Kata Ustaz Syaari Ab Rahman di dalam bukunya Kompas 114, Surah al-Ma’aarij adalah surah yang memberikan peringatan keras kepada musyrikin yang memperlekeh dan mengejek-ejek hari kiamat dan akhirat serta mencabar Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam agar mendatangkan segera azab itu.
Maka saya petik peringatan pedas yang disebut di dalam surah ini berdasarkan tadabbur Ustaz Abd Muein di dalam bukunya Tadabbur Surah al-Ma’aarij – Tempat-tempat Naik.
Mudah-mudahan dapat beri peringatan kepada kita semua.
Rasulullah mengajar kita asas untuk memperbetulkan masyarakat bukan bermula dengan ekonomi, jalan raya, rumah, jambatan, elektrik ataupun air terlebih dahulu, tetapi membetulkan perkara yang lebih utama daripada semua itu iaitu akidah.
Di dunia ini, kaya atau miskin bukan masalah kerana itu semua hanya ujian dari Allah yang tetap akan berlaku, yang lebih penting sejauh mana keimanan kepada Allah dalam menghadapi ujian tersebut.
Sayang sekali, bila di kehidupan ini kita dikurniakan badan yang sihat, harta yang banyak dan umur yang panjang, tapi akhirnya kita dimasukkan ke dalam neraka dan hidup di dalam api. Sebab apa? Sebab kita tidak berpegang pada akidah yang benar.
Hakikat perjuangan yang dihadapi manusia sejak dahulu, kini dan selama-lamanya bukan masalah ekonomi atau pembangunan, tetapi ianya berakar umbi daripada masalah akidah. Akidah manusia yang tidak percaya dan tidak yakin kewujudan hari akhirat.
Ketuk hati tanya pada diri, adakah kita yang mengaku hamba Allah percaya atau tidak pada hari akhirat? Sudah pasti jawapannya “Percaya.” Persoalannya, “Adakah benar kita mempercayai hari akhirat?”
Kebanyakan manusia, sifatnya hanya percaya di mulut, tetapi dalam kehidupan seharian masa masih banyak dilabur untuk perkara yang tidak membawa kebaikan di akhirat. Tanyalah diri masing-masing dalam sehari apa amalan yang banyak dilakukan? Amalan akhirat atau dunia? Jika kebanyakan amalan dunia, itu tanda kita tidak percaya atau kurang yakin pada akhirat.
Sebenarnya, tidak ada satu pun amalan di dunia melainkan berkait dengan amalan akhirat. Dunia adalah kebun akhirat dan jambatan ke syurga. Masya-Allah. Maka jadikan setiap amalan dunia asbab untuk ganjaran pahala di akhirat.
Tugas Nabi Muhammad ﷺ yang pertama adalah menceritakan kepada orang kafir tentang hari akhirat. Baginda bermati-matian menceritakan tentang hari akhirat sehingga dimaki, dicerca, dituduh gila dan sebagainya, lalu bagaimana dengan kita? Berapa ayat yang telah kita sampaikan tentang hari akhirat kepada orang ramai?
Orang kafir di zaman Rasulullah ﷺ menolak Islam setelah sampainya al-Quran kepada mereka. Berbeza dengan kebanyakan orang bukan Islam hari ini, mereka menolak Islam dalam keadaan Islam belum disampaikan kepada mereka. Ini kerana tidak ramai umat Islam yang melakukan kerja dakwah sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah ﷺ.
Kadang-kadang, kita mendakwa kita memulia dan menghormati Nabi Muhammad ﷺ. Sampai satu tahap, siapa sahaja yang menghina Nabi ﷺ akan dimaki dan dikutuk. Tapi sebenarnya, kita sendiri tidak melakukan kerja mulia yang telah Baginda lakukan. Sebelum marah pada orang, marah dulu pada diri sendiri. Kita sendiri juga masih tidak faham isi kandungan al-Quran, apatah lagi mahu menyampaikan kepada orang lain.
Jika mahukan darjat atau kedudukan yang tinggi di sisi Allah, tidak perlu menjadi orang besar atau orang kaya. Jadilah orang yang beriman dan bertakwa.
