Minda yang berkembang ialah minda yang sentiasa bersedia untuk berubah dengan cepat dan pantas berdasarkan keadaan dan fakta kehidupan yang baharu (yang juga berubah dengan cepat dan pantas).
~Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar.
Inilah minda yang kita perlukan hari ini.
Hari ini tidak cukup sekadar membaca lafaz al-Quran dengan lunak sahaja, tidak cukup sekadar membaca terjemahan sahaja dan tidak cukup dengan mengahafal al-Quran di dada sahaja.
Tetapi kita perlu terus berkembang dan bergerak laju ke hadapan dengan mencari rahsia-rahsia yang tersimpan kemas di dalam al-Quran selama ini.
Kita kena mula menggali dan terus menggali sehingga kita berjumpa dengan permata, berlian dan emas sebagai bekalan kehidupan kita.
Sudah tiba masanya kita menggunakan senjata (al-Quran) yang Allah kurniakan kepada kita sekian lama, di medan kehidupan yang begitu sengit ini.
Tetapi sebelum itu, kita perlu siapkan diri kita dengan 10 perkara ini supaya usaha kita menggali khazanah-khazanah al-Quran berjalan lancar.
Saya kongsikan hasil kajian yang telah dilakukan oleh Ustaz Syaari Ab Rahman berdasarkan Kisah Nabi Musa di Lembah Tuwa.
Adab Tadabbur Pertama – Betulkan Mindset Kita

Adab tadabbur yang pertama sekali adalah, kita membaca al-Quran dengan satu tujuan iaitu untuk mendapatkan petunjuk daripada Allah subhanahu wa ta’ala.
Bukan sekadar membaca untuk mendapatkan pahala ataupun keberkatan semata-mata.
Ustaz Syaari memetik kata-kata Syeikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi;
Perkara pertama yang mesti dilakukan oleh seorang pembaca al-Quran adalah sebelum dia baca, dia perlu memahami ini buku atau kitab apa sebenarnya?
Adakah buku ataupun kitab ini sama seperti buku-buku atau kitab-kitab Arab yang lain?
(Contohnya seperti Kitab Fiqh, Tasawuf ataupun Kitab Tafsir)?
Jadi pertama sekali yang perlu kita betulkan untuk kembali merujuk al-Quran ialah bukan bacaan tajwid tetapi mindset ataupun cara pandang kita terhadap al-Quran.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
إِذْ رَءَا نَارًا فَقَالَ لِأَهْلِهِ ٱمْكُثُوٓا۟ إِنِّىٓ ءَانَسْتُ نَارًا لَّعَلِّىٓ ءَاتِيكُم مِّنْهَا بِقَبَسٍ أَوْ أَجِدُ عَلَى ٱلنَّارِ هُدًى
Ketika ia melihat api, lalu berkatalah ia kepada isterinya: “Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya, atau aku dapat di tempat api itu: penunjuk jalan”.
[Surah Taha 20: 10]
Dalam ayat ini, Nabi Musa melihat api yang tiba-tiba muncul di Lembah Tuwa.
Kata Ustaz Syaari perkataan (ءَانَسْتُ) maksudnya bukan sekadar aku (Nabi Musa) melihat, tetapi aku rasa aku sangat-sangat perlukan api tersebut.
Kenapa baginda sangat-sangat memerlukan api?
Kerana ketika baginda bersama keluarganya dalam perjalanan daripada Mesir ke Madyan, obor yang dibawa oleh baginda telah terpadam, ditambah lagi dengan isteri dan anak-anak yang sedang kelaparan dan kesejukan yang mencucuk-cucuk sehingga ke tulang.
Jadi apabila melihat api, baginda sangat-sangat menghargai dan mahu mengambilnya.
How do you see determine what will you get – bagaimana anda melihat menentukan apa yang anda akan dapat.
Jadi Allah nak ajar kepada kita bahawa tidak semua api ataupun cahaya itu akan dihargai setiap masa.
Jika kita sedang kebuluran dan kesejukan sehingga ke tahap menggigil, melihat api adalah satu nikmat dan keperluan.
Berbeza kalau kita sekadar ternampak api yang orang bakar di mana-mana.
Bagaimana situasi ataupun masalah kita, menentukan mahal ke murah apa yang kita lihat.
Melihat air mineral sejuk di waktu tengahari dengan waktu pagi berbeza perasaannya.
