fbpx

6 Mitos Membaca

Mitos adalah cerita zaman dahulu yang mengandungi unsur-unsur sesuatu kepercayaan, namun tidak ada kesahihanya dan sekadar rekaan semata-mata.

Jadi mitos membaca ialah kepercayaan-kepercayaan yang tidak betul tentang tabiat membaca.

Contohnya kenapa kita masih beralasan tidak mahu membaca?

Kenapa kita masih berhelah untuk tidak menghayati tabiat membaca?

Kenapa kita tidak ada kemampuan membaca walaupun tahu membaca itu banyak memberikan kebaikan?

Kata Dr. Zaini Ujang, antara sebabnya ialah ada kemungkinan kita diselubungi atau dihantui oleh mitos-mitos tertentu tentang tabiat membaca.

Lebih memburukkan keadaan lagi, mitos-mitos ini mendarah daging di dalam diri kita.

Jadi setiap kali nak mula baca buku, mitos-mitos ini membayangi, menerkam, mencengkam dan menghantui fikiran dan perasaan kita.

Akibatnya fikiran kita terganggu setiap kali nak baca buku dan lama-kelamaan hilang ghairah untuk terus membaca.

Setiap kali cuba mendampingi bahan-bahan bacaan, kita seolah-olah terperangkap.

Seperti ada sesuatu yang tidak kena, lalu akhirnya kita memilih untuk tidak membaca.

Jom kita rungkai mitos-mitos ini satu persatu.

Isi Kandungan

    Mitos 1 – Membaca Itu Sukar

    Kenapa kita rasa membaca itu susah?

    Kerana pengalaman dan kesusahan yang kita alami sebelum ini iaitu semenjak belajar di bangku sekolah hingga ke zaman universiti.

    Kita merasa gerun dan mual apabila mendengar perkataan ‘belajar’, ‘membaca’ dan ‘buku’.

    Contohnya makan tidur yang tidak menentu, bersengkang mata nak belajar, sakit mata sebab membaca terlalu lama, sakit kepala untuk membaca buku rujukan yang banyak dan sebagainya.

    Kita terikat membaca itu mesti dikaitkan dengan peperiksaan.

    Sedangkan membaca itu untuk kehidupan.

    Satu perkara yang perlu kita sedari ialah dulu kita membaca subjek-subjek yang  kita tidak gemari, tapi bila kita dah dewasa kita bebas memilih bahan bacaan yang kita suka dan minat untuk membacanya.

    Jadi membaca itu sebenarnya mudah, dengan syarat tahu kaedahnya.

    Membaca itu  menyeronokkan, dengan syarat mahir segala selok-beloknya.

    Mitos 2 – Membaca Hanya Untuk Pelajar dan Golongan Kolar Putih

    Kalau kita seorang pelajar, memang wajib kita membaca kerana tanpa kemahiran membaca kita akan kecundang dalam pelajaran.

    Kalau kita seorang guru atau pensyarah, lagilah kena membaca setiap hari untuk meningkatkan prestasi pengajaran, penyelidikan dan kerjaya kita.

    Tetapi kalau kita seorang pemandu teksi, tidak ada keperluan untuk kita membaca kerana kita boleh sahaja memandu berdasarkan pengalaman kita.

    Jadi timbul mitos bahawa membaca hanya khusus untuk pelajar dan golongan kolar putih, tetapi tidak untuk golongan kolar biru.

    Siapakah golongan kolar putih?

    Orang yang bekerja dalam lapangan aktiviti akliah, khususnya dalam sektor pendidikan, perniagaan dan pengurusan.

    Contohnya guru, pensyarah, kerani, pegawai tadbir, jurutera, peguam, doktor, akauntan dan ahli politik.

    Siapa pula golongan kolar biru?

    Orang yang bekerja dalam bidang khusus kepada aktiviti fizikal yang tidak bersifat akliah tetapi lebih mengutamakan kemahiran serta tenaga fizikal.

    Contohnya pemandu teksi, buruh, juruteknik, mekanik dan petani.

    Cuba kita lihat negara maju seperti Jepun dan Jerman, semua rakyatnya membaca tidak kira daripada golongan kolar putih ataupun golongan kolar biru.

    Malah mereka tidak meletakkan had umur untuk berhenti membaca.

    Semakin tua, semakin banyak buku yang dibaca.

    Jadi tidak ada kasta dalam erti kata mengejar ilmu dan maklumat menerusi pembacaan.

    Kepercayaan ini perlu dihapus kerana ia hanya mitos yang menghantui masyarakat mundur yang tidak faham erti dan kepentingan membaca!

