Apakah 4 ciri orang yang bertakwa?
“Sebelum ini mesti kau rasa yang kau ini dah jadi orang yang bertakwa kan?”
Begitulah kata hati saya lepas mendengar kuliah daripada Ustaz Abd Muein.
Kita rasa amalan yang kita lakukan selama ini dah cukup bawa kita ke syurga.
Solat kita setiap hari, puasa kita di bulan Ramadan dan sedekahnya lagi.
Haish, rupanya belum tentu lagi.
Sebab itulah pentingnya kita tadabbur al-Quran supaya kita tidak perasan.
Perasan menjadi ahli syurga.
Jadi, sebelum kita perasan lebih jauh.
Jom kita tadabbur ayat 134 Surah ali-‘Imran.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلْكَٰظِمِينَ ٱلْغَيْظَ وَٱلْعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.
[Surah ali-‘Imran 3: 134]
Kata ustaz, kalau kita tadabbur al-Quran satu persatu, barulah kita dapat tahu kedudukan kita sebenar di mana.
Baru kita tahu, “Ya Allah! Sebenarnya aku ni masih lagi jauh dengan Engkau, aku ni masih jauh lagi dengan al-Quran.”
Perhatikanlah bagaimana Allah beritahu kepada kita ciri-ciri orang yang bertakwa.
Jemput baca:
4 Ciri Orang Yang Bertakwa Kita Kena Belajar
Allah kata ciri yang pertama ialah kita kena infakkan harta.
Infak harta ini pula, tidak perlu tunggu jadi jutawan ataupun hartawan, tidak perlu tunggu dapat bonus hujung tahun yang belum tentu kunjung tibanya.
Kita bagi sahaja berapa yang ada, tidak kira susah atau senang.
Tidak ikut musim.
Infak masa bulan Ramadan sahaja.
Bukan.
Infaklah tidak kira waktu untung waktu rugi.
Waktu siang atau malam.
Waktu pagi atau petang.
Secara terbuka atau rahsia.
Ciri yang kedua ialah kita kena tahan marah atau sabar dalam menghadapi apa sahaja musibah yang datang.
Kita tidak boleh sikit-sikit nak marah.
Lauk masin sikit marah isteri.
Anak buat bising sikit, marah tak tentu arah.
Itu belum campur lagi kita marah kerajaan.
Tidak bagi keluar rumah masa PKP marah.
Pergi kedai nak beli barang kena beratur, marah.
Marah jelah yang kita tahu.
Yang tidak seronoknya, kita ini dahlah kaki solat atau kaki masjid, tapi cepat betul marahnya.
Haish, bilalah nak berubah?
Nampak gaya, jauh lagi nak jadi orang yang bertakwa.
Kita lihat pula ciri yang ketiga, kita kena suka maafkan orang.
Apatah lagi kemaafan itu membawa kebaikan kepada kita dan juga orang lain, kena maafkan.
Ini pun seperkara lagi.
Ada golongan yang jenis suka solat malam, solat duha, zikir beribu-ribu setiap hari tapi golongan inilah yang paling susah nak maafkan orang.
Sepatutnya golongan yang rajin beribadah inilah yang perlu memulakan permohonan maaf.
Begitulah realitinya.
Tidak tahu salah di mana.
Mungkin kita perlu muhasabah kembali.
Kemudian yang keempat, apabila kita buat dosa, kita kena terus bertaubat (rujuk ayat 135 Surah ali-‘Imran).
Jangan tangguh untuk bertaubat.
Bila kita buat dosa, kita kena ingat dengan azab Allah yang mengerikan dan terus bertaubat.
Jangan terus kekal di dalam dosa sama ada dosa besar atau kecil.
Ustaz menceritakan, Nabi berkata mafhumnya, ada seorang wanita yang kaki solat malam, suka puasa, suka bersedekah, tapi dia adalah ahli neraka.
Kenapa?
Kerana dia suka menyakiti hati jiran.
Ya Allah berikanlah petunjuk kepada hati kami.
Bimbang juga kalau kita ada sakiti hati jiran tanpa sedar.
Walaupun ibadah kita nampak hebat dan sempurna, tapi kalau kita suka menyakiti hati jiran, kita akan menjadi ahli neraka. Kalau tidak bertaubatlah.
Macam tulah sifat orang yang beriman.
Bila buat dosa, akan rasa takut dan terus bertaubat.
Dan jangan lagi kita ulangi dosa tersebut.
Bila kita tadabbur, ada banyak ruang yang perlu kita betulkan.