Awal Surah an-Naazi’aat menceritakan tentang sifat-sifat malaikat.
Sifat malaikat yang pertama dan kedua saya dah tulis dalam artikel lain.
Anda semua boleh rujuk di sini:
Jadi artikel kali ini, saya nak kongsikan tiga lagi sifat malaikat yang disebut dalam Surah an-Naazi’aat.
Malaikat Yang Pantas
Sifat malaikat yang ketiga ialah, firman Allah subhanahu wa ta’ala:
وَٱلسَّٰبِحَٰتِ سَبْحًا
Dan demi (makhluk-makhluk) yang cergas bergerak (menerima perintah) dengan gerak yang secergas-cergasnya.
[Surah an-Naazi’aat 79: 3]
Kata Dr. Abu Anas Madani, ayat ini merujuk kepada malaikat yang turun naik daripada langit ke bumi dan bumi ke langit.
Para malaikat akan tukar giliran pada waktu Subuh dan juga waktu Asar.
Betapa lajunya malaikat ini yang menempuh perjalanan yang begitu jauh sekali sehingga di luar pemikiran manusia.
Sebab kalau mengikut kiraan kita, perjalanan daripada bumi ke langit (sehala) mengambil masa selama 500 tahun.
Begitu juga jarak perjalanan daripada langit ke bumi mengambil masa 500 tahun.
Jadi kita tidak boleh bayangkan betapa lajunya malaikat yang setiap hari turun dan naik yang mengikut kiraan kita mengambil masa 1000 tahun, tapi malaikat hanya sehari sahaja.
Ini seperti yang disebutkan di dalam Surah as-Sajdah:
يُدَبِّرُ ٱلْأَمْرَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ إِلَى ٱلْأَرْضِ ثُمَّ يَعْرُجُ إِلَيْهِ فِى يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُۥٓ أَلْفَ سَنَةٍ مِّمَّا تَعُدُّونَ
Dia mengatur urusan dari langit ke bumi, kemudian (urusan) itu naik kepada-Nya dalam satu hari yang kadarnya adalah seribu tahun menurut perhitunganmu.
[Surah as-Sajdah 32: 5]
Kemudian, kalau roh orang yang beriman, malaikat akan bawa kain kafan daripada syurga.
Masya-Allah, tabarakallah.
Kemudian roh itu diletakkan di atas kain kafan dan di bawa naik ke langit.
Bila lalu ikut langit, malaikat-malaikat tanya: siapakah tuan punya roh yang baik, bersih dan wangi ini?
Lalu para malaikat mengucapkan selamat datang kepada roh tersebut.
Manakala roh orang yang tidak beriman pula, pintu langit tidak dibuka dan rohnya akan dilemparkan daripada langit jatuh ke bumi, nauzubillahiminzalik.
Kata Ustaz Abd Muein pula, perkataan (وَٱلسَّٰبِحَٰتِ) berasal daripada perkataan (سَبْحًا).
Jadi ada tafsir yang terjemah perkataan (سَبْحًا) sebagai tasbih dan ada juga yang terjemah sebagai segera (malaikat yang bertasbih atau malaikat yang bersegera).
Begitulah sifat ilmu, semakin digali semakin banyak dan dalam ilmu yang kita perolehi.
Kemudian, sifat malaikat yang keempat pada ayat seterusnya.
Malaikat Yang Berlumba-Lumba

فَٱلسَّٰبِقَٰتِ سَبْقًا
Lalu masing-masing berlumba-lumba dahulu-mendahului (menjalankan tugasnya) dengan cara yang sesungguh-sungguhnya.
[Surah an-Naazi’aat 79: 4]
(فَٱلسَّٰبِقَٰتِ) – lalu para malaikat.
(سَبْقًا) – yang berlumba.
Malaikat berlumba?
Berlumba apa?
Berlumba atau berebut untuk melaksanakan perintah Allah subhanahu wa ta’ala.
Bila Allah suruh sahaja, para malaikat berebut nak buat.
Satu saat pun malaikat tidak lewatkan.
Kata Ustaz Abd Muein, inilah sifat orang yang beriman.
Allah kata dalam ayat yang lain (فَٱسْتَبِقُوا۟ ٱلْخَيْرَٰتِ) – berlumbalah untuk buat kebaikan.
Maksudnya bukan setakat kena cepat atau segera buat, tapi berlumba dan bersungguh-sungguh siapa yang akan paling banyak, cantik, kualiti dan sempurna ibadahnya.
Begitulah sifat orang yang beriman.
Cuba lihat diri kita, ada atau tidak sifat fastabiqul khairat?
Ataupun kita slow and steady?
Semua orang ada jawapannya sendiri.
Jom kita tengok pula sikap sahabat Nabi.
Nabi gambarkan bagaimana para sahabat berlumba untuk buat kebaikan.
Suatu hari lepas subuh, Nabi tanya para sahabat, “Siapa di kalangan kamu yang puasa sunat hari ni?”
Abu bakar jawab, “Ana”.
“Siapa di kalangan kamu yang telah bersedekah hari ini?”
Abu Bakar jawab lagi, “Ana”.
“Siapa di kalangan kamu yang telah mengiringi jenazah hari ini?”
“Ana”.
“Siapa di kalangan kamu yang ziarah orang sakit hari ini?’
“Ana”.
Semua amalan sunat Abu Bakar buat, sedangkan beliau adalah ahli syurga.
Jadi kita kena tiru sikap Abu Bakar.
Ayat seterusnya.
Malaikat Mempunyai Tugas Masing-masing

فَٱلْمُدَبِّرَٰتِ أَمْرًا
Serta menyempurnakan tadbir urusan alam yang diperintahkan kepadanya
[Surah an-Naazi’aat 79:5]
(فَٱلْمُدَبِّرَٰتِ) – maka para malaikat yang mengurus.
(أَمْرًا) – apa-apa perintah.
Setiap malaikat ada tugasnya masing-masing.
Contoh Malakul Maut, tugasnya mencabut nyawa.
Malaikat Jibril tugasnya membawa wahyu.
Malaikat Mikail tugasnya menurunkan hujan dan menurunkan rezeki.
Malaikat Israfil tugasnya meniup sangka kala.
Malaikat yang mencatit amalan.
Malaikat yang menjaga manusia depan dan belakang.
Malaikat yang turun pada malam al-Qadr.
Malaikat Malik, tugasnya menjaga syurga.
Malaikat Ridwan, tugasnya menjaga neraka.
Para malaikat menguruskan tugas masing-masing dan tidak campur dengan tugasan malaikat lain.
Jadi ada berapa sifat malaikat yang ada dalam Surah an-Nazi’aat?
Lima, apa dia?
1. Mencabut nyawa dengan kasar.
2. Mencabut nyawa dengan lembut.
3. Sentiasa bertasbih atau mensucikan Allah.
4. Berlumba-lumba melakukan perintah Allah.
5. Malaikat yang mengatur urusan dunia.
Dan kalau kita perasan, kelima-lima ayat ini berbentuk sumpah.
Bila sumpah, pertama, menunjukkan apa yang Allah sumpah itu penting.
Jadi malaikat adalah makhluk yang penting.
Kedua, selepas sumpah mesti ada mesej penting yang Allah nak sampaikan.
Jadi apakah mesej yang Allah nak sampaikan di dalam surah ini?
Insha-Allah saya akan sambung pada artikel akan datang.
Tunggu ya!
Bangun, berilah peringatan!