Ikhtibar di sini, jika marah pada anak-anak, kita kata sabar, tapi dalam masa yang sama kita tidak bercakap dengan anak-anak. Itu bukan sabrun jamil – sabar yang cantik. Layanlah anak-anak seperti biasa walaupun sedang marah.
Oleh kerana itulah Allah memerintahkan kepada Nabi Muhammad supaya sabrun jamil – sabar yang cantik. Jangan marah pada orang kafir. Jangan maki mereka hanya kerana mereka menolak berita dari Allah. Jangan dizahirkan perasaan yang kecewa terhadap penolakan mereka bahkan teruskan kerja dakwah dengan menyampaikan kebenaran. Sabar adalah kunci kepada segala kebaikan.
Semasa di dunia kita boleh bertanya khabar kawan dan sahabat di mana-mana dan bila-bila masa. Tapi bila berlaku hari kiamat, keadaan seperti ini tidak mungkin berulang lagi bahkan sebaliknya. Manusia tidak peduli dan tidak ingin ambil tahu lagi tentang sahabatnya kecuali mereka yang kekal bersahabat sehingga akhirat, iaitu orang yang bertakwa.
Ketika hari kiamat, setiap orang nampak sahabat di hadapan sedang menderita tetapi masing-masing tidak akan bertanya hal kawan yang lain jauh daripada membantu. Ketika itu, manusia sudah tidak sempat untuk bertanya khabar sahabat mereka kerana masing-masing sibuk memikirkan nasib diri sendiri dan bagaimana hendak menyelamatkan diri.
Mereka yang berdosa akan menggunakan orang yang paling dekat dan paling disayangi iaitu anak-anak untuk menebus diri mereka agar dapat selamat daripada azab.
Jika di dunia apabila seorang anak melakukan jenayah dan dihukum penjara maka bapa sanggup melakukan apa sahaja untuk selamatkan anaknya termasuk sanggup menggantikan tempat anaknya di dalam penjara demi untuk kebahagiaan anaknya. Di dunia juga manusia sanggup melakukan apa sahaja demi anak-anak atau orang yang mereka sayang.
Berbeza dengan akhirat. Apabila seorang bapa ditimpa azab, bapa itu sanggup mengorbankan orang yang paling dekat dan paling disayangi semata-mata untuk selamatkan dirinya dari azab Allah. Sebaik melihat azab di akhirat seorang bapa sanggup mengorbankan anaknya agar menggantikan dirinya yang akan diazab. Pada masa itu seorang bapa sudah tidak lagi memikirkan nasib orang yang tersayang, yang di fikirkan hanyalah untuk selamatkan diri sendiri dari azab.
Apabila ada peluang untuk meraih pahala Allah di dunia hendaklah seseorang itu segera berlumba melakukannya walaupun terpaksa bersaing dengan bapa atau anak. Rebutlah untuk selamatkan diri sendiri kemudian usahakan untuk menyelamatkan orang lain. Jangan kita bantu orang, tetapi diri kita sendiri tidak selamat.
Jangan jadi seperti lilin. Membakar dirinya untuk memberi cahaya kepada orang lain. Syarat untuk menyelamatkan orang yang lemas ialah penyelamat itu tidak lemas dan selamat. Jika sama-sama lemas, bagaimana mahu menolong orang lain?
Menjadi satu kesalahan apabila kita meninggalkan pahala dengan alasan menghormati orang yang lebih tua. Ya kita semua wajib menghormati orang tua bahkan itu adalah antara akhlak yang terpuji tetapi soal kebaikan dan amal soleh ia perlu direbut dan dimenangi. Jangan biarkan orang lain mendahului dalam soal kebaikan dan amal.
Amal soleh dan pahala wajib direbut kerana setiap manusia akan disoal terhadap amalan yang dilakukannya semasa di dunia. Manusia tidak akan ditanya tentang amalan manusia lain kecuali dirinya sendiri.
