Kata Ustaz Abd Muein, antara kesan kita mengenal nama Allah ialah pertama, kita akan ada sifat seperti sifat Allah.
Maksudnya, kita bukan nak jadi seperti Allah sebab mustahil kita sama dengan Tuhan.
Tetapi kita boleh meniru sifat-sifat yang ada pada Allah untuk kita praktikkan di dalam kehidupan.
Contoh, kisah Allah bertanya kepada Nabi Ibrahim alaihissalam.
Allah tanya kepada baginda, “Kamu tahu tak, kenapa kamu dipilih menjadi khalil – kekasih-Ku?”
Baginda jawab, “Aku tak tahu.”
Maka Allah jawab, “Aku pilih kamu menjadi kekasih-Ku sebab sifat-Ku ada pada kamu iaitu kamu lebih banyak memberi berbanding menerima.”
Begitulah juga dengan sifat Allah Yang Maha Pemberi.
Allah memberi nikmat kepada semua hamba-Nya tidak mengira orang jahat, orang kafir dan kepada orang beriman apatah lagi.
Contoh lain ialah Allah beri makan, tetapi Allah tidak pernah diberi makan.
Allah beri rezeki tetapi Allah tidak pernah diberi rezeki.
Allah al-Halim – Maha Penyantun.
Walaupun manusia melakukan kejahatan, kufur dan syirik kepada Allah berpuluh-puluh tahun, Allah tahan azab daripada menimpa manusia.
Jadi, sifat Allah yang suka memberi dan penyantun ini ada pada Nabi Ibrahim, maka sebab itulah Allah memilih baginda sebagai khalilullah – kekasih Allah.
Begitu jugalah dengan kita.
Kita kena usaha untuk meniru sifat yang ada pada Allah.
Allah Maha Pengasih dan suka pada orang yang pengasih, maka kita pun kena kasih kepada orang lain.
Allah Maha Pemaaf dan suka kepada orang yang memaafkan orang, maka kita pun kena jadi orang yang pemaaf.
Sebab itulah pentingnya kita tahu dan kenal nama-nama Allah.
Sebab kita bimbang, apa yang kita kita buat di dalam kehidupan selama ini bercanggah dengan sifat Allah ataupun kehendak Allah.
Akhirnya kita menjadi orang yang solat, puasa, sedekah tapi hubungan kita dengan Allah semakin jauh kerana sifat yang ada pada Allah tidak ada pada kita menyebabkan Allah pun tidak cinta kepada kita.
Jemput baca:
Kesan Kedua Mengenal Nama Allah
Kesan yang kedua bila kita kenal Allah melalui nama-nama dan sifat-sifat-Nya ialah kita akan semakin rasa kebesaran Allah.
Kata ustaz, kenyataan ini sangat penting kerana punca kita masih melakukan maksiat ialah kita tidak merasa kebesaran Allah.
Bahkan kita pula merasa diri kita yang hebat dan kuat kerana boleh buat apa sahaja di dunia ini.
Menyebabkan kita menganggap Allah itu kecil sahaja dalam kehidupan kita.
Kita kata Allah itu Maha Besar tapi realitinya kita mengecilkan Allah.
Jadi, kalau kita belajar dan faham satu-satu nama Allah, barulah kita akan rasa betapa kerdil dan hinanya diri kita ini.
Masa ini, barulah kita sedar bahawa kita sangat berhajat kepada Allah subhanahu wa ta’ala.
Sebenarnya, kita akan rasa berhajat kepada Allah, bila kita rasa diri kita kerdil.
Kalau kita rasa diri kita hebat, sampai bila-bila pun kita tidak akan cari Tuhan.
Kesan Ketiga Mengenal Nama Allah
Kesan yang ketiga ialah bila kita kenal Allah melalui nama-nama-Nya seperti ar-Rahman, ar-Rahim, al-Ghafur, al-Afwu, al-Karim, kita akan cinta kepada Allah.
Bila kita cinta kepada Allah, mudah sahaja untuk kita mematuhi semua perintah dan larangan Allah.
Sebab apa? Sebab cinta.
Orang kata, cinta itu membutakan hati, bila kita cinta, kita akan buat apa sahaja walaupun perkara itu sukar.
Seperti ayat manis yang selalu kita dengar – lautan api sanggup ku renangi.
Kalau kita renung kembali, segala perintah dan larangan Allah tidaklah sesukar mana sehingga tahap kita tidak dapat melakukannya.
Sebagai contoh, tidak ada sampai Allah suruh kita panjat gunung, berenang di lautan atlantik ataupun melakukan sesuatu perkara yang boleh membahayakan diri kita sendiri.
Allah hanya perintahkan kepada kita semudah solat subuh dua rakaat, itupun Allah berikan beberapa keringanan.
Kalau tidak mampu berdiri, boleh duduk.
Tidak mampu duduk boleh baring dan sehinggalah ke tahap menggerakkan mata.
Tugas kita di muka bumi ini adalah beribadah kepada Allah mengikut kemampuan kita.
Tetapi memandangkan kita tidak cinta pada Allah, solat subuh dua rakaat pun kita rasa sukar.
Nak baca al-Quran dan tadabbur sehari satu jam pun rasa sukar.
Sebab itu Nabi kata, dua kalimah yang ringan di lidah, tapi kesannya sangat berat pada timbangan Allah dan Allah sangat cinta kepada siapa yang melafazkannya iaitu subhanallah wabihamdihi subhanallahil azim – Maha Suci Allah dengan segala pujiannya, Maha Suci Allah Yang Maha Agung.
Ringan dan mudah, tetapi tidak ramai manusia yang boleh buat sebab tidak kenal dan cinta kepada Allah.
Ustaz memberikan contoh bagaimana cintanya Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam kepada Allah.
Nabi sanggup berjalan kaki ke Taif dalam cuaca yang panas dan tidak mendapat apa-apa bayaran pun, malah risiko dimaki dan dibaling batu sehingga berdarah.
Semua itu Nabi sanggup lalui kerana cinta kepada Allah.
Sebab Baginda tahu, kalau baginda buat perkara ini, baginda akan dapat manfaat yang jauh lebih baik berbanding yang baginda dapat di dunia.
Jadi bila kita kenal dan cinta kepada Allah, perintah Allah walaupun kena maki, cedera ataupun sukar, boleh menjadi mudah.