    ~Dr. Zaini Ujang

    Mitos 3 – Tidak Perlu Belajar Untuk Membaca Dengan Baik

    Ramai di kalangan kita yang percaya bahawa kita tidak perlu mempelajari kaedah membaca dengan baik kerana kita akan memperolehinya secara semula jadi apabila kita banyak membaca buku, akhbar dan majalah.

    Kalau kaedah membaca itu tidak perlu dipelajari, kenapa kita masih bergelut untuk menjadikan membaca sebagai tabiat hidup?

    Kenapa kita tidak minat membaca bahan bacaan yang ilmiah dan bermutu tinggi?

    Kenapa kalau kita baca buku, asyik mengantuk sahaja?

    Dan apabila dikehendaki membaca dalam keadaan tertentu, contohnya pada saat kritikal (peperiksaan atau dalam masa yang singkat), kebanyakannya membaca secara perlahan, tetapi masih gagal menangkap maksud penulis secara tepat.

    Apatah lagi mahu memberikan pandangan kritis terhadap apa yang kita baca.

    Jadi persoalan-persoalan ini menandakan bahawa kaedah membaca itu perlu dipelajari dan memerlukan latihan yang bertubi-tubi.

    Mitos 4 – Membaca Perlahan Mudah Faham

    hakimdarno - 6 mitos membaca 2

    Mitosnya ialah semua perkataan pada bahan bacaan mesti dibaca perlahan dan penuh hati-hati agar lebih mudah difahami.

    Jika tertinggal satu patah perkataan pun, kita akan dihantui perasaan bersalah, seolah-olah tercicir satu maklumat maha penting yang menjadi penentu sama ada kita benar-benar memahami kandungan buku tersebut atau sebaliknya.

    Kita juga merasa seolah-olah menipu diri sendiri kerana mendakwa telah membaca buku tersebut, sedangkan hakikatnya kita tertinggal membaca sepatah perkataan yang barangkali paling penting untuk membolehkan kita memahami keseluruhan teks dan begitulah seterusnya.

    Kesannya, kita akan menghabiskan masa 15 minit hanya untuk membaca satu halaman!

    Jadi berapa lama masa yang diperlukan bagi menghabiskan bacaan buku yang tebalnya 100 muka surat?

    Sedangkan dalam tempoh yang sama, berkemungkinan telah terbit 10 lagi judul baharu di pasaran dalam bidang yang sama.

    Maka besar kemungkinan kita tidak akan mampu mendekatkan diri dengan tabiat membaca sebagai jambatan ilmu dan jendela dunia.

    Mitos 5 – Membaca Pantas Kurangkan Tumpuan & Ingatan

    hakimdarno - 6 mitos membaca 3

    Baca cepat-cepat nak pergi mana?

    Yang pentingkan faham apa yang kita baca?

    Kenyataan ini ada betul dan salahnya.

    Cuma apa yang nak diberitahu di sini ialah ada masa kita perlu membaca cepat, ada masa perlu membaca lambat untuk memahaminya.

    Menurut Francis Bacon,

    “Ada buku untuk dinikmati, sebahagiannya untuk ditelan, manakala selebihnya dikunyah dan difahami”.

    Maksud Bacon di sini ialah kepelbagaian bahan bacaan harus dibaca dengan kepelbagaian kaedah.

    Ada bahan sekadar dibaca untuk dinikmati gaya dan keindahan bahasanya, contohnya puisi serta novel.

    Ada bahan memadai dibaca secara luncuran, contohnya artikel surat khabar, dan ada bacaan perlu dibaca secara teliti, kritis dan dihayati isi kandungannya, contohnya al-Quran.

    Mitos 6 – Hanya Membaca Berkaitan Bidang Pengkhususan

    Perkembangan ilmu dan maklumat kini berlaku dalam keadaan sangat pantas dan ia sering menyebabkan kita sentiasa ketinggalan untuk mengikuti perkembangan terkini dalam senario paling tepat.

    Sesuatu maklumat yang kita ketahui sedang berlaku ketika ini, barangkali sudah tidak relevan 10 minit kemudian.

    Jadi kita tidak boleh membiarkan diri kita hidup dalam satu kepompong atau kelongsong ilmu semata-mata kerana menjadikan kita kera sumbang atau manusia usang dalam zaman sains dan teknologi sebab tidak mampu memahami persekitaran lokal dan global.

    Persekitaran ini hakikatnya sangat penting untuk kita fahami, terutama menerusi pembacaan kerana zaman ini seluruh aspek kehidupan sentiasa bergantungan di antara satu sama lain.

    Maka luaskanlah pembacaan kita dalam pelbagai bidang terutamanya bahan bacaan yang boleh meningkatkan prestasi diri dari segi intelek, emosi dan juga spiritual.

    Semoga kita menjadi umat yang membaca!

    Bangun, berilah peringatan!

    Leave a Comment