Jika kita mahu menyelamatkan diri daripada azab Allah, tidak perlu sampai tahap menebus anak ataupun mencari emas seluas bumi, tapi apa yang perlu dilakukan ialah menjadi hamba yang beriman, hamba yang soleh dengan melaksanakan perintah-perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Apa yang Allah minta kepada hamba-hamba-Nya adalah mudah dan senang. Tetapi apabila manusia tidak kenal Allah dan tidak percaya kepada kehidupan selepas kematian maka semua perintah Allah menjadikannya susah.
Mencari emas dan mengumpulnya lebih susah dari mendirikan solat tetapi akhirnya manusia meninggalkan kerja yang mudah dan melakukan kerja yang susah. Berapa ketul emas yang manusia dapat sehingga sanggup melewatkan solat? Subhanallah!
Apa-apa perkara yang boleh mengganggu solat hendaklah dihilangkan seberapa segera kerana solat adalah perkara yang paling bernilai dalam hidup orang beriman.
Jika di dunia, siapa yang boleh cabut kulit kepala manusia? Manusia melalui proses pembedahan dan dengan alat-alat tertentu. Tetapi di akhirat bukan manusia yang mencabut kulit kepala tetapi api neraka yang mencabutnya. Bila ia membakar manusia, menyebabkan kulit kepala tercabut.
Kenapa mereka minta air? Kenapa tidak minta makanan? Kerana orang yang sedang terbakar dan kepanasan sangat dahagakan air berbanding makanan. Namun, minumannya sedikit pun tidak akan menghilangkan dahaga kerana ia seperti tembaga panas yang sedang mendidih. Menghancurkan muka sebelum masuk ke dalam perut dan menghancurkan isi perut.
Ahli neraka dibakar dalam api yang sangat panas kerana semasa di dunia mereka menolak segala perintah Allah dan berpaling dengan hati mereka dari kebenaran.
Dalam ayat ini, Allah tidak menyebut mereka ini membelakangkan apa? Agak-agak orang yang masuk neraka membelakangkan apa? Belakangkan suami? Ibu bapa? Semuanya bukan. Sebaliknya mereka ini yang pertama dan utama ialah membelakangkan perintah Allah subhanahu wa ta’ala. Inilah punca sebenar manusia dicampak ke dalam neraka, kerana berpaling daripada Allah dan al-Quran.
Punca manusia berpaling daripada Allah dan al-Quran adalah kerana kehidupannya di dunia hanya bermatlamat duniawi, mengejar dan mengumpul harta. Bila harta banyak, wujud rasa sombong dalam diri manusia. Bila sombong manusia merasakan dia tidak memerlukan sesiapa walaupun kepada Allah atau al-Quran. Kebanyakan manusia memang begitu tabiatnya.
Kekayaan harta tidak menunjukkan kemuliaan seseorang. Kalau kaya harta tanda mulianya seseorang, maka Qarunlah paling mulia kerana Qarun antara manusia yang paling banyak diberi harta oleh Allah. Jadi jangan perasan kaya kerana kekayaan adalah milik Allah dan ianya hanya ujian kepada manusia untuk diuji sama ada manusia semakin bersyukur kepada Allah atau semakin kufur.
Kebiasaannya, manusia mengumpul dan menyimpan harta untuk hari tua dan waktu kecemasan. Cuma antara hari tua dan masuk neraka, mana yang lebih cemas? Sudah tentu neraka. Maka pastikan usaha dan masa kita lebih banyak dihabiskan untuk mengumpul penyelamat dari neraka iaitu iman dan amal soleh.
Bijak atau tidak menyimpan harta untuk hari tua? Sedangkan hari tua tinggal beberapa tahun sahaja. Selepas itu, kita akan masuk ke alam kubur yang mungkin lamanya 300 tahun atau 500 atau 1, 000 tahun. Selepas itu, berpindah ke Padang Mahsyar yang tempohnya 50, 000 tahun.
Kalau ada orang beri RM1, 000, ada tak kita terfikir untuk sedekahkan kesemua seribu atau separuh? Biasanya tidak. Kenapa? Kerana duit adalah antara perkara yang paling dicintai oleh manusia. Duit susah untuk dikeluarkan untuk orang lain walau sedikit. Ini adalah hakikat yang perlu diakui oleh semua kita apatah lagi ia dinyatakan sendiri oleh Allah.
