fbpx

Nak Tadabbur al-Quran? Ini 8 Langkah Mudah Untuk Orang Awam

Pada pandangan saya, ini antara langkah tadabbur yang sangat mudah diikuti oleh orang awam.

Mari kita sama-sama tiru tagline Air Asia – Now everyone can fly.

Saya nak tukar kepada – Now everyone can tadabbur.

Saya tahu tagline ini agak ketinggalan (sejak tahun 2008 lagi Tony Fernandes perkenalkan), tapi saya rasa ia masih lagi relevan dengan konteks kita yang baru nak mula tadabbur al-Quran.

Ramai di antara kita yang telah menangguh-nangguhkan usaha tadabbur al-Quran disebabkan pelbagai faktor.

Dan antara faktor yang paling utama ialah tidak pandai bahasa Arab dan juga ‘saya bukan ustaz’.

Nah, Ustaz Syaari and the geng dalam bukunya Membumikan Tadabbur dah susun 8 langkah mudah untuk kita yang bukan ustaz dan tidak pandai bahasa Arab untuk tadabbur al-Quran.

Ha, best kan?

Tunggu apa lagi?

Jom kita mulakan sekarang!

hakimdarno - 8 langkah tadabbur untuk orang awam 3

Langkah Pertama – Teruja & Ta’awwuz

Kata ustaz, pertama sekali betulkan niat kita membaca al-Quran.

Jangan baca sebab emak ayah kita suruh.

Jangan baca sebab kita sekarang berada di dalam masjid ataupun surau.

Jangan baca sebab malam ini adalah malam Jumaat.

Mudah kata, jangan baca al-Quran kerana sebab-sebab yang tidak ada kaitan langsung untuk kita mendapatkan petunjuk daripada al-Quran.

Betulkan cara pandang kita terhadap al-Quran.

Al-Quran bukan buku biasa, tetapi al-Quran ini adalah buku yang sangat diperlukan oleh manusia untuk selamat di dunia dan di akhirat.

Lihatlah sejarah para sahabat, berapa ramai manusia yang telah menjadi pahlawan yang luar biasa dan melakar sejarah dengan al-Quran!

Tapi langkah pertama kita ini tidak semudah yang disangka.

Kerana syaitan akan berusaha sedaya upaya menyibukkan kita dengan perkara-perkara yang menjauhkan diri kita daripada membaca, menghafaz, memahami ataupun mengamalkan al-Quran dengan aplikasi-aplikasi yang sangat menggiurkan seperti TikTok, Mobile Legends, PUBG, Gareena Free Fire, Roblox dan sebagainya.

Maka mintalah perlindungan daripada Allah dengan membaca:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Aku memohon perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam.

Langkah Kedua – Ambil Berat Cara Bacaan

Kata ustaz, walaupun kita mahu melakukan proses tadabbur, kita tidak boleh meremehkan ilmu tajwid dan cara bacaan yang tartil dan betul.

Kita mestilah sentiasa berusaha memperbetulkan bacaan kita sama seperti bacaan Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam dan para sahabat semasa diturunkan al-Quran.

Tadabbur mestilah bermula dengan menghormati bahasa yang dipilih oleh Allah untuk menurunkan al-Quran.

Kesungguhan kita membaca al-Quran dengan bacaan yang betul boleh mendekatkan diri kita kepada rahmat Allah subhanahu wa ta’ala.

Jadi penting dalam keterujaan kita nak tadabbur al-Quran, pastikan ilmu tajwid kita tidak ketinggalan.

Langkah Ketiga – Dapatkan Makna

Setelah kita selesai membaca al-Quran, berusahalah sedaya upaya untuk kita meluangkan masa membelek terjemahan al-Quran mengikut ayat yang kita baca.

Hari ini, ada banyak al-Quran terjemahan yang dicetak di negara kita.

Tinggal pilih sahaja mana yang kita berkenan.

Tapi ustaz ada cadangkan kepada kita semua, antara terjemahan yang boleh kita rujuk ialah terjemahan Abdullah Muhammad Basmeih.

Terjemahan ini telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Kalau nak mudah lagi, kita juga boleh rujuk al-Quran terjemahan per kata.

Bolehlah kita belajar perkataan Arab setiap hari!

Langkah Keempat – Ajukan Soalan

Kata ustaz, ramai pembaca al-Quran yang meninggalkan langkah ini kerana mahu cepat menghabiskan bacaan.

Sebab pada langkah ini, kita perlu meluangkan masa berfikir dan bertanya soalan.

Satu proses yang agak lama dan melecehkan.

Apatah lagi dalam kehidupan seharian kita, banyak perkara yang perlu kita fikirkan.

Kerja di pejabat, urusan anak sekolah, barang dapur, jaga emak ayah, servis kereta dan pelbagai lagi urusan lain yang tidak pernah habis.

Jadi jika kita gagal menguruskan prioriti dalam hidup kita, kita tidak akan pernah ada masa untuk berfikir tentang al-Quran.

Sebab secara zahirnya al-Quran tidak berikan apa-apa kelebihan pada diri kita.

Contoh, bila kerja dapat duit.

Itu satu perkara – nak cari masa.

Bila dah ada masa pula, kita akan ada masalah yang kedua iaitu kita nak tanya soalan apa pada diri kita?

Sebab itu proses tadabbur  ini tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa ataupun terburu-buru.

Kita kena disiplin luangkan masa dan bergerak dari satu langkah ke satu langkah.

Langkah Kelima – Belek Tafsir

Kata ustaz, ini adalah peringkat yang paling mencabar sekali.

Dan betul, saya pun telah melalui dan merasainya.

