Sebenarnya ada banyak kelebihan Surah al-Fatihah yang berlegar-legar di sekeliling kita sama ada di internet, media sosial dan buku.
Tetapi kali ini, kita nak fokus hanya 6 kelebihan sahaja.
Kenapa 6 sahaja?
Kerana inilah 6 kelebihan yang mempunyai sumber rujukan yang sahih daripada Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam.
Menurut Ustaz Yusof Arbain, disiplin kalau kita belajar sesuatu maklumat agama (contohnya kita belajar tentang kelebihan-kelebihan surah dalam al-Quran) kita perlu ada dalil yang kuat.
Dan menariknya kalau belajar dengan Ustaz Yusof arbain, beliau hanya berkongsi setiap fakta atau setiap maklumat berdasarkan dalil-dalil daripada hadis Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam sahaja.
Maksudnya bukan sembang kosonglah.
Daripada sini kita dapat belajar bahawa sebelum kita percaya tentang kelebihan sesuatu surah, kita kena ambil tahu sumber kelebihan tersebut – hadis apa dan diriwayatkan oleh siapa.
Surah Yang Paling Agung Di Dalam Al-Quran
Kita sedia maklum bahawa di dalam al-Quran ada 114 surah.
Dan dalam 114 surah ini, yang paling baik dan yang paling afdal adalah surah nombor satu iaitu Surah al-Fatihah.
Maksudnya Surah al-Fatihah lebih agung daripada Surah al-Baqarah.
Surah al-Fatihah lebih agung daripada Surah ali-‘Imran.
Surah al-Fatihah lebih agung daripada surah an-Nisaa’ dan juga surah-surah yang lain.
Kenapa?
Kerana berdasarkan hadis yang datangnya daripada Abu Sa’id al-Mu’alla.
Kata ustaz hadis ini panjang, tapi beliau telah potong hadis tersebut dan ambil yang berkaitan sahaja.
Kerana kalau kita ambil hadis yang panjang, dikhuatiri akan terlepas isi hadis yang utama.
Maklumlah panjang-panjang ini cabaran untuk kita habiskan bacaan.
Kisahnya begini – Abu Sa’id tengah solat, kemudian Nabi panggil beliau.
Tetapi beliau tidak menjawab panggilan Nabi kerana sedang solat.
Sedangkan pada masa itu, apabila Nabi panggil sepatutnya beliau kena berhenti solat berdasarkan Surah al-Anfal ayat 24.
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱسْتَجِيبُوا۟ لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ ۖ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ يَحُولُ بَيْنَ ٱلْمَرْءِ وَقَلْبِهِۦ وَأَنَّهُۥٓ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.
[Surah al-Anfaal 7: 24]
Tetapi Abu Sa’id tidak tahu.
Rupa-rupanya yang Nabi panggil itu, Nabi nak beritahu 1 ilmu penting, 1 maklumat penting.
Inilah maklumat yang Nabi nak beritahu (hadis tentang keagungan Surah al-Fatihah).
Percayalah dengan yakin.
Nabi tidak mungkin berdusta.
Betapa pentingnya maklumat ini, Abu Sa’id tengah solat pun Nabi panggil dia.
Jom kita baca hadisnya.
Berkata Abu Sa’id al-Mu’alla, Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam bersabda, maksudnya:
Sesungguhnya aku mengajar satu surah yang paling agung dalam al-Quran sebelum engkau keluar dari masjid. Dia (Abu Sa’id) berkata, “Kemudian Baginda memegang tanganku. Ketika Baginda hendak keluar dari masjid aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya kamu telah berkata, ‘Sesungguhnya aku mengajar kepadamu satu surah yang paling agung dalam al-Quran.’ Lantas Baginda menjawab, ‘Ya. Surah tersebut ialah Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin (segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam). Ia merupakan tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan al-Quran yang agung yang diberikan kepadaku.’”
[Hadis riwayat al-Bukhari nombor 5006]
Jadi, yang sebut Surah al-Fatihah ini adalah surah yang agung bukan sahabat, tetapi Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam.
Semua surah agung, tetapi yang paling agung adalah Surah al-Fatihah.