Orang yang benar-benar mendirikan solat, tidak akan resah gelisah sebaliknya sentiasa tenang dalam apa keadaan sekalipun.
Orang yang jiwa tenang dan menjaga solat lima waktu, hartanya boleh dikatakan setiap bulan ada hak untuk dua golongan miskin ini iaitu yang meminta dan yang tidak meminta.
Antara pengajaran daripada ayat ini ialah Allah memberitahu satu jenis penyakit yang selalu menimpa manusia dan cara merawatnya. Penyakit itu ialah sifat keluh-kesah dan kedekut yang berpunca dari penyakit cintakan dunia. Manakala rawatan untuk merawat penyakit yang sentiasa keluh-kesah ialah dengan membaiki hubungan manusia dengan Allah melalui solat yang betul dan istiqamah. Sebenarnya punca semua masalah yang menimpa manusia khususnya hati tidak tenang ialah masalah hubungan manusia dengan Allah khususnya solat.
“Kenapa ada orang yang suka jaga solat lima waktu, sentiasa solat awal waktu, kalau lelaki sentiasa pergi ke masjid. Apa sebabnya?” Kerana dia yakin dengan hari akhirat.
Siapa العادون ? Mereka yang melampaui batas-batas yang melanggar apa yang diharamkan oleh Allah. Mereka juga yang melakukan kerosakan dan meruntuhkan institusi kekeluargaan melalui perbuatan zina, liwat dan lain-lain sehingga ramai anak-anak yang tidak diketahui keturunan nasab mereka yang sebenar.
Apakah amanah yang paling besar daripada Allah kepada manusia? Iaitu amanah sebagai khalifah Allah di atas muka bumi.
Apa maksud khalifah? Khalifah makna asalnya ialah – Pengganti. Contohnya Abu Bakar adalah khalifah Rasulullah. Beliau menggantikan tugas dan tanggungjawab Rasulullah setelah baginda wafat. Manakala manusia sebagai khalifah Allah ialah manusia menjalankan tugas dan peranan yang Allah arahkan untuk memakmurkan dunia serta memandu manusia ke akhirat.
Proses untuk melaksanakan amanah sebagai khalifah ialah melalui usaha berdakwah dan berjihad pada jalan Allah sebagaimana dilakukan oleh nabi dan para sahabat bermula dari turunnya ayat al-Quran yang pertama iaitu Iqra’. Tanpa usaha dakwah dan jihad tidak mungkin orang yang solat dapat menunaikan amanah yang besar sebagai khalifah.
Islam itu agama yang lengkap. Solat bukan setakat melakukannya diawal waktu sahaja, tetapi solatnya hendaklah khusyuk, kena lengkapkan syarat sah solat dan syarat wajib solat. Kadang-kadang ada orang yang jaga solat lima waktu berjemaah di masjid, tetapi bacaan al-Fatihah tidak betul. Ada juga yang selepas mengangkat takbir fikirannya terus melayang memikirkan hal dunia. Orang seperti ini hanya ada sifat da’imun tapi bukan yuhafizun.
Kalau berbuat baik pada orang dengan mengharapkan balasan, itu bukan mulia. Itu ada kepentingan, sama juga berbuat baik kepada orang yang telah berbuat baik kepada kita juga bukan mulia tapi itu lebih kepada membalas budi baik orang. Jadi orang yang mulia mesti ikhlas iaitu bila buat kebaikan pada orang, tidak mengharapkan apa-apa balasan.
Syarat untuk dapat kemuliaan di syurga ialah seseorang itu wajib memastikan solatnya da’imun, yuhafizun, bila dapat harta dia tidak kedekut bahkan pada hartanya sentiasa ada peruntukan khas untuk orang miskin sama ada yang meminta atau yang tidak meminta. Dia juga menjaga nafsu syahwat kecuali pada isteri atau hamba yang dimilikinya. Kemudian dia menjaga amanah, amanah sebagai khalifah, sebagai ibu bapa, sebagai suami atau isteri, sebagai jiran, sebagai pekerja atau ketua. Bila menjadi saksi mereka tidak menjadi saksi bohong. Hari ini cakap lain, esok cakap lain. Ini menunjukkan Islam bukan hanya terbatas pada amalan solat sahaja tapi Islam adalah akhlak mulia dan ihsan kepada manusia.
