Ghurur adalah satu penyakit hati.
Ghurur bermaksud seorang yang merasa bangga terhadap diri sendiri sehingga memandang remeh dan rendah segala sesuatu yang dilakukan oleh orang lain.
Al-Quran memberikan amaran supaya kita tidak memiliki sifat ghurur sama ada disebabkan limpahan kekayaan, anak-pinak atau faktor pangkat dan kekuasaan.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
يَٰٓأَيُّهَا ٱلْإِنسَٰنُ مَا غَرَّكَ بِرَبِّكَ ٱلْكَرِيمِ
Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu – (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah?
ٱلَّذِى خَلَقَكَ فَسَوَّىٰكَ فَعَدَلَكَ
Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya;
فِىٓ أَىِّ صُورَةٍ مَّا شَآءَ رَكَّبَكَ
Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Ia menyusun kejadianmu.
Kata Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, ghurur adalah satu fenomena, fakta dan hakikat yang berada di bawah sedikit daripada sifat sombong dan takabbur.
Dan kalau kita tidak tangani dengan betul, ia boleh membawa kita kepada sifat angkuh, takabbur dan sombong.
Ia merupakan satu sifat yang disebutkan dalam satu hadis qudsi yang mana Allah subhanahu wa ta’ala tidak boleh menerima hambaNya yang bersifat khibir ataupun ada kesombongan dalam diri.
Antara ciri-ciri orang yang memiliki sifat ghurur ialah kurang rasa hormat kepada orang lain sama ada yang lebih rendah, lebih muda dan yang lebih tinggi daripadanya.
Dia juga merasa bangga dengan dirinya sendiri, kagum dengan pencapaian diri, cemburu dan hasad dengki dengan orang lain.
Ataupun dia percaya bahawa orang lain cemburu dan hasad dengki dengan dirinya.
Jadi bagaimana kita nak menangani sifat ghurur ini?
Kita tidak mahu tersepit di antara tidak melakukan apa-apa sumbangan ataupun kemajuan pada peringkat diri sendiri ataupun masyarakat, jadi kita memerlukan vaksin bagi menghalang virus ghurur ini menjangkiti diri kita yang bersemangat untuk mencapai kejayaan.
Langkah 1: Mengaku Adanya Masalah
Kata Tan Sri Dr MDB, yang pertama ialah kita kena bersedia dan mampu mengakui adanya masalah kerana solusi ataupun penyelesaian pada masalah adalah dengan mengaku adanya masalah.
The best or the first thing to recognize the problem is or the solution is to recognize masalah yang ada iaitu penyakit yang ada dalam diri kita.
Beliau menceritakan detik-detik beliau bekerja di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan pada masa yang sama perlu mengambil kursus Bahasa Inggeris bagi melanjutkan pelajaran ke United Kingdom.
Tan Sri Dr dan rakan-rakan memang menyedari tentang kelemahan Bahasa Inggeris mereka dan terpaksa melakukan pelbagai cara bagi memasuki kursus Bahasa Inggeris tersebut unuk mendapat skor yang baik untuk melanjutkan pengajian di peringkat PHD.
Namun, ada beberapa rakan mereka yang mempunyai sifat ghurur di dalam dirinya iaitu mereka tidak mahu mengambil kursus Bahasa Inggeris tersebut dan mereka merendah-rendahkan Tan Sri Dr dan rakan-rakannya yang berlatar belakangkan Bahasa Arab kerana terpaksa menghabiskan masa dan wang untuk membuat kursus rujukan di Britsh Council dan sebagainya dengan kos sendiri.
Tan Sri Dr dan rakan-rakannya telah dicemuh, katanya mereka tidak sepatutnya berada di Universiti Islam Antarabangsa kerana Bahasa Inggeris yang kurang baik sehingga terpaksa mengambil kursus Bahasa Inggeris.
Namun Allah Maha Kaya, Allah telah tunjukkan bahawa mereka (yang mencemuh) tadi juga gagal dalam kursus percubaan yang pertama bagi melayakkan mereka untuk pergi ke peringkat PHD.
Tapi mereka melakukan secara senyap tanpa pengetahuan orang lain.
Itulah contoh orang yang mempunyai perasaan kagum dengan diri sendiri dan tidak mengakui tentang kelemahan diri.
Sebenarnya dalam hidup ini, kita perlu pada proses dan proses itu bermula dengan kesediaan kita untuk menerima dan mengakui adanya kelemahan dalam diri kita.
Langkah 2: Melihat Orang Di Sekeliling Sebagai Rakan Sebaya
Yang keduanya kata Tan Sri Dr adalah kita melihat orang-orang di sekeliling kita sebagai rakan sebaya, co-workers, co-passengers, penumpang, pelanggan dan tidak merasa lebih daripada orang lain yang berada di sekitar kita.
Antara kita, tidak ada yang tinggi dan tidak ada yang rendah.