Nak tahu kenapa Surah al-Fatihah agung, kita kena belajar Surah al-Fatihah ayat 1 hingga ayat 7.
Selain itu, sesiapa yang membaca Surah al-Fatihah dengan penuh kepercayaan dan keikhlasan serta menghadirkan hati, Allah memberikan pembacanya kedudukan yang tinggi serta memeliharanya daripada kesesatan dan sikap melampau.
Kelebihan ini berdasarkan hadis yang bermaksud:
Kamu tidak sekali-kali membaca satu huruf daripadanya kecuali dimakbulkan untukmu.
[Hadis riwayat Muslim nombor 806]
Surah Yang Hanya Diturunkan Kepada Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam
Kenapa kita istimewa menjadi umat Nabi Muhammad?
Kerana Nabi Muhammad adalah penutup segala Nabi.
Dan Allah berikan pelbagai kelebihan kepada Baginda.
Antara kelebihan yang Allah berikan kepada Baginda ialah kelebihan Surah al-Fatihah.
Berkata Abu Hurairah radhiyallahu anh, Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam bersabda maksudnya:
Demi Allah yang diriku dalam tangan-Nya, tidak diturunkan dalam Taurat, Injil atau Zabur atau pada ayat-ayat al-Furqan yang lain seumpamanya. Sesungguhnya ia tujuh ayat yang berulang-ulang dan al-Quran yang agung yang telah dikurniakan kepadaku.
[Sahih: Hadis Riwayat al-Tirmizi nombor 2875]
Tengok hadis ini, Nabi bersumpah.
Bila Nabi bersumpah maksudnya Nabi betul-betul nak berikan penekanan.
Dalam Taurat tidak ada, dalam Injil tidak ada, dalam Zabur tidak ada, dalam kitab-kitab lain pun tidak ada yang seumpama dengannya.
Maksudnya tidak ada wahyu yang sama isi dan kedudukannya.
Hanya ada dalam al-Quran sahaja iaitu Surah al-Fatihah.
Betapa besarnya kelebihan Surah al-Fatihah ini, Allah tidak pernah turunkan kepada Nabi-nabi yang lain.
Nampak?
Istimewa tak Nabi Muhammad?
Istimewalah.
Maksudnya kalau Nabi dapat keistimewaan ini, umat Nabi Muhammad pun dapat juga.
Syarat Sah Solat
Hebatnya Surah al-Fatihah ini, kalau kita tidak baca Surah al-Fatihah – tidak sah solat kita.
Maksudnya kita kena solat semula.
Berkata ‘Ubadah bin al-Shomit radhiyallahu anh, Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam telah bersabda maksudnya:
Solat seseorang tidak sah jika tidak membaca Fatihah al-Kitab.
[Hadis Riwayat al-Bukhari nombor 657 dan Muslim nombor 393].
Pembuka kitab (Fatihah al-Kitab) itu merujuk kepada Surah al-Fatihah.
Mengandungi Pujian Dan Permohonan
Menurut ustaz lagi, Surah al-Fatihah ini mengandungi dua ibadat – dua perkara – dua bahagian.
Berkata Abu Hurairah radhiyallahu anh, Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam telah bersabda, Allah subhanahu wa ta’ala berfirman maksudnya:
Aku telah membahagi solat antara diri-Ku dengan hamba-Ku menjadi dua bahagian:
Apabila dia membaca “Alhamdulillahi Rabb al-‘Alamin,” maka Allah berkata, “Hamba-Ku telah memuji-Ku.
Apabila hamba membaca “Al-Rahman al-Rahim,” maka Allah berkata, “Hamba-Ku menyanjung-Ku.”
Apabila hamba membaca, “Maliki Yaumiddin,” maka Allah berkata, “Hamba-Ku telah memuliakan-Ku.” Pada riwayat lain disebutkan, “Hamba-Ku telah menyerahkan urusannya kepada-Ku.”
Apabila hamba membaca, “Iyyakana’budu wa iyyakanasta’in,” maka Allah berkata, “Ini antara diri-Ku dengan hamba-Ku dan bagi hamba-Ku apa yang diminta olehnya.”
