Quran daripada Nabi, terus ingatkan para sahabat yang lain.

Maka Islam pun berkembang dan al-Quran sampai kepada semua orang.

hakimdarno - alQuran diturunkan untuk beri peringatan 3

Boleh?

Okey jom kita teruskan.

Tujuan al-Quran diturukan adalah untuk beri peringatan kepada kaum.

Kaum yang mana?

(مَّآ أَتَىٰهُم مِّن نَّذِيرٍ مِّن قَبْلِكَ) – kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang pemberi ingatan dan amaran sebelummu.

Iaitu orang musyrikin Makkah.

Betul ke sebelum Nabi Muhammad tidak ada Rasul?

Betul.

Sejak bila tidak ada Rasul?

Sejak Nabi Isa.

Berapa jarak antara Nabi Isa alaihissalam dengan Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam?

600 ratus tahun.

Jadi maksudnya dalam tempoh 600 tahun ini, orang Makkah tidak ada Rasul.

Jadi lama atau tidak orang musyrikin Makkah tidak ada Rasul?

Lama.

Okey soalan seterusnya, kenapa Allah sebut tujuan al-Quran diturunkan adalah untuk beri peringatan kepada kaum “yang sudah lama tidak diberi peringatan”.

Kan cukup kalau Allah kata tujuan al-Quran diturunkan untuk beri peringatan kepada kaum sahaja.

Tujuannya adalah untuk beritahu kepada manusia bahawa mereka sangat-sangat berhajat kepada seorang Rasul.

Sebab itulah Allah hantar.

Jadi pengajaran untuk kita ialah bila ada orang yang sudah lama tidak dengar al-Quran ataupun tazkirah, pergilah sekali sekala datang kepada mereka.

Untuk apa?

Untuk beri peringatan kepada mereka.

Sebab bila sudah lama tidak dengar peringatan, mereka akan semakin jauh daripada agama.

Di luar sana, ramai atau tidak orang yang tidak pernah dengar tazkirah dan pergi kelas agama?

Ramai, jadi masih banyak lagi tugas yang perlu kita selesaikan.

Akhir sekali di hujung ayat Allah kata apa?

(لَعَلَّهُمْ يَهْتَدُونَ) – moga-moga mereka mendapat hidayat.

Subhanallah!

Apa pengajarannya?

Pengajarannya ialah kalau kita nak dapat hidayat, silibusnya adalah al-Quran.

Bila dah baca al-Quran, kena faham.

Bila dah faham, kena amalkan dan sampaikan kepada orang lain.

Barulah ada harapan untuk mendapat hidayah.

Kalau tidak ada al-Quran, tidak mungkin kita akan mendapat hidayah.

Tidak mungkin sama sekali.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment