fbpx

Aku Tidak Cinta Dia (al-Quran)

Aku dilahirkan di dalam keluarga yang sangat dekat dengan agama.

Ayahku seorang mudir di sekolah tahfiz.

Manakala emakku pula seorang guru Pendidikan Islam di sebuah sekolah menengah.

Sejak umur aku 5 tahun lagi, aku dah pandai baca al-Quran sebab ayah dan emakku begitu tekad untuk aku cepat pandai baca al-Quran.

Tapi entah mengapa, aku tidak pernah rasa nikmat bila bersama al-Quran.

Kalau emak ayah aku tidak suruh, pasti aku tidak akan baca al-Quran.

Walaupun umurku sudah dewasa, aku masih gagal beramah mesra dengan al-Quran.

Aku pun tidak tahu kenapa?

Aku kesian dengan emak dan ayahku yang tidak jemu mendidikku.

Tapi bagaimana dengan perasaanku?

Persoalan ini buat aku pening.

Lama-kelamaan, “Ah, lantaklah. Penat aku fikir tak jadi apa. Selagi aku boleh cari makan dan selagi aku boleh meneruskan kehidupan, aku biarkan persoalan ini tanpa jawapan”.

Ini bukan cerita saya.

Tetapi ada kaitan dengan diri saya dan juga kita semua.

Saya rasa semua orang rasa sepertimana yang saya rasa seperti cerita di atas.

Kalau tidak pernah rasa, anda memang seorang yang hebat!

Semoga Allah berikan kekuatan kepada anda untuk istiqamah bercinta dengan al-Quran.

Sebagai seorang dewasa, jom kita muhasabah diri.

Al-Quran adalah kitab suci agama kita.

Di dalamnya ada bekalan seperti petunjuk, hukum dan panduan untuk kita menjalani kehidupan dunia dan akhirat.

Namun, ramai di antara kita yang masih tidak cinta al-Quran ataupun tidak tertarik untuk mengadakan hubungan yang erat dengan al-Quran.

Kenapa ini berlaku?

Dr. Zaharuddin Abd Rahman ada memetik kata-kata Imam al-Zarkashi (w. 794) dalam al-Burhan fi ‘Ulumul Quran;

من لم يكن له علم وفهم، وتدبّر، لم يدرك من لذة القرآن شيئًا

“Sesiapa yang tidak memiliki ilmu, kefahaman, takwa dan tadabbur (al-Quran), dia tidak akan mendapati keseronokan pada al-Quran sedikit pun”.

Ternyata, inilah penyakit yang kita semua hadapi sehingga kita tidak ada ‘perasaan’ terhadap al-Quran.

Sebelum saya kongsikan bagaimana kita boleh keluar daripada kepompong ini, mari kita lihat dahulu antara sebab-sebab yang menyebabkan kita tidak jatuh cinta pada al-Quran.

hakimdarno - aku tidak cinta dia 2

3 Punca Kita Jauh Daripada al-Quran

1. Tidak Faham.

Salah satu sebab mengapa kita tidak jatuh cinta pada al-Quran adalah tidak faham.

Maklumlah al-Quran kan diturunkan dalam bahasa Arab klasik.

Kalau bahasa Arab pasar pun kita tidak biasa, inikan pula yang klasik.

Jadi kita perlukan bukan sedikit, tetapi banyak komitmen untuk mempelajari bahasa Arab, tafsir, sirah dan yang seumpama dengannya.

Apatah lagi gaya bahasa al-Quran yang unik.

Ada masa al-Quran menggunakan metafora, kiasan, simbolik, sumpah dan sebagainya.

Semua ini memerlukan kita memahami dengan lebih mendalam dan penuh berhati-hati supaya kita tidak tersilap.

Jadi kalau kita memang tidak ada sebarang ilmu asas (ulum al-Quran), memang patutlah kita rasa susah nak jatuh cinta dengan al-Quran.

2. Aduh, Nak Kena Amal Pula.

Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca ataupun difahami, tetapi perlu juga diamalkan secara istiqamah sepanjang hidup kita.

Ini menyebabkan kita merasa ‘berat’.

Contohnya kita kata, “Tak naklah faham al-Quran. Bila dah faham, kena amalkan. Kalau tak, berdosa!”