Apabila hamba membaca, “Ihdinas Siratal Mustaqim, Siratalladzina an’amta ‘alaihim ghairil maghdubi ‘alaihim waladhdallin,” maka Allah berkata, “Ini untuk hamba-Ku dan bagi hamba-Ku apa yang diminta olehnya.”
[Hadis riwayat Muslim nombor 395]
Perasan tak hadis ini sebut “Allah berfirman” ?
Maksudnya ialah kata-kata Allah bukan sekadar al-Quran sahaja, tetapi dalam Hadis Qudsi pun sama.
Apa itu Hadis Qudsi?
Boleh rujuk di sini: Maksud Hadis Qudsi.
Solat di dalam hadis ini ialah Surah al-Fatihah.
Allah kata, “Aku telah bahagikan solat (Surah al-Fatihah) pada 2 bahagian:
Satu bahagian berkaitan dengan diri-Ku.
Satu lagi bahagian, berkaitan dengan hamba-Ku.
Berkaitan tentang Aku itu apa? Iaitu tentang puji-pujian kepada Allah.
Satu lagi berkaitan dengan hamba itu apa?
Berkaitan tentang hamba yang berdoa kepada Allah.
Sebagai Ruqyah (Pengubat)
Seterusnya ialah Surah al-Fatihah boleh dijadikan sebagai jampi.
Dan nak bagi mujarab jampi ini, kita kena faham ayat yang digunakan.
Kalau tidak faham, bagaimana kita nak dapat keyakinan.
Jadi, kita kenalah belajar memahami Surah al-Fatihah.
Siapa yang kata macam itu?
Yang kata adalah Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam.
Kisah Abu Sa’id dan para sahabat pergi musafir.
Kemudian, beliau singgah di sebuah kampung.
Tetapi penduduk kampung tidak layan mereka.
Tidak lama kemudian, ketua kampung jatuh pengsan kerana disengat oleh binatang berbisa.
Orang kampung sudah berikan ubat, tetapi tidak sedar juga.
Akhirnya orang kampung minta bantuan kepada Abu Sa’id.
Beliau kata boleh, tetapi beliau minta upah.
Upahnya ialah jamu makan.
Orang kampung pun setuju untuk berikan beberapa ekor kambing.
Beliau pun baca Surah al-Fatihah dengan hembusan dan air (Insha-Allah dalam artikel akan datang dikongsikan cara yang betul untuk jampi dengan Surah al-Fatihah).
Kemudian dengan takdir Allah, sembuh.
Penduduk kampung pun gembira dan berikan kambing kepada mereka.
Kemudian salah seorang sahabat berkata,
“Eh jangan bagi lagi, apa kata tanya Nabi dulu tentang perkara ini (maksudnya boleh ke ambik upah sebab ubatkan ketua kampung tadi).”
Kata ustaz, inilah kehebatan para sahabat – kalau ada masalah bab agama, mereka akan tanya Nabi dulu.
Beliau pun ceritalah.
Nabi nak ketawa bila dengar kisah mereka.
Nabi tidak nafikan pun perbuatan Abu Sa’id.
Bila Nabi tidak nafikan bermaksud Nabi iktiraf.
Nabi salla Allah ‘alaih wa sallam berkata kepada Abu Sa’id radhiyallahu anh, maksudnya:
Bagaimana engkau tahu bahawa Surah al-Fatihah itu ada ruqyah.
[Hadis riwayat al-Bukhari nombor 5007 dan Muslim nombor 2201]
Kemudian mereka kata kepada Nabi, Nabi ambil lah sikit.
Kami pun ambil sikit (kambing).
Namun ustaz pesan, kalau kita amalkan Surah al-Fatihah sebagai ruqyah, jangan pula tinggalkan ubat yang biasa kita makan seperti ubat darah tinggi, kencing manis, dan sebagainya.
Ataupun jangan pula kita menjadi orang yang anti-vaksin.
Kita kena teruskan juga ubat yang sedia ada.
Dan jika ada penyakit yang serius, kita perlu berjumpa dengan doktor pakar.
Namun secara umumnya, Surah al-Fatihah boleh dijadikan sebagai ubat.
Bila belajar bab bismillah nanti, kita akan belajar juga tangan nak letak di mana.