Langkah Ketiga: Jaga Bahasa
Yang ketiga adalah mengawal bahasa yang kita gunakan, perilaku yang kita cakap ataupun lidah yang kita gunakan.
Sebab ada banyak hadis menyebutkan, ramai orang masuk neraka kerana padah yang dibawa dan ditimbulkan oleh lidah yang tidak terjaga.
Jadi kita kena over sensitive dengan bahasa yang kita gunakan.
Guna bahasa yang tidak menunjukkan kita ini adalah orang yang ghurur.
Sebaliknya kita setaraf dengan rakan-rakan yang berada di sekitar kita.
Langkah Keempat: Lihat Respon Orang Di Sekeliling Kita
Kata Tan Sri Dr lagi, yang keempat ini mungkin kita tidak perasan, kita kurang sensitif melihat respon daripada masyarakat, rakan dan juga ekosistem yang berada di sekeliling kita.
Jika kita muhasabah diri – memerhati bahasa badan dan pergerakan mata orang lain, mungkin dalam keadaan tertentu kita telah over ataupun kita telah melebihi sempadan yang sepatutnya dari segi pergaulan, percakapan, komen dan sebagainya.
Dan kalau kita tidak sensitif melihat respon masyarakat, kita akan dibawa oleh ombak ghurur di lautan yang luas, menyebabkan kita susah nak berpatah balik ke tepi pantai ataupun daratan untuk menyedari kelemahan kita.
Langkah Kelima: Membina Perasaan Empati Dan Rasa Hormat
Yang kelima adalah kita kena membina perasaan empati dan juga hormat kepada orang di sekitar kita.
Kita ambil peduli dan prihatin.
Kalau kita tidak mampu untuk membantu, kita mesti ada perasaan bahawa kalaulah saya ada kemampuan, tenaga, masa dan wang, saya akan membantu.
Kalau tidak ada langsung perasaan ambil peduli, keperihatinan dan juga sifat empati, semakin hari, kita akan semakin jauh daripada sifat yang baik dan kita telah dipenjara dan diperangkap oleh perasaan ghurur sehingga tidak timbul langsung perasaan untuk memberikan pertolongan dan bantuan kepada orang lain.
Langkah Keenam: Jauhi Perasaan Hasad & Dengki
Yang keenam adalah jauhi perasaan hasad dan cemburu kepada pencapaian orang lain walaupun perasaan itu hanya sedikit.
Kita rasa orang lain tidak sepatutnya dapat, yang patut dapat adalah diri kita.
Malah kita suka orang lain mendapat habuan, kelebihan ilmu, harta, pangkat dan kedudukan yang lebih rendah daripada kita.
Jadi untuk menangani masalah ini, kita perlu menjauhi perasaan hasad dan dengki.
Kita bukan sahaja tidak boleh mempunyai perasaan hasad dan dengki, tetapi kita juga tidak boleh ada perasaan yang orang lain dengki dengan kita sedangkan mereka tidak dengki pun.
Ini pun satu perasaan yang tidak baik.
Kita yang perasan diri kita hebat dan merasai orang lain dengki dengan diri kita.
Inilah antara ghurur yang banyak berlaku dalam kalangan masyarakat kita.
Kita kena menanganinya dengan terus memotong perasaan dan litar pemikiran yang berbentuk hasad, dengki dan cemburu dengan orang lain atau perasan yang orang lain cemburu dengan kita dengan apa yang kita ada di hadapan mata.
Dalam kes empati tadi, Tan Sri Dr mengingatkan kepada kita tentang satu hadis tentang Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam selalu pesan pada para sahabatnya – kalau kita berjalan ramai-ramai dalam satu golongan, maka dahulu kanlah orang yang lebih tua.
Kabbir! Kabbir! – dahulukan orang yang lebih senior.
Orang yang lebih berusia sepatutnya mendapat penghormatan daripada orang-orang yang lebih muda.
Dan satu komen daripada seorang ulama’ yang terkenal di Malaysia, bila mana beliau melihat generasi ulama’-ulama’ muda yang semakin hari semakin baik, bersinar dan semakin ke hadapan dari segi ilmu, keterampilan dan juga keperibadiannya tapi kurang adab dan kurang rasa hormat kepada orang-orang yang lebih tua ataupun lebih senior.
Walaupun mungkin kita berbeza pandangan dan sebagainya tetapi kita tidak boleh mengabaikan perasaan hormat kepada orang yang lebih tua.
Hari ini ramai orang muda yang kaya ilmunya tapi miskin rasa hormatnya.
Ini satu pandangan walaupun agak ringkas tapi memberikan satu ketajaman pemikiran bahawa orang-orang muda atau orang-orang yang lebih bersinar pada hari ini sepatutnya mempunyai perasaan hormat yang tinggi kepada orang yang lebih tua dan berusia walaupun mempunyai pelbagai pencapaian dalam kehidupan.
Langkah Ketujuh: Menangis
Yang ketujuh adalah kalau boleh orang yang ghurur ini, menangislah setiap hari sebab orang yang ghurur susah nak menangis.
Dia merasa dirinya sempurna, kagum, hebat dan sebagainya.
Kalaulah kita boleh menangis sama ada dalam sembahyang, ketika baca al-Quran atau ketika melakukan ibadat, insha-Allah kita dapat menjauhkan atau melemparkan sifat ghurur jauh-jauh daripada diri kita.
Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam bersabda bermaksud:
“Dua mata yang tidak akan disentuh api neraka untuk selama-lamanya: mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang bermalam dalam rangka berjaga di jalan Allah.”
[Hadis Riwayat Tirmizi]
Terdapat dua mata yang tidak akan disambar oleh api neraka iaitu mata yang menangis kerana takutkan Allah subhanahu wa ta’ala.
Dan kalau mata kita ini menangis kerana takutkan Allah dan rasa rendah diri, insya-Allah mata kita tidak akan disambar oleh api neraka dan juga akan mengurangkan perasaan ghurur kita sebagai manusia di kalangan rakan-rakan dan masyarakat.
- Jemput baca di sini: Syarat-syarat Taubat
Langkah Kelapan: Banyakkan Memberi Pada Masyarakat
Yang kelapan adalah kita kena banyakkan berkongsi dan memberi kepada masyarakat.
Nak beri apa?
Apa sahaja sama ada ilmu kita, masa kita, tenaga kita ataupun wang kita.
Kalau tidak ada semua itu, kita boleh beri pujian kepada orang lain.
Tidak sukar memberikan pujian pada orang yang berhak mendapat pujian.
Ini salah satu cara untuk mengurangkan rasa ghurur dalam diri kita sebab terdapat orang lain yang mungkin lebih baik daripada kita dalam satu aspek atau dalam banyak aspek.
Jadi kita cepat-cepat berikan galakan, pujian dan berikan penghargaan yang sepatutnya.
Jadi pemberian, perkongsian dan juga mengaku kelebihan orang lain itu akan membantu kita mengurangkan sifat ghurur dalam diri kita.
Sebab ada orang yang susah nak menyebutkan tahniah, welldone, congratulation and proud of you, do more pada pencapaian orang lain.
Semua ini adalah perkataan-perkataan yang melambangkan kita ini boleh berkongsi kegembiraan dengan rakan-rakan dan juga dalam masyarakat.
Sebaliknya orang yang ada sifat ghurur, dia jarang mengeluarkan perkataan ataupun bahasa badan yang mengiktiraf kejayaan orang lain.
Dia rasa setinggi mana pun pencapaian orang lain, tidak layak diberikan pujian dan diberikan penghargaan.
Langkah Kesembilan: Memohon Kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala
Yang terakhir, kita sebagai manusia tidak boleh mengubati dan menyembuhkan setiap perkara dengan diri sendiri.
Macam mana kita cuba usaha pun kadang-kadang kita tidak dapat selesaikan masalah kita.
Tidak ada ubat yang kita dapat berikan pada diri kita sendiri.
We cannot fix everything that we broke.
Sebab kita memerlukan ubat daripada pencipta kita iaitu Allah subhanahu wa ta’ala.
Kita kena sentiasa kembali kepada Allah dengan taubat yang berterusan dan doa yang bertimbun-timbun kita persembahkan kepada Allah subhanahu wa ta’ala.
Kerana Allah ada catitannya dan kalau kita sentiasa bertaubat, beristghfar dan juga berdoa kepada Allah azzawajalla, fail peribadi kita itu akan sentiasa mendapat perhatian Allah.
Allah kenal kita sebagai hamba yang sentiasa memohon bantuan Allah azzawajalla untuk melihat kelemahan diri kita.
Dan Allah akan melihat, mendengar dan insha-Allah akan memperkenankan doa kita supaya dikurangkan atau dibuangkan terus perasaan ghurur dalam diri kita.
Dan kita berharap Allah basahkan hati dengan perasaan rendah diri dan tawaduk supaya kita tidak sentiasa memberikan markah yang tinggi kepada diri sendiri dan memberikan markah yang rendah pada orang lain dalam skema pemarkahan kita.
Semoga Allah memberikan kesedaran, kekuatan dan juga kebasahan hati untuk melihat sifat ghurur yang ada dalam diri kita.
Dan insya-allah kita dapat melihat keadaan sekitar dan gunakan keadaan sekitar setiap hari dengan kawalan deria yang sensitif untuk mengurangkan bahasa, tingkah laku, pemikiran dan melakukan perkara yang positif untuk menjadi orang yang disayangi, dirahmati dan didoakan oleh ramai rakan dalam masyarakat.
Bangun, berilah peringatan!
MasyaAllah, terbaik perkongsian Tuan… Mohon diteruskan lagi dan lagii
Segala puji bagi Allah. Terima kasih Cikpuan Nor Hidayah kerana singgah di sini. Insha-Allah amin mudah-mudahan.