Ciri-ciri ahli neraka bukan kerana kemiskinan, bukan kerana tinggal di kampung tetapi sebaliknya ialah kerana semasa hidup di dunia jiwanya tidak tenang, sentiasa tamak, bila dapat harta mahu ditambah lagi dan bila dapat lagi, semakin kedekut. Sebaliknya bila tidak dapat, dia akan kecewa dan marah. Mereka ini mungkin terdiri daripada orang kaya dan mereka yang berpangkat besar.
Kategori yang kedua ialah ciri-ciri ahli syurga, semasa di dunia jiwanya sentiasa tenang walau apa keadaan sekalipun. Kalau miskin mereka tenang, kalau mereka berharta mereka bersyukur. Begitu juga bila sihat mereka semakin bersyukur dan mentaati Allah dan kalau mereka ditimpa sakit mereka sabar dan reda.
Apa syarat untuk ikut al-Quran? Mesti memahami apa yang terkandung dalam al-Quran dan untuk memahami al-Quran pula mesti menggunakan akal. Inilah ulul albab. Jika al-Quran dibaca hanya kerana hendakkan pahala sahaja tanpa berusaha untuk memahami maka mereka itu sebenarnya tidak menggunakan akal ketika membaca al-Quran.
Jadi kalau menghadiri kelas-kelas agama di masjid atau di mana-mana, jangan duduk setompok-setompok dan jauh pula dari guru. Ada yang duduk sambil menyandar di dinding atau tiang dan mereka jauh dari guru. Itu adalah cara duduk orang yang tidak bersungguh-sungguh mendengar atau belajar. Ingatlah hidayat Allah tidak akan diperoleh kecuali oleh mereka yang bersungguh-sungguh dan ikhlas mencarinya. Duduklah rapat dan dekat dengan guru agar hidayah Allah mudah masuk ke dalam hati.
Contoh orang yang tamak duit akan mencari duit setiap waktu dan di mana ada peluang dia tidak akan lepaskan. Begitu juga seseorang yang tamak ilmu akan mencari ilmu setiap hari. Tetapi sebaliknya yang berlaku manusia lebih tamakkan duit dari tamak ilmu kerana itu duit dicari setiap hari manakala ilmu hanya dicari sekali seminggu atau ketika ada masa lapang.
Penyakit yang ada dalam diri musyrikin Mekah ini ada juga dalam masyarakat hari ini. Mereka membaca al-Quran tapi tidak mengikut ajarannya. Perbuatan mereka bercanggah dengan ajaran al-Quran tetapi dalam masa yang sama mereka tamak untuk memasuki syurga. Apabila ditanya mahu masuk syurga atau tidak? Jawapannya mahu.
Perbezaan antara orang kafir dengan orang beriman adalah orang beriman tidak mungkin bermain-main dengan kehidupan dunia. Kerana Allah telah memberi peringatan bahawa wujudnya manusia di dunia bukan untuk main-main atau sia-sia. Semuanya akan dihisab dan diberi balasan yang setimpal dengan perbuatan masing-masing di dunia.
Di sini juga ada pengajaran iaitu sekiranya orang kafir sentiasa bersegera kepada berhala mereka semasa di dunia, maka orang Islam lebih berhak untuk bersegera kepada mentaati Allah. Bersegera ke masjid untuk solat, bersegera melakukan apa-apa amal soleh. Jika orang kafir boleh segera dalam kesesatan, maka orang beriman yang berada di jalan yang benar sepatutnya lebih bersegera kepada Allah di banding dengan orang kafir.
Pedas tak?
Pedas kan?
Saya rasa pedas sangat.
Tak apa, biar kita rasa pedas hari ini, mudah-mudahan kita selamat di akhirat.
Bangun, berilah peringatan!