Lepas ini, tidak perlu kita susah-susah cari ustaz, cari orang itu dan ini untuk ruqyah, bila kita sudah faham Surah al-Fatihah, kita boleh buat ruqyah sendiri.
Pesan ustaz lagi, usahalah sendiri untuk jampi.
Jampilah diri sendiri dan juga orang lain.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui rahsia dan keistimewaan surah ini kecuali mereka yang benar-benar mencari penawar melaluinya sama ada untuk mengubati penyakit zahir atau penyakit hati.
Contoh kisah benar.
Pengalaman Ibnu Qayyim al-Jauziyyah
Ibnu Qayyim al-Jauziyyah percaya bahawa Surah al-Fatihah merupakan ubat bagi segala penyakit hati dan badan.
Al-Fatihah ialah ubat yang mujarab bagi segala syahwat dan khurafat juga.
Pada suatu hari ketika beradai Makkah, beliau ditimpa penyakit tetapi tidak menjumpai tabib (doktor) atau ubat yang boleh merawatnya.
Lalu beliau cuba mengubati penyakitnya dengan membacakan Surah al-Fatihah pada air zam-zam lalu meminumnya.
Kemudian beliau mendapati air itu memberikan kesan yang menakjubkan.
Selepas pengalaman itu beliau cuba menjadikan bacaan Surah al-Fatihah sebagai ruqyah bagi penyakit yang dialaminya.
- Jemput baca: Mengapa Kita Perlu Tadabbur Surah al-Fatihah?
Merupakan Cahaya
Surah al-Fatihah adalah cahaya.
Siapa yang kata?
Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam.
Suatu hari Nabi duduk bersama dengan Malaikat Jibril.
Ketika duduk itu tiba-tiba ada satu suara daripada langit.
Malaikat Jibril pun melihat ke arah langit.
Malaikat Jibril beritahu bahawa bunyi itu adalah bunyi pintu langit yang sedang dibuka.
Selama ini, pintu itu tidak pernah dibuka.
Kemudian, turun satu malaikat, malaikat ini pun sama tidak pernah turun ke bumi.
Baru hari ini malaikat tersebut turun.
Kemudian, malaikat itu pun beritahu kepada Nabi tentang hadis ini.
Berkata Ibnu ‘Abbas radhiyallahu anh, maksudnya:
Tatkala Jibril sedang bersama Nabi salla Allah ‘alaih wa sallam, tiba-tiba beliau mendengar suara. Lalu Jibril melihat ke arah langit dan berkata, “Ada pintu langit yang dibuka pada hari ini, sedangkan pintu ini belum pernah dibuka sebelum ini.” Kemudian turunlah malaikat dari pintu tersebut. Berkata (Jibril), “Malaikat ini telah turun ke bumi sedangkan ia belum pernah trun sebelum ini meliankan pada hari ini.” Malaikat tersebut lalu mengucapkan salam dan berkata, “Bergembiralah dengan dua cahaya yang telah diberikan kepadamu yang belum pernah diberikan kepada seorang Nabi pun sebelum kamu iaitu ‘Fatihah al-Kitab’ dan ‘ayat-ayat terakhir Surah al-Baqarah.’ Tidaklah engkau membaca satu huruf pun darinya melainkan engkau mendapat apa yang engkau harapkan.”
[Hadis riwayat Muslim nombor 806]
Kita sedia maklum bahawa semua orang memerlukan cahaya.
Nak hidup ini pun perlukan cahaya.
Nak pergi ke akhirat pun perlukan cahaya.
Nak lintas ke siratal mustaqim pun perlukan cahaya.
Nak duduk di dalam alam kubur yang gelap itu pun perlukan cahaya.
Nak buang kegelapan-kegelapan hidup ini pun perlukan cahaya.
Maka cahaya yang boleh buang segala kegelapan hidup – buang amalan syirik dan apa sahaja amalan kejahatan adalah dengan Surah al-Fatihah.
Tapi kalau nak nampak cahaya dia sebenar-benarnya macam mana, nak rasai dia, maka kita kena belajar, kita kena tadabbur ayat pertama sehingga ayat nombor tujuh Surah al-Fatihah.
Bangun, berilah peringatan!