Waktu pagi kita tidak merasa dahaga sangat sebab cuaca yang masih sejuk, berbeza dengan waktu tengahari yang panas, yang menyebabkan kita haus yang luar biasa.
Begitulah juga dengan nilai al-Quran.
Tidak semua orang melihat al-Quran dengan nilai yang sama.
Kita melihat al-Quran dengan nilai yang sangat rendah iaitu semata-mata untuk dibaca dan dijampi.
Sedangkan al-Quran inilah yang boleh menyelesaikan banyak masalah hidup kita.
Jadi perkara pertama sekali yang kita belajar daripada Nabi Musa alaihissalam ialah sebelum baca al-Quran, kita betulkan niat bahawa al-Quran adalah kitab yang boleh menyelamatkan peradaban.
Betulkan mindset kita supaya tidak menjadi orang-orang yang hanya membaca al-Quran pada waktu tertentu dan di lokasi tertentu sahaja.
Adab Tadabbur Kedua – Berwuduk

Adab yang kedua ialah berwuduk dan memperbanyakkan istighfar sebelum membaca al-Quran.
Kita sedaya-upaya membersihkan tubuh (luaran) dan juga roh (dalaman) kita.
Kenapa?
Sebab Allah berfirman,
لَّا يَمَسُّهُۥٓ إِلَّا ٱلْمُطَهَّرُونَ
Tidaklah menyentuh ayat-ayat ini melainkan mereka yang benar-benar mahu menyucikan hatinya.
[Surah al-Waaqi’ah 56: 79]
Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa al-Quran tidak akan berkesan pada kita sekiranya tujuan kita bukan mahu membersihkan hati.
Berbeza dengan kita yang telah terlanjur dengan dosa atau bergelumang dengan maksiat, kita baca mana-mana ayat dengan niat supaya Allah ampunkan dosa kita, barulah ada kesannya.
“Ya Allah .. berikanlah kekuatan kepadaku untuk meninggalkan jahiliah di masa lalu”.
Dan itulah perintah Allah yang pertama kepada Nabi Musa alaihissalam di Lembah Tuwa,
فَٱخْلَعْ نَعْلَيْكَ
Maka tanggalkanlah kedua terompahmu.
[Surah Taha 20: 12]
Mengapakah Allah memerintahkan baginda untuk menanggalkan kasutnya?
Kerana inilah adab yang Allah ajarkan kepada baginda supaya ketika berada di tempat yang suci, pastikan tidak membawa sebarang kotoran termasuk kasut baginda.
Kita pula bagaimana?
Hendaklah kita mengambil wuduk sebelum membaca ayat-ayat Allah subhanahu wa ta’ala.
Kenapa wuduk?
Kerana wuduk adalah satu latihan untuk kita membenci satu najis yang kita tidak nampak iaitu dosa.
Bila kita basuh muka, maka gugurlah dosa apa yang kita lihat.
Bila kita basuh tangan, maka gugurlah dosa-dosa tangan.
Basuh kepala, gugurlah dosa-dosa kita fikir perkara yang tidak baik.
Basuh telinga, gugurlah dosa-dosa yang kita dengar.
Basuh kaki, gugurlah dosa-dosa kaki.
Jadi wuduk adalah satu bentuk latihan, supaya sebelum kita membaca al-Quran yang suci, kita juga mesti berada di dalam zon menyucikan diri.
Dan bila diri kita sudah bersih, sudah pasti Allah akan mengalirkan hidayah kepada kita walaupun hanya membaca satu ayat ataupun satu muka surat.
Jadi jangan ambil enteng tentang perkara ini kerana Allah tidak berfirman dengan perkara-perkara yang kecil.
Walaupun ikut logik, kasut baginda bukanlah kotor sangat.
Tetapi ini soal kita berada di tempat yang suci.
Allah nak latih kita supaya perkara-perkara kotor tidak boleh ada di tempat yang suci.
Perkara-perkara kotor tidak boleh dibiarkan lama di dalam tubuh kita.
Al-Quran ibarat pembersih, sebelum kita masukkan air yang bersih untuk diminum, kita hendaklah bersihkan gelas itu.
Jadi kita sendiri yang kena berusaha untuk kosongkan gelas itu daripada sebarang kekotoran.
Dan bila kita baca al-Quran, kita akan menerima simbahan air yang sangat bersih dan jernih.
Begitulah perumpamaannya.
Adab Tadabbur Ketiga – Tundukkan Ego

Adab yang ketiga apabila kita membaca al-Quran ialah kita kena tundukkan keegoan kita.
Jangan biarkan emosi menguasai apa yang kita baca.
Sebaliknya biarlah apa yang kita baca menguasai emosi kita.
Pesan Ustaz Syaari, kita jangan sekali-kali merasakan kita dah tahu makna sesuatu ayat.
“Ala … aku dah pernah dengar surah ini daripada Ustaz A ataupun Ustaz B”.
“Ala … aku dah pernah dengar ayat ini daripada ulama itu dan ulama ini”.
Sebab apa?
Sebab sehebat-hebat peribadi Nabi Musa pun ditegur oleh Allah subhanahu wa ta’ala,
فَٱسْتَمِعْ لِمَا يُوحَىٰٓ
Maka dengarkanlah apa yang akan diwahyukan (kepadamu).
[Surah Taha 20: 13]
Perkataan (ٱسْتَمِعْ) maksudnya bukan setakat dengar, tetapi dengar dengan teliti.
Maksudnya berikan fokus sepenuh perhatian.
Jadi kenapa orang seperti Nabi Musa dititahkan dengan perintah dengar dengan teliti?
Contohnya cikgu yang mengajar di sekolah, cikgu akan kata pada pelajar-pelajar yang selalu buat ‘masalah’ supaya, “Dengar baik-baik dan beri perhatian apa yang cikgu nak ajar ini!”
Tetapi kalau pelajar-pelajar yang baik dan rajin, cukup dengan cikgu berkata, “Dengar ya apa yang cikgu ajar” (tidak perlu ada penekanan).
Kerana Allah nak ajar Nabi Musa dan juga kita supaya jangan rasa diri kita ini bagus sangat.
Jangan rasa ayat-ayat yang bakal Allah berikan ini tidak ada kena-mengena dengan kita.
Jangan rasa bila Allah bicara tentang neraka, Allah tidak berbicara tentang kita.
Jangan rasa bila Allah bercakap tentang Abu Lahab dalam Surah al-Masad, cerita itu tentang laknat kepada Abu lahab sahaja dan tidak berbicara tentang kita.
Jangan perasan bila kita dah dekat dengan al-Quran, kita adalah orang yang terlalu baik sehingga ayat-ayat yang kita baca dan tadabbur tiada kena mengena dengan kita.
Nauzubillahiminzalik.
Jadilah seperti Umar al-Khattab radhiyallahu anh apabila membaca ayat-ayat syurga, beliau berhenti banyak kali lalu berdoa kepada Allah supaya dekatkanlah dirinya dengan syurga.
Dan apabila melalui ayat-ayat neraka, beliau mengangkat tangan memohon pada Allah supaya jauhilah dirinya daripada neraka.
Jadilah seperti generasi Abdullah bin Rawahah apabila melalui ayat 71 dan 72 Surah Maryam, beliau tidak mampu meneruskan bacaan, kerana apa?
Kerana menangis teresak-esak bimbang tergolong daripada ayat tersebut.
Di mana ayat tersebut berbicara tentang mereka yang tergelincir daripada titian sirat.
Jadi, generasi salaf adalah generasi model dalam tadabbur kitabullah.
Maka dalam ayat ini, sehebat-hebat Nabi Musa sekalipun telah ditundukkan egonya.
Walaupun sebenarnya Nabi Musa tidak ego pun, yang egonya adalah kita.
Cerita Nabi Musa di Lembah Tuwa sebenarnya ada cerita kita.
Banding bezakan antara kita yang mendengar kalam Allah dengan Nabi Musa yang mendengar kalam Allah.
Subhanallah!
Ayat ini bukan sekadar cerita tentang hebatnya kesan ayat Allah kepada Nabi Musa, tetapi betapa Maha Bijaksananya Allah.
Allah telah buat persediaan tempat, emosi dan sesi perkenalan yang khusus buat Nabi Musa.
Sehingga Allah Yang Maha Bijaksana apabila menyebut sesuatu kepada Nabi Musa ia menimbulkan kesan.
Jadi ayat ini mengajar kita dua perkara.
Pertama, bagaimana Nabi Musa yang terkesan dengan kalam Allah.
Kedua, Maha Bijaksananya Allah yang berfirman tentang sesuatu sebelum Dia berkata-kata.
Allah Maha bijaksana, Dia pastikan pendengar itu sudah bersedia untuk mendengar.