Bayangkan ya, kalau kita faham agama Islam secara umum sahaja pun sudah banyak yang perlu kita amalkan, contohnya lima Rukun Islam, tutup aurat dan sebagainya.

Inikan pula bila kita faham al-Quran, lebih banyak yang Allah perintahkan seperti hukum-hakam, ibadah, hubungan sesama manusia, kewangan, berakhlak mulia dan segala keperluan untuk menjalani kehidupan.

Jadi kalau kita tidak siap sedia dari segi mental dan fizikal, memang kita akan mudah berputus asa.

3. Persekitaran.

Mungkin ada di antara kita yang memang lahir daripada keluarga yang jauh dengan al-Quran.

Contohnya kita lahir dalam keluarga yang memang tidak mengamalkan ajaran al-Quran, memandang remeh hukum hakam agama, terpengaruh dengan budaya luar, mengejar dunia, hiburan dan sebagainya.

Kalau kita yang terdedah dengan al-Quran semenjak kecil pun boleh rasa bosan dengan al-Quran, inikan pula yang memang tidak pernah didedahkan dengan al-Quran, lagilah tidak tertarik dengan al-Quran.

Tapi nak ceritanya hidayah milik Allah subhanahu wa ta’ala.

Kita boleh berusaha untuk mendapatkannya.

Jadi itulah tiga cabaran yang saya boleh kongsikan buat masa ini.

Sekarang, mari kita lihat pula cara untuk mengatasinya.

hakimdarno - aku tidak cinta dia 3

Cara Jatuh Cinta Pada al-Quran

1. Masuk kelas.

Antara yang boleh kita lakukan ialah mulakan dengan belajar dan faham al-Quran.

Libatkan diri kita dengan mana-mana subjek yang membawa kita faham al-Quran.

Mungkin ada yang nak mula dengan belajar tajwid, bahasa Arab, tafsir, tadabbur ataupun sirah.

Silakan, jangan tangguh-tangguh lagi.

Nak belajar kelas fizikal ke kelas online?

Terpulang kepada keselesaan anda.

Yang penting mula!

2. Mengamalkan al-Quran dalam kehidupan seharian.

Mulakan dengan amalan-amalan yang mudah seperti solat, zikir, berakhlak mulia dan apa sahaja yang kita rasa ‘nak’ melakukannya.

Kita amalkan tahap demi tahap.

3. Dapatkan bimbingan daripada guru.

Faham al-Quran adalah satu proses yang panjang.

Kita perlukan bukan seorang, tapi banyak guru untuk membantu kita memahami al-Quran.

Kenapa perlu banyak guru?

Supaya kita dapat memilih mana-mana guru yang mampu ‘menarik’ perhatian kita dengan al-Quran pada permulaan.

Contohnya dahulu saya bermula dengan Datuk Dr. Zahazan, kemudian Ustaz Syaari Ab. Rahman, Ustaz Yusof Arbain, Tuan Fazrul Ismail, Ustaz Abd Muein, Ustaz Dzul Khairi, Ustaz Syahmi Syazeril, Dr. Azrul, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Dr. Danial, Datuk Dr. Abu Anas Madani, Ustaz Abdullah Bukhari, Ustaz Dr. Rosli dan ramai lagi.

Kita jangan membanding-bandingkan mereka, tetapi kita fokus pada ilmunya kerana setiap guru mempunyai kelebihan, kecenderungan dan kepakaran tersendiri.

4. Menjaga pergaulan.

Kita kena pandai memilih kawan.

Carilah kawan-kawan yang sentiasa mengingatkan kita kepada al-Quran.

Kawan-kawan yang sentiasa belajar al-Quran.

Bukan bermakna tidak boleh berkawan langsung dengan orang selain ini, cuma kita kena pandai-pandai jaga diri.

5. Mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wa ta’ala.

Berdoalah kepada Allah supaya kita jatuh cinta dengan al-Quran.

Hanya Allah sahaja yang mampu membuka hati kita yang telah lama terkunci.

Okey, itu sahaja untuk kali ini.

Semoga artikel ini dapat membantu mencetuskan atau meningkatkan rasa cinta kita kepada al-Quran.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment