fbpx

3 Ciri Pendakwah Al-Quran Yang Berkesan

Apakah ciri-ciri pendakwah al-Quran yang diidam-idamkan?

Meminjam kata-kata Muharikah di dalam bukunya Da’i Disruptor – hari ini zaman sudah berubah. Segmen mad’u sudah berbeza. Kita juga sudah berevolusi. Maka, para pendakwah pun perlu mengikut perubahan yang sedang berlaku ini.

Kita mesti menjadi jahbaz ataupun cendekiawan; the da’i yang memberikan sepenuh dirinya untuk menarik orang ke jalan hidayah. Kita perlu mengeluarkan fikiran dan idea baru yang dapat memperbaharui dakwah.

hakimdarno - 3 ciri pendakwah al-Quran yang berkesan 1

Martabat genius itu – sehingga ramai manusia mendapat hidayah kerana cara dan usahanya itu begitu tinggi, sehingga yang melebihinya hanya darjat kenabian.

Bagi saya dakwah ini bukan satu pilihan, tetapi adalah satu tanggungjawab yang kita kena pikul. Jadi, di sini saya kongsikan, bagaimana untuk menjadi seorang pendakwah yang berjaya – paling kurang kita berdakwah di kalangan ahli keluarga.

Tip ini saya perolehi daripada Ustaz Syaari Ab Rahman. Semoga Allah terus memberikan kesihatan kepada ustaz untuk terus membimbing masyarakat dengan al-Quran.

Ustaz simpulkan kepada 3 P iaitu PembacaanPenyampaianPenulisan.

Ciri Pendakwah Yang Pertama – Pembacaan

hakimdarno - 3 ciri pendakwah al-Quran yang berkesan 2

Dalam ciri P yang pertama ini iaitu Pembacaan saya bahagikan poin ustaz kepada empat:

Pertama, menurut Ustaz Syaari – sebagai seorang pendakwah pembacaan kita kena meluas.

Meluas macam mana itu?

Contoh, kalau kita berada di dalam bidang tafsir, tidak cukup sekadar membaca 1 kitab tafsir saja, kena baca 2, 3 kitab tafsir. Barulah pemahaman kita matang untuk berinteraksi dengan makna sesuatu ayat dalam konteks hari ini.

Kedua, tidak cukup hanya membaca kitab Arab, tetapi kita juga kena membaca kitab Melayu dan juga kitab Inggeris. Kata ustaz, ini bukan soal belajar bahasa, tetapi soal sudut pandang yang berbeza. Kita nak lihat cara berfikir orang Arab, Melayu dan juga Inggeris.

Kata beliau, pengalaman bergaul dengan orang yang suka membaca buku di dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, mereka mempunyai pemahaman dan cara berfikir tertentu. Jadi, kita kena sedaya sedaya upaya untuk merentas pelbagai bentuk literasi.

Ketiga, tidak cukup sekadar membaca di dalam bidang kita saja (contohnya tafsir), tetapi kita baca juga bidang-bidang yang lain.

Keempat, bacalah buku-buku yang bukan hanya berbicara tentang konten ataupun ilmu, tetapi baca juga buku yang berbicara tentang bagaimana mahu  menyampaikan konten dengan berkesan pada orang Melayu.

Ustaz memberikan contoh yang boleh dijadikan sebagai rujukan antaranya buku-buku Ustaz Pahrol Md Juoi, buku-buku yang puitis, yang banyak metafora, yang menggunakan bahasa-bahasa orang tua supaya kita mampu menyampaikan ilmu dengan uruf kemelayuan.

Supaya penyampaian kita disenangi oleh golongan tua dan muda yang tinggal di Malaysia sebab kadang-kadang apabila kita terlalu banyak membaca kitab Arab, pemikiran kita pun menjadi Arab.

Sampai orang kelantan kata, “jejok”. Tidak boleh nak membumikan perkataan tadabbur kerana sumber pembacaan kita sangat terbatas.

Ataupun kita hanya membaca buku akademik saja, jadi bila kita nak menyampaikan kepada sasaran kita menjadi susah. Sedangkan ada saja bahan bacaan yang bersifat santai seperti novel dan sebagainya.

Jemput baca:

Ciri Pendakwah Yang Kedua – Penyampaian

hakimdarno - 3 ciri pendakwah al-Quran yang berkesan 3

Ciri pendakwah yang kedua ialah Penyampaian.

Kata ustaz, kita sebagai pendakwah al-Quran tidak cukup dengan hanya banyak membaca, tidak cukup sekadar bercakap menggunakan ilmu, tetapi kita juga kena menjadi penyampai yang berkesan.

Dunia membaca tidak sama dengan dunia menyampai.