Al-Quran itu turun apabila orang itu benar-benar telah dipersiapkan mentalnya untuk menerima ayat-ayat al-Quran.
Subhanallah!
- Jemput baca: Apakah Maksud Tadabbur?
Adab Tadabbur Keempat – Setiap Ayat Ada Pertanyaan Daripada Allah

Kita kena yakin bahawa setiap ayat ada pertanyaan daripada Allah.
Contohnya bila kita baca Surah al-’Adiyaat, ia bukan sekadar cerita tentang kuda perang, tetapi ada pertanyaan daripada Allah.
“Tengok ini Hakim, kuda perang pun patuh pada arahan tuannya. Kamu patuh tak pada tuan kamu iaitu Allah?”
Jadi, beginilah cara orang yang nak tadabbur al-Quran.
Bila kita melalui sesuatu ayat, timbulkan pertanyaan dalam benak hati kita.
Ini berdasarkan babak Nabi Musa yang tengah asyik mendengar firman Allah, tiba-tiba Allah tanya baginda secara live.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
وَمَا تِلْكَ بِيَمِينِكَ يَٰمُوسَىٰ
“Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?”
[Surah Taha 20: 17]
Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa ada unsur dua hala dalam komunikasi.
Jadi, bila kita baca al-Quran jangan hanya menganggap kita sedang membaca teks khutbah daripada Allah subhanahu wa ta’ala sahaja.
Aktifkan diri kita dengan bertanya soalan.
Contohnya ketika membaca Surah al-Masad, kita pun tanya diri kita adakah surah ini ditujukan pada saya wahai Allah?
Adakah saya mempunyai perangai seperti Abu Lahab?
Surah ini bukan sekadar mahu ceritakan tentang kejahatan Abu Lahab, kerana kalau sekadar cerita kita boleh temui dalam kitab Sirah Ibnu Hisyam ataupun Rahiqul Makhtum.
Tetapi cerita ini diangkat sehingga menjadi ayat al-Quran, sudah pasti ada sebabnya, “Apa sebenarnya yang Engkau nak beritahu pada aku wahai Allah?”
Ketika membaca ayat-ayat tentang ahli syurga.
Kita pun tanya, “Adakah aku sudah menyiapkan bekal untuk pergi ke sana?”
Jadi soalan-soalan ini adalah soalan-soalan yang perlu dijawab sebagaimana Nabi Musa menjawab soalan daripada Allah tentang tongkat.
Setiap ayat walaupun berbicara tentang burung, sejarah pemuda al-Kahfi ataupun kisah Zulkarnain sekalipun sebenarnya ayat itu tuju kepada kita.
Begitulah lebih kurang kita berinteraksi dengan al-Quran.
Setiap ayat, ada soalan daripada Allah kepada kita.
Orang yang tadabbur adalah orang yang memerhati dengan teliti. Mereka sentiasa merasakan adanya pertanyaan-pertanyaan daripada yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada dirinya.
Adab Tadabbur Kelima – Membelek Tafsir

Semakin banyak kitab tafsir yang kita rujuk, semakin dalamlah tadabbur yang kita dapat daripada sesuatu ayat.
Begitulah sebaliknya, jika kita hanya bergantung pada terjemahan semata-mata, maka hasil tadabbur yang diperolehi pun sekadar di permukaan sahaja.
Ketika Allah tanya kepada Nabi Musa apa yang ada di tangan kanannya, baginda pun jawab:
قَالَ هِىَ عَصَاىَ أَتَوَكَّؤُا۟ عَلَيْهَا وَأَهُشُّ بِهَا عَلَىٰ غَنَمِى وَلِىَ فِيهَا مَـَٔارِبُ أُخْرَىٰ
Nabi Musa menjawab: “Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu”.
[Surah Taha 20: 18]
Setelah itu, Allah pun perintahkan kepada baginda supaya mencampakkan tongkat yang sedang dipegangnya.
Tetapi perasankah kita, selepas Allah meminta baginda membalingkan tongkat dan tongkat pula bertukar menjadi ular.
Kemudian, ular pun bertukar semula menjadi tongkat.
Terus Allah memberikan arahan lagi,
وَٱضْمُمْ يَدَكَ إِلَىٰ جَنَاحِكَ تَخْرُجْ بَيْضَآءَ مِنْ غَيْرِ سُوٓءٍ ءَايَةً أُخْرَىٰ
“Dan kepitlah tanganmu di celah lambungmu; nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tidak ada cacat; sebagai satu mukjizat yang lain”.
[Surah Taha 20: 22]
Rupa-rupanya, Allah nak berikan tafsiran yang kedua kepada baginda iaitu ia bukan sekadar tongkat, tetapi potensi yang baginda ada untuk menghadapi Firauan nanti.
Subhanallah!
Kata Ustaz Syaari, inilah pendapat kebanyakan ahli tafsir.
Jadi manusia seperti Nabi Musa dan juga para ulama silam, mereka berusaha memerah otak untuk memahami apa makna di sebalik ayat ini dan lahirlah ilmu tafsir.
Sebab itulah kalau kita lihat, tafsir bukan semata-mata daripada generasi sahabat sahaja, tetapi ada juga Ibnu Kathir, al-Qurtubi, at-Tabari dan banyak lagi.
Tafsir tidak akan pernah berhenti.
Ayat yang sama, tetapi datang orang-orang seperti ar-Razi membawa perspektif yang berbeza daripada ulama-ulama terdahulu.
Datang pula ulama-ulama terkemudian seperti al-Biqa’i, Abu Su’ud, Quraish Shihab, Hamka, Nablusi, Profesor Dr. Abdul Hayee dan ramai lagi.
Sedangkan ayat yang ditafsirkan adalah ayat yang sama dan didengar daripada Nabi yang sama.
Allah sebut di dalam ayat yang lain bahawa,
كِتَٰبٌ أَنزَلْنَٰهُ إِلَيْكَ مُبَٰرَكٌ لِّيَدَّبَّرُوٓا۟ ءَايَٰتِهِۦ وَلِيَتَذَكَّرَ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَٰبِ
(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.
[Surah Sad 38: 29]
Perkataan (مُبَٰرَكٌ) maksudnya makna yang berganda-ganda.
Jadi tadabbur manusia kepada makna sebenar ayat ini tidak akan pernah selesai.
Adab Tadabbur Keenam – Putuskan Segala Pergantungan Daripada Makhluk-Makhluk Yang Ada

Bila sakit, jumpa doktor.
Bila miskin, jumpa pakar bisnes.
Bila muflis, jumpa pakar pengurusan kewangan.
Tetapi untuk al-Quran menjadi cahaya dan petunjuk kepada kita, kita kena berhenti daripada bertongkatkan manusia.
Sebagaimana Allah perintahkan kepada Nabi Musa untuk mencampakkan tongkatnya,
قَالَ أَلْقِهَا يَٰمُوسَىٰ
Allah Taala berfirman: “Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa!”
[Surah Taha 20: 19]
فَأَلْقَىٰهَا فَإِذَا هِىَ حَيَّةٌ تَسْعَىٰ
Lalu ia mencampakkannya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang bergerak menjalar.
[Surah Taha 20: 20]
Allah suruh campakkan tongkat, tetapi Allah tidak beritahu pun sebabnya.
Cuba letakkan diri kita di tempat baginda.
Pertama sekali, Allah suruh baginda tanggalkan kasut.
Baginda tanggalkan walaupun ada risiko terpijak makhluk-makhluk yang merbahaya seperti lipan, kala jengking, benda-benda tajam dan sebagainya.
Kedua, ketika usia baginda sudah mencecah 40 tahun, berjalan seorang diri dan mendaki bukit di waktu malam, sudah pasti baginda sangat-sangat memerlukan tongkat tersebut.
Tetapi Allah suruh campak pula, kalau ikut logik akal perintah-perintah Allah ini seperti menyusahkan lagi baginda.
Namun, baginda tidak fikir panjang.
Baginda campak sahaja tongkat seperti mana yang Allah perintahkan.
Baginda yakin perintah Allah pasti ada kebaikan.
Baginda memutuskan segala pergantungan kepada tongkat, selipar, keluarga dan benar-benar bertawakal kepada Allah.
Allah tahulah apa yang terbaik untuk diri baginda.
Begitulah juga dengan kita, ketika kita sedang beribadah kepada Allah (solat, baca al-Quran, zikir), matikan atau jauhkan diri kita daripada gajet.
Kita fokus dan memberikan sepenuh perhatian untuk menyembah dan membulatkan pergantungan hanya kepada Allah subhanahu wa ta’ala.