Bagaimana kita terpaksa membaca beberapa buah kitab tafsir, hanya untuk memahami satu ayat sahaja.

Dan bila kita mula membaca kitab tafsir, maka bersiap sedialah.

Kita akan dibawa mengembara merujuk ayat-ayat al-Quran yang lain.

Jadi, semakin lama semakin banyak yang kita baca.

Semakin banyak ayat al-Quran yang mula kita boleh kaitkan atau hubungkan.

Baru kita tahu rupa-rupanya setiap ayat di dalam al-Quran ada hubungan di antara satu sama lain walaupun tidak berada dalam satu surah.

Ini kita belum lagi rujuk hadis-hadis yang menerangkan tentang ayat al-Quran.

Wow!

Lagilah mencabar.

Tapi kata ustaz, ia bergantung kepada ayat apa yang kita baca.

Adakah ayat itu menyentuh kisah, perumpamaan, kejadian alam ataupun ayat itu menyentuh soal hukum hakam.

Jadi sebagai permulaaan, kita dicadangkan untuk memilih surah-surah makkiyyah atau ayat-ayat yang pendek dahulu seperti yang terletak di juzuk ‘Amma.

Lagi pun kita dah hafal surah-surah ini.

Oh ya, lupa saya nak beritahu kenapa kita kena rujuk kitab tafsir.

Supaya kita lebih berhati-hati dalam memahami mesej yang cuba Allah sampaikan.

Kita sangka atau fahaman kita A, tapi rupa-rupanya yang Allah nak sampaikan B.

Jadi penting untuk kita memahami sesuatu ayat dengan merujuk kitab tafsir dahulu.

Tapi kalau kita tidak bersedia untuk membaca, melihat dan memerhati buku tafsir yang tidak terlalu mendalam dan panjang lebar, ustaz mencadangkan supaya kita merujuk Tafsir al-Azhar karangan Buya Hamka.

Alhamdulillah ini pun sudah ada di dalam koleksi buku-buku saya.

Cuma kalau tidak salah saya, tinggal tiga juzuk lagi yang belum saya beli sebab saya beli sikit-sikit versi keluaran PTS.

Langkah Keenam – Bertanya Faedah

Bila dah faham ayat dalam kontes yang betul, kita perlu mengaitkan ayat itu dengan diri kita sendiri.

Kata ustaz, tolong beri perhatian pada langkah ini.

Sebab pada langkah ini, kita akan meninggalkan seketika semua tafsir-tafsir dan literasi yang kita telah rujuk.

Kemudian kita perlu tanya satu soalan kepada diri kita:

“Apakah yang Allah nak sampaikan kepada aku menerusi ayat ini?”

“Apakah ibrah, pengajaran dan faedah dari ayat ini untuk aku bawa dalam perjalananku atas dunia ini sebelum mati mendatangiku?”

Langkah Ketujuh – Usahakan Amal

Langkah ketujuh ini antara langkah yang saya lambat nak buat.

Sebab kita dah seronok asyik belajar-belajar sahaja, lupa nak amalkan.

Jadi ustaz ingatkan kita semua.

Tidak ada guna kita membaca Surah Yusuf, kalau kita tidak mampu bersabar dengan musibah yang menimpa kita.

Tidak bermakna membaca Surah al-Qiyamah, kalau kita masih lagi mencuri.

Tidak ada manfaat membaca Surah at-Talaq kalau kita masih lagi tidak mampu mengawal emosi lalu menceraikan isteri bukan pada waktu yang dibenarkan oleh Allah.

Kata ustaz lagi, kemuncak tadabbur ialah melahirkan peribadi Muslim yang menterjemahkan al-Quran dalam kehidupannya dan cara pandangnya.

Langkah Kelapan – Rasai Penyucian Jiwa

Akhir sekali, tadabbur yang kita lakukan mestilah membawa perubahan pada diri kita terlebih dahulu sebelum dikongsikan kepada orang lain.

Apabila kita sentiasa beristighfar dan berdoa kepada Allah, itulah tanda kita sudah terkesan dengan ayat-ayat Allah yang telah kita tadabbur.

Pesanan Terakhir

hakimdarno - 8 langkah tadabbur untuk orang awam 2

Ada dua pesanan terakhir ustaz untuk kita semua.

Pertama, dalam keasyikan kita mahu menyebarkan hasil-hasil tadabbur yang kita perolehi, kita perlu ada sifat berhati-hati yang tinggi.

Paling terbaik ialah kita merujuk ustaz atau para ulama terlebih dahulu supaya kefahaman yang kita sebarkan nanti tidak bertentangan dengan ayat-ayat al-Quran yang lain.

Kedua, wajib tengok kitab tafsir (ini saya yang kata untuk menegaskan betapa pentingnya langkah ini).

Sebab kata ustaz, kalau kita tidak merujuk kitab tafsir, kita akan terdedah dengan kefahaman yang tidak benar.

Paling kurang kita mesti merujuk terjemahan al-Quran yang diiktiraf dan fokus pada ayat-ayat yang jelas dan terang maknanya.

Boleh semua?

Insha-Allah.

Jom kita amalkan sama-sama.

Kalau anda sudi, kongsikanlah pengalaman anda bila melakukan kelapan-lapan langkah ini.

Bangun, berilah peringatan!

2 thoughts on “Nak Tadabbur al-Quran? Ini 8 Langkah Mudah Untuk Orang Awam”

  1. terima kasih atas perkongsian yg sangat bermakna. semoga kita direzekikan berbuat kebaikan sehingga akhir hayat. insya-Allah

    Reply

Leave a Comment