Dalam dunia membaca pun, masih banyak lagi kelemahan (tidak banyak membaca, tidak jadikan membaca sebagai tabiat),  inikan pula dunia penyampaian yang sudah pasti ada cabarannya.

Dalam pemerhatian ustaz, antara kelemahan yang perlu dibaiki oleh pendakwah al-Quran ialah kita tidak banyak perkataan di dalam bahasa Melayu. Maksudnya kita tidak bercakap menggunakan bahasa Melayu yang betul.

Sebagai orang Melayu – Malaysia, kita mempunyai keunikan dan kelebihan tersendiri yang mesti ditonjolkan seperti pantun, puisi, sajak, syair dan sebagainya.

Sebab kita tidak mahu pendakwah-pendakwah al-Quran ini jenis tidak berbahasa dan lebih teruk lagi nauzubillah, tidak menjaga bahasa. Al-Quran adalah kalam Allah yang sangat teliti memilih perkataan. Tiba-tiba kita sebagai pendakwah al-Quran tidak menjadi orang yang memilih perkataan di dalam bicara kita.

Selain itu, cabaran yang dihadapi dalam dunia penyampaian ialah bagaimana mahu menyampaikan mesej dalam masa yang singkat terutamanya apabila kita berhadapan dengan media seperti televisyen, radio dan juga media sosial.

Bagaimana kita nak sampaikan pembacaan kita yang banyak (mengkaji dan menganalisis) dalam tempoh 5 minit?

Di sinilah pentingnya sebelum menyampaikan di media ataupun kepada orang lain, kita kena selalu tanya soalan – apa yang paling penting orang nak tahu dan dengar.

Maka kita kena buat saringan.

Akhir sekali kata ustaz,

Tidak ramai orang yang membaca, boleh menyampaikan. Dan tidak ramai orang yang boleh menyampaikan, boleh menulis.

Ciri Pendakwah Yang Ketiga – Penulisan

P yang ketiga adalah penulisan.

Ustaz kata, jadilah blogger, jadilah orang yang boleh menulis semula apa yang telah disampaikan. Apabila kita boleh menulis kembali apa yang telah kita sampaikan, kita akan menjadi orang yang fasih bercakap.

Inilah tip kalau kita mahu jadi orang yang fasih bercakap, tidak gagap dan tidak gugup. Kita kena tulis sebelum kita bercakap, ataupun menulis setelah kita bercakap. Ini akan mengukuhkan lagi idea-idea kita dan menyusun idea-idea tersebut sehingga orang dapat merasakan kefasihan lidah kita.

Orang akan rasa teratur apa yang kita bicarakan.

Dan semua ini memerlukan latihan yang memerlukan masa.

Harapan ustaz, supaya kita semua memakai ketiga-tiga uniform yang telah disebutkan tadi iaitu PembacaanPenyampaianPenulisan.

Seperti mana yang kita lihat sendiri bagaimana Ustaz Syaari memakai uniform pembaca yang banyak. Beliau tidak hanya membaca 1, 2 kitab, tetapi mendisiplinkan diri paling kurang 5 kitab tafsir apabila mahu menghuraikan sesuatu ayat di IKIM ataupun di TV al-Hijrah.

Kita juga dapat melihat ustaz memakai uniform penyampai. Terpaksa bersilat memilih perkataan yang sesuai dan perkataan yang dapat membangkitkan keterujaan selain perlunya skil pidato atau penyampaian yang berkesan.

Dan yang terakhir, kita juga melihat ustaz memakai uniform penulis. Beliau telah menulis lebih kurang 12 buah buku setakat ini.

Kata beliau, jadilah orang yang boleh menulis semula idea-idea yang disampaikan sebab kita semua akan mati.

Kalau kita sekadar memberi kuliah, kuliah itu pun belum tentu ada di youtube ataupun belum tentu ada di tempat-tempat yang boleh kita kekalkan.

Maka tulislah.

Hatta menulis di Facebook sekalipun.

Anak-anak dan cucu-cicit kita 7 keturunan boleh membaca penulisan kita. Kemudian, bila mereka baca dan berubah ke arah kebaikan, masya-Allah pahala itu akan sampai kepada kita.

Oleh sebab itu, buku yang kita tulis merupakan satu legasi jangka panjang dan kita akan dapat nikmatnya apabila kita di alam barzakh nanti hasil daripada ilmu yang telah kita sebarkan dan tulis.

Semoga kita semua dapat mengamalkan 3 tip ini untuk menjadi seorang pendakwah yang berjaya dan memberi impak kepada masyarakat. Dan kita mulakan daripada diri kita sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

Bangun dan berilah peringatan!

Leave a Comment