Kerana bila kita sudah benar-benar bergantung kepada yang Maha Gagah, Yang Maha Mengetahui dan nama-nama Allah yang lain, Allah Maha Mengetahui apakah solusi terbaik kepada masalah-masalah yang sedang kita hadapi.
Adab Tadabbur Ketujuh – Amalkan Perintah Allah

Amalkan ayat yang kita baca terutamanya yang ada ayat (يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُو ).
Sebab ayat-ayat yang dimulakan dengan (يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُو ) mempunyai perintah dan juga larangan, jadi lakukan tanpa bertangguh.
Inilah sikap orang yang tadabbur al-Quran.
Orang yang tadabbur, dia nak faham apa maksud sebenar ayat-ayat Allah.
Contohnya, “Apakah hikmah Allah perintahkan saya menunaikan zakat fitrah?”
“Apakah hikmah Allah perintahkan saya untuk berpuasa di bulan Ramadan?”
“Apakah hikmah Allah perintahkan saya untuk mengutamakan anak-anak yatim?”
Jadi kita tidak akan dapat kefahaman yang sebenar kalau tidak mengamalkannya.
Maksudnya lakukan dahulu tanpa berfikir panjang dan terlalu mengharapkan rasional.
Insha-Allah nanti Allah akan tunjukkan hikmah kepada kita.
Contohnya babak Allah perintahkan Nabi Musa campakkan tongkat yang bertukar menjadi ular besar.
Siapa yang tidak takut dan gerun dengan bisa ular?
Apatah lagi ular ini lebih besar daripada biasa.
Kemudian Allah perintahkan lagi supaya baginda memegang ular besar tersebut dan Allah tukar menjadi tongkat kembali.
Jadi Allah yang sama perintahkan baginda untuk berhadapan dengan Firaun.
Dia adalah ular yang berbisa di kalangan manusia ketika itu.
Lalu baginda tidak boleh fikir banyak sangat ataupun berkira-kira mahu melakukannya, tetapi tunaikan sahaja perintah Allah.
Kalau fikir logik, memang baginda akan dibunuh oleh Firaun.
Kerana lebih kurang 30 tahun baginda membesar di bawah tanggungannya, macam-macam perkara yang akan diungkitkan Firaun kepada baginda nanti.
Begitulah juga dengan kita, jangan tunggu logik akal baru nak beramal.
Jangan tunggu hikmah penjelasan sains terhadap perintah itu dan larangan ini baru nak beramal.
Maka orang yang mahu tadabbur al-Quran, perlu faham proses ini.
Allah akan berikan hikmah selepas kita beramal.
Begitu juga kisah Luqmanul Hakim yang menasihati anaknya, nasihat-nasihat yang diberikan itu adalah nasihat yang beliau telah amalkan.
Adab Tadabbur Kelapan – Mengiktiraf Kelemahan Diri

Sepatutnya semakin banyak ayat-ayat yang kita baca dan belek terjemahan, semakin kita insaf bahawa diri kita sangat-sangat lemah dan Allah sangat-sangat gagah.
Sangat menarik bahasa yang Allah gunakan pada ayat 22, Surah Taha:
وَٱضْمُمْ يَدَكَ إِلَىٰ جَنَاحِكَ
Dan kepitkan tanganmu ke bawah ketiak mu.
Allah menyebut tangan itu dengan menggunakan perkataan sayap (جَنَاحِكَ).
Kerana tangan itu seperti sayap bagi burung.
Kalau dengan sayap, burung boleh terbang mencari rezeki, maka dengan tangan jugalah manusia dapat berusaha, mencari rezeki dan bekerja.
Jadi tangan yang menjadi sumber pekerjaan inilah yang Allah nak tunjukkan sesuatu kepada kita iaitu dengan pekerjaan ini, kita akan mendapat ketinggian.
Sebagaimana burung terbang tinggi untuk mencari rezeki, lalu Allah bagi rezeki.
Maka manusia juga sebenarnya Allah nak beri kepada mereka kemuliaan dan ketinggian.
Sebagaimana burung.
Maka Allah subhanahu wa ta’ala menggunakan perkataan (جَنَاحِ).
Bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya kita berada di tempat yang tinggi, contohnya bila kita menaiki kapal terbang?
Kita akan rasa makin mudah terhempas.
Semakin bergegar, semakin tinggi kerisauan kita.
Jadi prinsip inilah yang kita mahukan bila kita membaca al-Quran.
Ayat-ayat yang kita tadabbur, menyebabkan kita risau.
Risau dengan segala nikmat yang Allah beri pada kita seperti kekayaan, keilmuan, kesihatan.
Di mana kita gunakan kesihatan yang Allah beri?
Di mana ilmu Master dan PHD kita salurkan?
Di mana kita menginfakkan segala kekayaan yang kita ada?
Jadi semakin banyak kita baca al-Quran, semakin tinggi kita terbang.
Dan semakin tinggi kita terbang, semakin risau kita terhempas.
Maka sebab itulah, semakin banyak ayat-ayat Allah yang kita tadabbur, semakin tinggi kesedaran tentang kelemahan dan keaiban diri kita.
Sebab kita sedar bahawa kekayaan, ilmu dan kesihatan ini daripada Allah subhanahu wata’ala.
Kita?
Tidak ada apa-apa, kosong.
Kita tengok pula babak dalam kisah Nabi Musa.
Setelah Allah perintahkan kepada baginda untuk pergi berjumpa dengan Firaun berbekalkan dua mukjizat yang Allah berikan iaitu (tongkat dan tangan), baginda masih lagi meminta kepada Allah supaya dikurniakan kefasihan, kemampuan mengurus emosi marah dan pembantu untuk menghadapi Firaun.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
ٱذْهَبْ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُۥ طَغَىٰ
“Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas”.
[Surah Taha 20: 24]
Baginda mengadu tentang kelemahan yang ada pada diri baginda iaitu susah nak kawal kemarahan bila ada manusia yang mengaku dirinya Tuhan.
“Tolonglah ya Allah, aku ni tak boleh nak kawal kemarahan bila ada orang zalim pada orang-orang yang fakir miskin. Engkau tahu ada kemungkinan Firaun akan membunuh aku, maka bagilah Harun jadi pembantuku. Engkau tahu aku ada kelemahan, maka tolonglah bantu aku untuk atasi kelemahan ini”.
Kata Ustaz Syaari, sebenarnya kalau baginda tidak minta kepada Allah pun tentang dua kelemahan ini, pasti Allah jauh lebih mengetahui.
Tetapi persoalannya kenapa Allah tunjukkan ayat ini?
Kerana Allah nak biarkan baginda yang meminta kepada Allah,
قَالَ رَبِّ ٱشْرَحْ لِى صَدْرِى
Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku;
[Surah Taha 20: 25]
وَيَسِّرْ لِىٓ أَمْرِى
“Dan mudahkanlah bagiku, tugasku;
[Surah Taha 20: 26]
Jadi Allah sangat suka pada hambanya yang mengiktiraf dan mengakui kelemahan diri.
Allah suka jika hamba-hamban-Nya mengakui kekuatan dan kegagahan Allah subhanahu wa ta’ala.
Seperti ayat yang selalu kita baca, (إِيَّاكَ نَعْبُدُ) pengiktirafan kepada kehebatan Allah.
Dan (وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ) pengiktirafan kepada lemahnya diri kita.
Subhanallah!
Adab Tadabbur Kesembilan – Sebarkan Ayat Yang Kita Faham Kepada Orang Lain

Apakah cara terbaik untuk kita faham ayat yang kita baca?
Nasihat Ustaz Syaari cuba terangkan ayat itu kepada orang lain.
Sebab kadang-kadang ketika kita cuba menerangkan sesuatu ayat kepada orang lain, tanpa kita sedar Allah mengilhamkan kepada kita maklumat-maklumat yang menyebabkan kita lebih merasai atau menjiwai makna ayat tersebut.
Itulah pengalaman yang dilalui sendiri oleh Ustaz Syaari Ab Rahman.
Kata beliau,
“Kita belek dua tiga kitab tafsir sebelum kita mengajar. Dan bila kita mengajar tuan puan, masa kita mengajar itu Allah ilhamkan pada kita satu perkara yang kita tak jumpa dalam kitab tafsir. Tetapi kefahaman kita itu tidak bertentangan dengan nas al-Quran sama ada dari sudut kefahaman para sahabat mahupun dari sudut bahasa Arabnya. Allah Ta’ala akan curahkan lebih banyak ilmu bila kita mengajar orang lain”.
Jadi apa kaitan dengan Kisah Nabi Musa?
Sangat jelas.
Apabila baginda sudah faham dengan jelas perintah Allah, baginda terus pergi berjumpa dengan Firaun.
فَقُولَا لَهُۥ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُۥ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ
“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”.
[Surah Taha 20: 44]
Walaupun Firaun kufur kepada Allah, baginda tetap bercakap dengan lemah lembut.
Baginda tidak prejudis kepada Firaun, “Dia ini kafir, tak mungkin akan terkesan dengan ayat-ayat Allah”.
Begitu jugalah dengan kita bila nak sebarkan ayat-ayat Allah, kita kena sebarkan dengan lemah lembut.
Perumpamaan orang yang terkesan dengan ayat-ayat Allah seperti mendapat makanan yang paling sedap di dunia.
Mestilah kita akan kongi di media sosial.
Mestilah kita selfie dengan makanan tersebut.
Jadi bila kita rasa lazat menikmati hidangan yang begitu hebat daripada langit, pastikan sebar kepada orang lain.
“Mari, mari, menikmati apa yang telah saya nikmati”.
Adab Tadabbur Kesepuluh – Banyakkan Berdoa Kepada Allah

Akhirnya kita sampai juga di penghujung artikel ini iaitu banyakkan berdoa kepada Allah subhanahu wa ta’ala.
“Ya Allah rahmatilah kami dengan al-Quran. Jadikan al-Quran yang kami baca ini sebagai asbab untuk Engkau berikan perhatian yang lebih kepada kami. Engkau berilah kami perlindungan seperti bayi yang dilindungi oleh Allah di alam rahim dan seperti ibu yang melindungi bayinya daripada sebarang bahaya”.
Jadi menariknya di hujung-hujung kisah Nabi Musa di dalam Surah Taha, Allah mahu buktikan kepada baginda bahawa Allah akan memeliharanya sehingga mesej dan dakwahnya kepada Firaun dan Penduduk Mesir berjaya.
“Jangan risau Wahai Musa, Aku akan selamatkan kamu. Kau tak percaya? Ingat balik apa yang berlaku kepada kamu semasa bayi? Siapa yang memelihara kamu ketika di dalam peti di atas Sungai Nil? Kalau ikut logik, kamu akan tenggelam. Tetapi siapa memeliharamu? Aku.
Ketika kamu rimas dengan manusia yang menyembah selain Allah dalam Istana Firaun, siapa yang selamatkan akidah kamu? Aku juga wahai Musa. Dan antara cara Aku selamatkan akidah kamu adalah Aku takdirkan kamu terbunuh pegawai Firaun. Lalu, kamu terpaksa melarikan diri keluar daripada istana.
Apa yang berlaku bila kamu kebuluran tak ada makanan di Madyan? Akulah yang memberikan makanan dan kediaman kepadamu. Bahkan Aku berikan kamu keluarga baru di Madyan. Jadi kalau Aku boleh jaga kamu dahulu, takkan aku tak boleh jaga kamu sekarang?”
Begitulah lebih kurang maksud ayat di bawah ini.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
قَالَا رَبَّنَآ إِنَّنَا نَخَافُ أَن يَفْرُطَ عَلَيْنَآ أَوْ أَن يَطْغَىٰ
Mereka berdua berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami takut bahawa ia akan segera menyeksa kami, atau ia akan melampau batas”.
[Surah Taha 20: 45]
قَالَ لَا تَخَافَآ ۖ إِنَّنِى مَعَكُمَآ أَسْمَعُ وَأَرَىٰ
Allah berfirman: “Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu; Aku mendengar dan melihat segala-galanya.
[Surah Taha 20: 46]
Jadi inilah kesan tadabbur al-Quran, bila kita baca sesuatu ayat, kita yakin Allah sedang menyayangi, melindungi dan membeirkan kita banyak nikmat.
Orang-orang yang baca kisah-kisah Quran ni antaranya dia akan dapat adalah rahmat.
Dia baca cerita orang-orang beriman, bukan dia hanya tahu cerita sejarah tetapi dia merasakan Allah sedang memelihara dirinya.
Allah sedang menjaga dirinya.
Walaupun dia baca cerita dalam Quran pasal sejarah tetapi cerita itu mengingatkannya tentang kasih sayang Allah kepada dirinya.
Jadi inilah 10 adab tadabbur yang sangat indah daripada kisah Nabi Musa di Lembah Tuwa.
Jangan lupa kongsikan artikel ini kepada orang-orang yang anda sayang!
Bangun, berilah peringatan!